SK Mukah mengucapkan "Selamat Bercuti" buat semua murid dan guru. Jumpa lagi tahun hadapan dengan azam baru dan komitmen yang tinggi demi mempertingkatkan kualiti pencapaian kurikulum dan ko-kurikulum SK Mukah bagi merealisasikan impian SK Mukah menjadi Pembentuk Modal Insan Gemilang menjelang tahun 2012.
 
Tontonan khas buat semua, kenangan sepanjang 2010 di SK Mukah. Saksikanlah...

Kepada murid Tahun 6 SK Mukah, kami para guru SK Mukah ingin mengucapkan "Selamat Melangkah ke Alam Sekolah Menengah". Jadikanlah apa yang telah dipelajari di SK Mukah sebagai panduan hidup agar kamu semua menjadi insan yang berguna pada sekolah, keluarga, masyarakat dan negara.


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA  
kepada seluruh umat Islam.

Majlis Pengiktirafan Kualiti Pencapaian Cemerlang SK Mukah telah diadakan di Dataran Arena Modal Insan Dinamik pada hari Selasa bersamaan 16hb November 2010. 


Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis tersebut ialah Residen Bahagian Mukah, Tuan Haji Saudi bin Narani, Pegawai Pelajaran Daerah Mukah, Cikgu Abdul Wahab bin Hj. Sapawi, Yang Dipertua PIBG SK Mukah, Dr. Osman dan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Mukah, Encik Ithnin.

Antara anugerah kecemerlangan dan penghargaan yang telah disampaikan pada hari tersebut ialah :
  • Murid Cemerlang Keseluruhan setiap kelas.
  • Murid Terbaik Mata Pelajaran
  • Murid Unggul
  • Murid Berdisplin
  • Ko-Kurikulum Terbaik
  • Kehadiran 100% dan Berkomitmen Tinggi
  • Murid Segak Beruniform
  • Murid Contoh
  • Ketua Kelas
  • Pengawas Sekolah
  • Sijil Tamat Darjah Enam
  • Bantuan Zakat daripada Bank Rakyat kepada murid miskin dan anak yatim.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan murid. Antaranya ialah persembahan tarian, persembahan Public Speaking Bahasa Arab dan Action Song. Majlis diakhiri dengan jamuan khas kepada semua para jemputan yang hadir memeriahkan majlis pada hari gemilang tersebut.

Pada hari Jumaat yang lalu bersamaan 12hb November 2010, Kem Bestari Solat kali ke-4 telah diadakan. Kem ini telah berlangsung selama 2 hari satu malam bertempat di SK Mukah. Para peserta kem terdiri daripada semua murid tahun 1 hingga tahun 5. Program kem dimulai dengan pendaftaran peserta dan pembahagian kumpulan seawal jam 2.30 petang. 

Kem Bestari Solat yang terakhir pada tahun ini merupakan kemuncak bagi semua Kem Bestari Solat yang telah diadakan sebelum ini di mana semua peserta tahun 2 hingga tahun 5 dikehendaki bermalam di sekolah.


Sejurus tamat sesi pendaftaran dan pembahagian kumpulan, gotong royong memasang khemah telah diadakan. Kerjasama yang erat diantara para peserta dan fasilitator telah membuahkan hasil apabila sebanyak 22 khemah telah berjaya didirikan.

Antara pengisian menarik yang dijalankan dalam Kem Bestari Solat ke-4 adalah seperti berikut :

1. Ceramah Motivasi
2. Imam Muda dan Bilal Muda
3. Muhasabah diri
4. Qiamullail
5. Senam Robik


Tahniah buat semua yang terlibat dalam menjayakan Kem Bestari Solat ke-4 pada tahun ini terutamanya Panitia Pendidikan Islam dan j-Qaf. Kepada semua peserta, jadikanlah apa yang dipelajari semasa dalam kem sebagai iktibar dan pengajaran dalam hidup agar kita menjadi insan yang berguna pada keluarga, masyarakat dan nagara. InsyaAllah!

Pada hari Khamis yang lalu bersamaan 11hb November 2010, keputusan UPSR telah dikeluarkan di semua sekolah rendah seluruh Malaysia. Keputusan UPSR 2010 SK Mukah telah diumumkan oleh Guru Besar SK Mukah, Cikgu Ramlah Binti Saberi bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik dengan disaksikan oleh guru-guru SK Mukah, para ibu bapa dan semua murid tahun 4 hingga tahun 6.



6 orang murid SK Mukah telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang 5A. Mereka ialah :
  1. Awang Asyraf Ilman bin Awang Sarkawi
  2. Akmal Huwaina bin Ahmad
  3. Ainul Syahmina binti Salleh
  4. Aisyah bin Abdul Rahman
  5. Nur Nabilah binti Hazman
  6. Shahriman bin Ibrahim
Seramai 5 orang murid telah berjaya mendapat 4A 1B. Mereka ialah :
  1. Hariz Afiq bin Shamsu
  2. Marsya Norafiqah binti Mohamad Abdul Karim
  3. Nur Liyana Khairunnisa bin Abdul Malik
  4. Muhammad Fathurrahman bin Mohammad Fadzuli
  5. Nurul Hayati binti Jamal
Kesemua mereka adalah dari Tahun 6 Perkasa. Pihak sekolah mengucapkan syabas dan tahniah buat mereka semua kerana telah berjaya mengharum serta menaikkan nama SK Mukah menjadi sekolah yang berjaya memperoleh keputusan keseluruhan terbaik UPSR dalam daerah Mukah.

    Pada 5 Oktober 2010 yang lalu telah diadakan Pertandingan Karaoke anjuran Panitia Pendidikan Muzik. Pertandingan tersebut bermula seawal jam 2.30 petang hingga 5.00 petang.


    Murid tahap 1 dan 2 terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut. Sambutan yang menggalakkan dari murid-murid SK Mukah menyebabkan Panitia Pendidikan Muzik terpaksa membuat acara saringan sehari lebih awal untuk menentukan siapa yang layak bertanding pada hari Selasa tersebut.


    Seramai lebih kurang 12 orang murid telah terpilih untuk menyertai pertandingan tersebut. Turut hadir pada hari pertandingan tersebut ialah Cikgu Ramlah Binti Saberi, Guru Besar SK Mukah dan Cikgu Jasmi  Sha'rani, Penolong Kanan Pentadbiran SK Mukah. Majlis telah dipengerusikan oleh Cikgu Munah selaku Ketua Panitia Pendidikan Muzik. Pertandingan tersebut telah dihakimi oleh guru-guru berpengalaman serta berpengetahuan luas dalam bidang muzik. Antaranya ialah Cikgu Zullina Ramli, Cikgu Fauziah Idris dan Ustazah Salmy Morshidi.


    Suasana pertandingan bertambah meriah apabila Cikgu Ramlah, Guru Besar SK Mukah telah membuat persembahan istimewa dengan menyanyikan beberapa lagu sempena Hari Raya Aidilfitri.


    Tahniah buat adik Nur Nabilah dari Tahun 6 Perkasa kerana telah mempertahankan gelaran johan tahun lepas dalam pertandingan tersebut. Tempat kedua telah disandang oleh adik Farahin (4 Efisien) dan tempat ketiga jatuh kepada adik Umairah dari tahun 2 Gemilang.

    Pada 4 Oktober 2010 bersamaan 25 Syawal 1431 Hijrah yang lalu, SK Mukah telah mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri. Majlis telah berlangsung sekitar jam 2.30 hingga 5.30 petang bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik dan kantin SK Mukah.


    Antara tetamu jemputan yang hadir ialah Wakil Pegawai PPD iaitu Ustaz Awang Sarkawi Bin Awang Rosli serta Yang Dipertua PIBG SK Mukah, Dr. Hj. Osman Bin Rafi'e. Majlis diserikan lagi dengan kehadiran para ibu bapa murid SK Mukah bersama keluarga masing-masing.


    Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Radzi serta ucapan aluan daripada Cikgu Jasmi yang mewakili Guru Besar SK Mukah, Cikgu Ramlah yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut kerana terlibat dengan mesyuarat di PPD. Sejurus selepas itu, takbir raya oleh beberapa orang guru dan murid SK Mukah. Seterusnya, tazkirah ringkas sempena Aidilfitri telah disampaikan oleh Ustaz Engku Afizan.


    Majlis diteruskan lagi dengan menjemput semua tetamu yang hadir ke kantin sekolah untuk jamuan Aidilfitri. Acara "berambih" mendapat sambutan yang menggalakkan dari guru-guru serta para ibu bapa murid-murid SK Mukah yang mana terdapat pelbagai juadah Aidilfitri dapat disediakan dalam majlis tersebut.



    Suasana Aidilfitri dihangatkan lagi dengan acara karaoke yang diacarakan oleh Cikgu Ali. Majlis bersurai kira-kira jam 5.30 petang.


    Kami guru-guru SK Mukah mengucapkan "Selamat Maju Jaya" kepada semua murid Tahun 6 SK Mukah yang akan menduduki peperiksaan UPSR 2010 pada 21, 22 dan 23 September 2010 ini. Segala apa ilmu yang telah kami sampaikan kepada kamu semua harap digunakan sebagai bekalan untuk menempuhi ujian tersebut. "Semoga Berjaya" kami ucapkan!

    Jadual Waktu UPSR

    SELASA
    1. Bahasa Malaysia Kertas 1
    2. Bahasa Malaysia Kertas 2
    3. Matematik Kertas 2
    RABU
    1. Matematik Kertas 1
    KHAMIS
    1. Sains Kertas 1
    2. Sains Kertas 2
    3. Bahasa Inggeris Kertas 1
    4. Bahasa Inggeris Kertas 2
    5. Ujian Aptitud

    Pada 17 September yang lalu, telah diadakan Majlis Izin Kasih Permata UPSR 2010. Antara tetamu jemputan yang hadir pada hari tersebut ialah Pegawai Pelajaran Daerah Mukah, Cikgu Abdul Wahab Bin Sepawi, Penyelia Pendidikan Islam PPD Mukah, Ustaz Awang Sarkawi Bin Awang Rosli dan Yang Dipertua PIBG SK Mukah, Dr. Hj. Osman Bin Rafi'e.


    Majlis telah berlangsung di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Turut hadir bersama murid Tahun 6 ialah ibu bapa mereka. Seramai 54 orang murid tahun 6 SK Mukah akan menduduki UPSR pada tahun ini. Guru Besar SK Mukah, Cikgu Ramlah Binti Saberi mengharapkan supaya semua murid dapat mempersiapkan diri dengan kelengkapan fizikal dan mental disamping meminta ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk memberi sokongan dan galakan sepanjang murid-murid menghadapi peperiksaan.


    Tangisan ayah dan ibu serta murid tahun 6 memecah kesunyian sejurus ibu bapa diberi peluang untuk berjumpa dengan guru kelas anak masing-masing bagi mengetahui tahap prestasi semasa anak-anak mereka sebelum menghadapi UPSR.



    Majlis ini disemarakkan lagi dengan ikrar murid-murid Tahun 6 untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam UPSR 2010. Majlis diakhiri dengan acara bersalam-salaman memohon restu guru-guru sebelum murid-murid menghadapi ujian yang bakal tiba tidak lama lagi. 


    Kami para pendidik dan staf di SK Mukah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua muslimin dan muslimat. Maaf Zahir dan Batin.

    Pada 2 September 2010 yang lalu, SK Mukah telah mengadakan program Ihya' Ramadhan dan Munajat Kecemerlangan UPSR 2010 bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah. Program tersebut melibatkan semua murid tahun 1 hingga 6 dan juga ibu bapa mereka. Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

    5:00 petang : Ketibaan tetamu jemputan
    5:30 petang : Bacaan doa oleh Ustaz Engku Afizan
    5:40 petang : Ucapan Guru Besar SK Mukah (Cikgu Ramlah Binti Saberi)
    6.00 petang : Majlis Khatam Al-Quran (50 orang murid)
    6.30 petang : Bacaan Tahlil oleh Ustaz Mohamad Radzi
    6:42 petang : Majlis Berbuka Puasa di kantin SK Mukah.
    7:15 petang : Solat Maghrib dan Solat Sunat Hajat
    8:00 malam : Solat Isyak dan Solat Sunat Tarawih
    9:00 malam : Majlis Bersurai

    Tahniah buat semua warga kerja yang telah melaksanakan program yang dirancang dengan jayanya. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih buat Tuan Haji Mustafa, Pegawai Kaunseling PPD Mukah kerana sudi hadir pada majlis tersebut.

    Gambar sepanjang program berlangsung masih di dalam proses. Harap Maklum!


    SK Mukah telah membuat pelbagai persiapan untuk menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-53 pada tahun ini. Antara persiapan yang telah dilakukan ialah aktiviti memasang bendera Malaysia dan bendera Negeri Sarawak di sekitar kawasan sekolah termasuk bilik darjah.


    Selain itu, pertandingan melukis sempena Hari Kemerdekaan dan juga pertandingan "Kelas Paling Patriotik" turut diadakan. Tahniah buat kelas 2 Gemilang kerana telah berjaya menjadi johan bagi pertandingan Kelas Paling Patriotik.

    Pada 26 Ogos 2010, telah diadakan satu pertandingan kuiz sempena bulan Ramadhan bertempat di SK Datuk Awang Udin. Sebanyak 12 buah sekolah di sekitar daerah Mukah telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Setiap buah sekolah diwakili oleh 4 orang murid sebagai peserta berkumpulan.

    SK Mukah telah menghantar 4 orang murid sebagai peserta kuiz. Pemilihan 4 orang murid tersebut dibuat berdasarkan kepada pencapaian mereka dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di dalam kelas. Mereka semua ialah :

    1. Awang Asyraf Ilman bin Awang Sarkawi (6 Perkasa)
    2. Farhan asyraf bin Zulkifli (5 Bestari)
    3. Hazirah Watikah binti Abdah (5 Bestari)
    4. Nor Syafiqah binti Azman (4 Mantap)


    Pertandingan bermula seawal jam 8.30 pagi dan kumpulan SK Mukah telah diiringi oleh Ustaz Engku Afizan selaku guru pembimbing. Kuiz dijalankan secara 2 peringkat iaitu ujian bertulis dan kuiz lisan. Bagi ujian bertulis, semua murid dikehendaki menjawab 50 soalan dalam masa 1 jam. Markah kumpulan ketiga tertinggi dikira sebagai pemenang tempat ketiga manakala kumpulan yang mendapat markah tertinggi dan kedua tertinggi akan layak ke pusingan seterusnya iaitu kuiz lisan untuk menentukan tempat Johan dan Naib Johan.

    Penyemakan dan penilaian jawapan bagi setiap kumpulan sekolah telah dilakukan oleh semua guru pengiring yang hadir. Berikut merupakan keputusan Ujian Bertulis yang telah dijalankan :


    Syabas diucapkan buat kumpulan SK Mukah dan kumpulan tuan rumah (SK Datuk Awang Udin) kerana telah berjaya mara ke peringkat kedua iaitu kuiz lisan bagi menentukan tempat Johan dan Naib Johan.

    Kuiz lisan banyak tertumpu kepada persoalan mengenai permasalahan dalam menunaikan ibadah puasa dan zakat. Persaingan yang sengit ditunjukkan oleh kedua-dua kumpulan.


    Tahniah kepada kumpulan SK Mukah kerana telah berjaya mengharumkan nama sekolah dengan menjuarai pertandingan kuiz tersebut. Hadiah telah disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Mukah iaitu Cikgu Abdul Wahab bin Haji Sapawi selaku tetamu jemputan dalam pertandingan tersebut.

    Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Panitia Bahasa Arab J-Qaf telah mengadakan program Tadarus al-Quran pada setiap hari Selasa dan Khamis bermula jam 1.10 petang hingga 1.30 petang sepanjang bulan Ramadhan ini.


    Beberapa orang murid tahun 1 hingga tahun 5 telah dipilih untuk membentuk 10 kumpulan tadarus. Setiap kumpulan yang dibahagikan akan membaca sebanyak 3 juzuk al-Quran. 


    Program ini adalah bertujuan untuk menyemai rasa cintakan al-Quran dikalangan murid kerana pada bulan Ramadhan inilah al-quran diturunkan. Di samping itu, program ini juga menjadi pengisian kepada masa senggang murid sepanjang bulan Ramadhan yang berkat ini.

    Pada 18hb yang lalu, Panitia Bahasa Malaysia SK Mukah telah mengadakan pertandingan bercerita dan pidato sempena merealisasikan hasrat kerajaan untuk melaksanakan program Bulan Bahasa yang akan bermula pada bulan Oktober di semua peringkat termasuk sekolah.


    Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi. Negeri Sarawak telah dipilih menjadi tuan rumah bagi majlis bertema "Bahasa Jiwa Bangsa" itu kerana terdapat pelbagai kaum yang hidup penuh harmoni dan dapat menjadi ikon konsep 1Malaysia.


    Murid tahun 1 hingga tahun 5 terlibat secara langsung dalam menjayakan program tersebut. Tahniah buat  semua murid  yang bertanding kerana telah memberikan persembahan serta saingan yang hebat dalam pertandingan tersebut.


    SK Mukah mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua warga muslimin dan muslimat di SK Mukah. Semoga kita semua mendapat rahmat dan keberkatan di dalam bulan ini. Amin...

    Kem Bestari Solat Siri 3 telah diadakan pada 27hb dan 28hb Julai 2010 bertempat di SK Mukah pada jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang. 


    Program selama dua hari tersebut melibatkan pelbagai aktiviti. Antaranya ialah ujian bertulis, pertandingan bowling, memanah bagi tahap 1 dan explorace bagi tahap 2.



    Semua permainan tersebut diselitkan dengan pelbagai ujian yang melibatkan rukun solat meliputi rukun qalbi (Niat) , fe'li (Perlakuan) dan qauli (Perbuatan).

    Lagu tema bagi Kem Bestari Solat pada kali ini ialah lagu Dirikan Solat dan Sepohon Kayu.

    Tahniah buat semua warga kerja yang terlibat terutamanya Panitia Pendidikan Islam dan Panitia Bahasa Arab kerana telah berhasil mengadakan kem tersebut dengan jayanya.

    Tahniah buat kelas 2 Gemilang di bawah pimpinan Cikgu Fauziah kerana telah berjaya memenangi Anugerah Kebersihan dan Keceriaan Kelas buat 3 kali berturut-turut. Teruskan usaha!


    Anugerah disampaikan oleh Cikgu Fatimah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebersihan dan Keceriaan SK Mukah kepada Ketua Kelas 2 Gemilang. Kepada kelas-kelas lain, diharap meningkatkan lagi mutu kebersihan dan keceriaan kelas masing-masing pada masa-masa akan datang.


    Pada 14 Julai yang lalu, Panitia Pendidikan Islam SK Mukah telah mengadakan Ceramah Isra' dan Mi'raj. Ustaz Azman dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Mukah telah dijemput untuk menyampaikan ceramah tersebut. Isra' ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Mi'raj pula ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. dari Masjidil Aqsa ke Sitratul Muntaha (Langit Ke-7).


    Semua murid dan guru yang beragama Islam terlibat bagi menjayakan program tersebut. Pada akhir sesi ceramah, telah diadakan pertandingan kuiz bagi semua murid yang terlibat. Hadiah kuiz telah disampaikan oleh Ustaz Azman dan Guru Besar SK Mukah, Cikgu Ramlah Binti Saberi.

    Pada hari khamis yang lalu, sekolah telah mengadakan Majlis Perlantikan Pengawas bagi sesi tahun 2011. Seramai 23 orang murid dari tahun 4 dan 5 telah dipilih sebagai pengawas sekolah bagi sesi tahun hadapan.

     
    Tahniah buat adik Sharmine Henry kerana telah dilantik menjadi Ketua Pengawas sesi 2011 dan adik Farhan Asyraf sebagai Penolong Ketua Pengawas. Penyerahan kuasa sebagai pengawas telah disempurnakan oleh Cikgu Ramlah selaku Guru Besar SK Mukah dalam acara pemberian surat lantikan pengawas serta vase dan tali leher kepada setiap pengawas yang dilantik.


    Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada semua pengawas yang telah terpilih dan "Selamat Menjalankan Tugas dan Amanah Yang Diberi..."



    Pada 7 Julai 2010, SK Mukah telah mengadakan ceramah penjagaan gigi bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Ceramah bertumpu kepada teknik penjagaan gigi dengan betul. Ceramah telah disampaikan oleh Pegawai Kesihatan daerah Mukah dengan kerjasama jururawat yang bertugas di Klinik Mini SK Mukah. Semua murid dan guru terlibat menjayakan ceramah pada hari tersebut.


    Sambutan Hari Guru 2010 telah diadakan pada 17 Mei (Isnin) bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah. Turut hadir ialah Pegawai Pelajaran Daerah Mukah, Tuan Abdul Wahab bin Hj. Sepawi dengan ditemani oleh Pegawai Kaunseling PPD Mukah, Hj Mostaffa bin Hj. Sidik dan Yang Dipertua PIBG sekolah iaitu Dr. Osman. Pada hari tersebut, warga SK Mukah telah mengenakan pakaian batik 1 Malaysia. Antara atur cara majils yang diadakan pada hari tersebut adalah seperti di bawah :

    • Pembacaan perutusan dari Menteri Pelajaran Malaysia
    • Pembacaan perutusan dari Pengarah Pelajaran Malaysia
    • Pembacaan perutusan dari Pengarah Pelajaran Sarawak
    • Persembahan Koir oleh guru-guru SK Mukah
    • Persembahan Murid (Actions Songs dan Rekoder Ensemble)
    • Persembahan Murid (Lagu Terima Kasih Cikgu)
    • Penyampaian hadiah kepada guru-guru SK Mukah
    • Upacara memotong kek Hari Guru
    • Jamuan Hari Guru
    Pada sebelah petangnya telah diadakan acara sukaneka. Antara sukaneka yang telah diadakan ialah seperti pertandingan lambung belon dalam kain, tarik tali dan bowling buah kelapa. Selain itu, turut diadakan pertandingan futsal di antara guru-guru perempuan dan perlawanan khas futsal di antara SK Mukah (guru lelaki) dan SK Tellian. 



        Majlis makan malam sempena Hari Guru 2010 telah diadakan pada 21 Mei 2010 bertempat di Dewan Makan Hotel King Wood, Mukah. Semua guru dan staf SK Mukah hadir dalam jamuan tersebut. Majlis bermula pada jam 8.00 malam. Majlis diserikan dengan persembahan karaoke oleh beberapa orang guru dan staf serta acara pertukaran hadiah di antara guru.


        Hari Sukan SK Mukah 2010 telah diadakan pada 18-21 Mei yang lalu. Antara acara yang dipertandingkan ialah lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, acara balapan dan sukaneka. Empat buah  pasukan rumah sukan berentap hebat untuk memperolehi Piala Johan Keseluruhan Hari Sukan 2010 sepanjang 4 hari tersebut. Majlis penangguhan Hari Sukan 2010 telah disempurnakan oleh Encik Patrick Moses, salah seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Mukah pada 21hb Mei 2010. Majlis penanggguhan diserikan lagi dengan 2 acara istimewa iaitu lari pecut 100 meter dan lari 4x100 meter di antara atlet SK Mukah dengan beberapa orang atlet dari sekolah-sekolah jemputan. Antara sekolah jemputan yang hadir memeriahkan suasana Hari Sukan SK Mukah ialah SK Kg.Tellian, SK Petanak, SK Datuk Awang Udin dan SK Choong Boon. Tahniah buat pasukan Rumah Merah dibawah pimpinan Ustazah Saodah dan beberapa guru-guru lain kerana telah berjaya menjadi Johan Keseluruhan Hari Sukan. Selain itu, tahniah juga kepada adik Abang Iffat dan adik Nur Syafiza kerana telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sekolah pada tahun ini. Pihak sekolah mengucapakan terima kasih kepada para ibu bapa murid yang hadir kerana telah memberi sokongan padu kepada Hari Sukan SK Mukah pada tahun ini.


        Pada 11hb Mei yang lalu, SK Mukah telah menganjurkan pertandingan mencipta kad ucapan sempena Hari Guru. Pertandingan ini telah berlangsung di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Semua murid dari tahun 1 hingga 6 terlibat dalam pertandingan tersebut. Kad ucapan paling cantik dan kreatif akan dipilih sebagai pemenang. Selain daripada itu, bancian untuk gelaran "Guru Paling Popular" juga dibuat melalui nama guru paling banyak ditulis pada kad ucapan.



        Pada 14hb Mei yang lalu telah diadakan Pertandingan Rekoder Ensemble peringkat bahagian Mukah bertempat di SK Mukah. SK Mukah berbesar hati kerana telah dipilih menjadi tuan rumah bagi pertandingan rekoder kali ini. Sebanyak 5 buah pasukan telah berentap untuk menjadi juara pertandingan tersebut. Antaranya ialah :

        1. SK Mukah
        2. SK St. Patrick
        3. SK Kg. Tellian
        4. SK Datuk Awang Udin
        5. SK Hijrah Badong (Daro)

        Pertandingan telah berlangsung dengan lancar dan jayanya.

        SK St. Patrick telah dinobatkan sebagai johan pertandingan tersebut. Tempat kedua jatuh kepada SK Datuk Awang Udin dan tempat ketiga, SK Mukah. Tahniah buat semua pemenang. Bagi yang tidak berjaya, usaha lagi pada masa akan datang.


        Pada 26 April 2010 yang lalu, SK Mukah telah mengadakan Kem Bestari Solat Siri Pertama yang melibatkan murid-murid tahap 1 dan 2. Seramai 7 orang fasilitator yang terdiri daripada guru-guru Pendidikan Islam dan J-QAF SK Mukah serta beberapa orang murid tahun 5 telah terlibat dalam menjayakan kem ini. Mereka ialah Ustaz Radzi, Ustaz Engku Afizan, Ustazah Fadzariah, Ustazah Saodah, Ustazah Norwani, adik Dayang Athirah dan adik Hazirah Watikah. Untuk pengetahuan semua, murid tahun 6 tidak terlibat dalam kem ini. Kem ini berlangsung selama 2 hari yang mana pada hari pertama 26 April 2010 hanya melibatkan tahap 1 sahaja dan pada hari berikutnya 27 April 2010 untuk tahap 2.

        Untuk siri pertama kem tahun ini, murid tahap 1 telah didedahkan tentang hal-hal berkaitan ibadat seperti wudhuk, niat solat fardhu dan bacaan-bacaan dalam solat. Untuk tahap 2 pula, mereka telah mempelajari syarat-syarat wajib dan sah solat serta tatacara mengerjakan solat berjema'ah. Pendedahan  ilmu kepada murid melibatkan teori dan praktikal. Kem Bestari Solat ini telah bermula seawal jam 2.30 petang dan berakhir pada 5.30 petang.



        Pada 22hb April 2010, sekolah telah menghantar 34 orang anggota Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) untuk menyertai Pertandingan Kawad Kaki Peringkat Bahagian yang bertempat di Balai Bomba, Mukah. Pertandingan kawad kaki telah disertai oleh 5 buah sekolah iaitu :


        1. SK Mukah
        2. SK Datuk Awang Udin
        3. SK Petanak
        4. SK Telian
        5. SK Tanam

        Syukur alhamdulillah, berkat hasil usaha dan kerjasama serta doa semua guru-guru dan murid, pasukan TKRS sekolah telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Juara bertahan masih lagi digenggam kemas oleh pasukan TKRS SK Petanak yang merupakan Naib Johan Kawad Kaki Peringkat Negeri pada tahun lepas.

        Tahniah buat Ustaz Engku Afizan dan Cikgu Zainurin  yang merupakan jurulatih pasukan kawad kaki sekolah kerana telah berjaya membawa pasukan kawad kaki TKRS sekolah sehingga ke tahap ini. Semoga kejayaan ini berterusan pada tahun hadapan. InsyaAllah.


        Sambutan Maulidur Rasul peringkat Mukah telah diadakan pada 26hb Februari 2010, hari Jumaat yang lalu. Majlis tersebut telah diadakan di dataran Pehin. Tema untuk sambutan Maulidur Rasul tahun ini ialah "Memantap Ukhuwah Memperkasa Umat". Hampir 3000 orang telah membanjiri dataran sejak awal jam 6.30 pagi lagi. Pelbagai aktiviti telah diadakan pada hari tersebut. Antaranya ialah :
        • Ceramah Maulidur Rasul
        • Perarakan Maulidur Rasul
        • Pertandingan Sepanduk
        Setiap badan kerajaan dan swata, surau, masjid, sekolah serta pusat pengajian tinggi awam dan swasta mengambil bahagian dalam perarakan selawat. Paling ditunggu-tunggu oleh semua hadirin ialah pertandingan sepanduk. Pertandingan sepanduk melibatkan 3 peringkat iaitu peringkat surau dan masjid, peringkat badan awam dan swasta serta peringkat sekolah rendah dan menengah.

        Syukur alhamdulillah kerana sepanduk SK Mukah telah berjaya mendapat tempat ketiga. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih buat semua guru dan staf yang terlibat dalam menjayakan pembinaan sepanduk pada tahun ini.



        Majlis ini telah berlangsung pada hari Jumaat, 12 Februari 2010 bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah pada jam 2.30 petang. Majlis ini telah dipengerusikan oleh Cikgu Ahmad dan Ustazah Salmy.
        Majlis ini melibatkan murid tahun 6 dan ibu bapa mereka. Beberapa orang murid telah disasarkan untuk mencapai keputusan 5A dan minimum 5C. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh pegawai pelajaran dari PPD Mukah. Turut menghadiri majlis ini ialah Pengerusi PIBG dan Naib Pengerusi PIBG.

        Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

        2.30 petang - Tetamu kehormat, guru, ibu bapa dan murid mengambil tempat.
        3.00 petang - Ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis.
        3.10 petang - Bacaan doa
        3.15 petang - Ucapan Guru Besar SK Mukah.
        3.40 petang - Perasmian majlis oleh Pegawai PPD.
        4.00 petang - Majlis Menandatangani Kontrak Pembelajaran UPSR 2010.
        5.00 petang - Majlis bersurai dan jamuan ringan.



        Pemilihan atlet untuk olahraga telah berlangsung pada 10 Februari 2010 di dataran terbuka SK Mukah. Pemilihan atlet melibatkan beberapa fasa. Bagi fasa pertama, pemilihan hanya melibatkan murid tahun 6 sahaja. Dua acara yang terlibat dalam fasa ini ialah acara lompat tinggi (lelaki dan perempuan) dan lontar peluru (lelaki dan perempuan). Sesi pemilihan telah ditadbir oleh Cikgu Ahmad, Cikgu Nasir dan Ustaz Zan selaku guru Pendidikan Jasmani.



        Majlis ini telah diadakan pada 4 Februari 2010 bertempat di Dataran Arena Modal Insan. Majlis telah dipengerusikan oleh Ustazah Salmy selaku guru bertugas bagi perhimpunan pada minggu ini. Seramai 35 orang murid tahap 2 telah dilantik sebagai pengawas sekolah bagi sesi 2010.


        Majlis diserikan dengan penyampaian tali leher kepada semua pengawas oleh Guru Besar SK Mukah, Cikgu Ramlah Binti Saberi dengan diiringi oleh Cikgu Fatimah.

        Awang Asyraf bin Awang Sarkawi dan Ainul Syahmina binti Salleh dari tahun 6 Perkasa telah dilantik sebagai ketua dan penolong pengawas.


        Tahniah diucapkan serta "Selamat menjalankan tugas serta amanah yang diberi" kepada semua pengawas sekolah pada tahun ini.

        Jom Like Page SK Mukah di Facebook

        Related Posts with Thumbnails

        Template by:
        Free Blog Templates