Dalam perhimpunan baru-baru ini, telah disampaikan keputusan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kelas pada minggu ini. Tahniah buat kelas 6 Perkasa A dan Prasekolah A kerana telah berjaya dalam pertandingan tersebut. 


Untuk pengetahuan semua, setiap minggu jawatankuasa kebersihan SK Mukah akan mengumumkan keputusan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kelas dalam perhimpunan. Kebersihan dan keceriaan kelas telah dinilai oleh guru-guru mata pelajaran yang terpilih kecuali guru-guru kelas. Dua kategori kelas dipertandingkan iaitu :

1. Kelas Aliran Perdana
2. Kelas Prasekolah dan KPKI 


Pada perhimpunan bertarikh 27hb Februari yang lalu, ikon baru bagi Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kelas telah diperkenalkan. Tahniah buat kedua-dua kelas yang berjaya. Bagi kelas yang tidak berjaya, pertingkatkan kebersihan dan keceriaan kelas masing-masing di masa akan datang. Ikon Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kelas tersebut telah disampaikan oleh Cikgu Fatimah Binti Drahman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Mukah.

Pada hari Khamis yang lalu 27hb Februari telah diadakan Majlis Perasmian Program Nilam bagi Tahun 2014. Program tersebut telah dirasmikan oleh Cikgu Marzuki Bin Ali Mahmud, Penolong Kanan 1 SK Mukah. Pada hari itu juga telah disampaikan beberapa hadiah galakan membaca kepada beberapa orang murid yang telah berjaya membaca buku paling banyak pada tahun lepas.





Untuk pengetahuan semua, program galakan membaca ini telah mula dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1999. Pelaksanaan Program "Nadi Ilmu Amalan Membaca" atau Program NILAM ini merupakan aktiviti tahunan di SK Mukah di mana setiap pembacaan murid di rekod sehingga mereka tamat persekolahan. 



Seluruh warga sekolah mengucapkan tahniah buat Cikgu Norzelan, Ustaz Radzi dan Cikgu Yatima di atas kelahiran anak anda sekalian pada bulan Februari ini. Semoga anak-anak anda sihat dan ceria selalu.

Pada 26 Februari yang lalu, SK Mukah telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke dua buah sekolah iaitu SK Kg.Jebungan dan SK Penakup Ulu. Lawatan bermula seawal jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 5.30 petang. Lawatan ini telah disertai oleh semua guru dan staf di SK Mukah.

Berikut merupakan jadual program pada petang tersebut :

2.30 petang : Bertolak dari SK Mukah ke SK Kg. Jebungan

2.45 petang :
Lawatan Penanda Aras dan Lawatan Muhibbah di SK Kg. Jebungan
          - Disambut oleh Guru Besar dan guru-guru SK Kg.Jebungan
          - Berkumpul di dewan
          - Bacaan doa
          - Ucapan aluan oleh Cikgu Burhanuddin, Guru Besar SKKJ
          - Ucapan daripada Cikgu Abdul Wahit, Guru Besar SK Mukah
          - Lawatan ke kelas dan bilik-bilik khas
          - Majlis penyampaian cenderamata dan sesi bergambar
          - Jamuan

4.00 petang : Bertolak dari SK Kg. Jebungan ke SK Penakup Ulu

4.45 petang :
Lawatan Penanda Aras dan Lawatan Muhibbah di SK Penakup Ulu
         - Disambut oleh Guru Besar dan semua guru SK Penakup Ulu
         - Sesi bergambar
         - Ucapan aluan oleh Cikgu Juraidah, Guru Besar SKPU
         - Lawatan ke kelas dan bilik-bilik khas
         - Berkumpul di dewan
         - Bacaan doa
         - Ucapan Guru Besar SK Mukah
         - Majlis penyampaian cenderamata
         - Jamuan

5.30 petang : Bersurai

Melalui lawatan tersebut, banyak perkara serta pembaharuan dapat diambil dan dipelajari untuk mempertingkatkan lagi mutu serta kualiti pencapaian di SK Mukah dalam pelbagai perkara terutamanya dari aspek keceriaan sekolah. Tahniah kepada Guru Besar dan guru-guru di kedua-dua buah sekolah tersebut kerana telah membuat banyak perubahan terhadap persekitaran dan keceriaan sekolah bak kata pepatah "Dulu lain, sekarang lain".


Untuk pengetahuan semua, Cikgu Abdul Wahit pernah bertugas sebagai Guru Besar di SK Kg.Jebungan di mana sekolah tersebut merupakan sekolah pertama dalam perkhidmatannya sebagai Guru Besar.


Kami guru-guru dan staf-staf di SK Mukah mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh warga SK Kg.Jebungan dan SK Penakup Ulu di atas layanan mesra kalian terhadap kami. Kami juga sangat berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan kalian semua ke sekolah kami pula pada masa-masa akan datang.

Pada 13hb Februari yang lalu, MSSR Peringkat Daerah Mukah telah diadakan bertempat di SK Mukah sekali lagi. Kali ini menyaksikan pertemuan setiap zon untuk berentap menempah tempat ke MSSR Peringkat Bahagian yang akan diadakan di Sibu. Antara zon yang bertanding adalah seperti berikut :

1. Zon Bandar
2. Zon Seberang
3.Zon Ladang
4. Zon Balingian

Peserta SK Mukah yang terpilih baru-baru ini telah mewakili Zon Bandar. Tahniah buat semua yang terlibat kerana telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan bersaing secara positif. Majlis penangguhan MSSR Peringkat Daerah Mukah telah dirasmikan oleh Cikgu Burhanuddin selaku wakil daripada pihak PPD Mukah.  Berikut merupakan keputusan keseluruhan MSSR Peringkat Daerah Mukah :

Tempat Pertama : Zon Balingian
Tempat Kedua : Zon Bandar
Tempat Ketiga : Zon Seberang
Tempat ke Empat : Zon Balingian


Daripada kesemua peserta yang bertanding, beberapa peserta terbaik daripada setiap zon telah dipilih untuk mewakili Daerah Mukah ke MSSR Peringkat Bahagian. Tahniah buat Ailton dan Abang Izzul kerana turut terpilih mewakili Daerah Mukah ke Peringkat Bahagian. 

Pada 6hb Februari yang lalu, telah diadakan pemilihan wakil Majlis Sukan Sekolah-sekolah Rendah (MSSR) peringkat Zon Bandar bertempat di padang SK Mukah. Pengerusi merangkap pengelola bagi MSSR Zon Bandar pada tahun ini adalah SK Kg.Tellian, Mukah. Sekolah-sekolah lain telah diberi tugas untuk membantu SK Kg.Tellian dalam mengendalikan beberapa acara-acara tertentu. SK Mukah telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan acara lari berpagar.






Semua sekolah di zon bandar Mukah telah menghantar wakil peserta untuk disaring dalam peringkat pemilihan ini. SK Mukah telah menghantar seramai 20 orang peserta dalam pelbagai acara yang dipertandingkan. Semua peserta SK Mukah telah diiringi oleh Cikgu Julita dan Ustaz Engku ke pertandingan tersebut.

Tahniah buat 3 orang peserta daripada sekolah kita kerana telah terpilih mewakili MSSR Zon Bandar dalam beberapa acara balapan. Mereka ialah :

1. Ailton Lagon (6 Perkasa B) - Acara lari 100 meter dan Lari Berpagar
2. Abang Izzul Syahmi (5 Mantap B) - Acara lari 200 meter
3. Arendse (6 Perkasa B) - Acara lari 200 meter



Selepas ini, mereka bertiga akan mara ke peringkat Daerah untuk bersaing dengan atlet-atlet daripada zon-zon lain untuk menempah tempat mewakili MSSR Zon Daerah Mukah ke Peringkat Negeri yang dijangka akan diadakan di Sibu.

Pertandingan Sepak Takraw Peringkat Daerah Mukah telah pun melabuhkan tirainya. SK Mukah tidak ketinggalan menghantar wakil sekolah ke pertandingan tersebut. Nasib tidak menyebelahi SK Mukah apabila kedua-dua pasukan sepak takraw sekolah kita tumbang pada suku akhir perlawanan. Pertandingan tersebut telah berlangsung di Dewan KPSU Mukah. Pasukan sekolah kita telah diiringi oleh Ustaz Mohd Radzi dan Ustaz Engku Afizan. 






Pertandingan tersebut telah disertai oleh 18 buah pasukan daripada pelbagai sekolah rendah di Daerah Mukah. Keputusan akhir perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah iaitu SK Kg.Penipah telah berjaya menjadi johan pertandingan sepak takraw pada tahun ini diikuti oleh pasukan SK Kg.Jebungan sebagai naib juara dan pasukan SK Datuk Awang Udin di tempat ketiga. Tahniah di atas kesungguhan semua pemain. Mudah-mudahan kemenangan berpihak kepada pasukan sekolah kita pada pertandingan sepak takraw bagi tahun seterusnya.

Pada 28hb dan 29hb Januari yang lalu, telah diadakan Kursus Kepimpinan Pengawas anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Mukah yang diketuai oleh Cikgu Julita Binti Jaapar. Kursus tersebut telah melibatkan seramai 50 orang pengawas baru bagi tahun 2014 ini.

Kursus yang berlangsung selama dua hari tersebut telah melibatkan bantuan beberapa orang guru lain sebagai fasilitator dan jurulatih. Pelbagai aktiviti telah diadakan dalam kursus tersebut. Dalam kursus tersebut, pengawas-pengawas baru yang dilantik telah didedahkan dengan tugas kepimpinan dan bidang tugas pengawas sekolah.


Pada 30 Januari bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik, semua pengawas bagi Tahun 2014 telah dilantik secara sah berkuatkuasa pada tarikh tersebut dengan diketuai oleh Aqil Rafiqi sebagai ketua pengawas dan Sara Samantha sebagai Penolong Ketua Pengawas. Pada tahun ini, tugas-tugas pengawas telah dibahagikan kepada beberapa biro-biro kecil. Antaranya Biro Akademik, Biro Keselamatan, Biro Tugas Khas dan sebagainya. 

Perlantikan pengawas telah disempurnakan oleh Guru Besar, Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli dengan diiringi oleh Cikgu Fatimah Binti Drahman selaku Penolong Kanan HEM SK Mukah merangkap Guru Penasihat bagi Badan Pengawas di SK Mukah.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates