Pihak sekolah mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Kali ke-57 buat semua warganegara Malaysia terutamanya guru-guru, staf dan murid-murid SK Mukah. Sekolah akan bercuti sempena kemerdekaan pada Hari Isnin 1hb September 2014. Harap maklum.


Pada 25hb hingga 27hb Ogos yang lalu telah diadakan Kem Pemantapan Minda Murid Tahun 6 Peringkat Daerah Mukah. Program ini merupakan program anjuran PPD Mukah di mana semua murid Tahun 6 yang akan menduduki UPSR pada tahun ini diberikan suntikan motivasi serta tips-tips penting menjawab soalan bagi setiap subjek UPSR daripada guru-guru pakar sebelum menjelangnya peperiksaan sebenar.




Murid-murid Tahun 6 Daerah Mukah telah dibahagikan mengikut sekolah dan kem dijalankan dibeberapa buah pusat program yang telah ditetapkan. Antaranya di Hotel Kingwood Mukah, SK.Kg. Seberang, SK Dua Sungai dan SK Parish Balingian. Murid Tahun 6 SK Mukah dan SK Kg.Tellian amat bertuah kerana kedua-dua sekolah ini telah digabungkan bersama dan ditempatkan di Hotel Kingwood Mukah. Selain diajar tips-tips menjawab soalan UPSR, aktiviti kerohanian dan riadah tidak dilupakan.




Pihak PPD Mukah mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat semua guru yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung sebagai ahli jawatankuasa pelaksana Kem Pemantapan Minda Murid Tahun 6 pada tahun ini.

Pada 26hb Ogos yang lalu bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah, telah berlangsung Pertandingan Action Song Peringkat Daerah Mukah. Pertandingan bermula seawal jam 8.30 pagi dengan menyaksikan beberapa buah sekolah rendah di Daerah Mukah beraksi untuk mendapatkan gelaran johan dan naib johan kerana kedua-dua gelaran ini akan membawa mereka ke peringkat seterusnya iaitu peringkat bahagian yang dikhabarkan akan diadakan di Daerah Daro.



Pasukan Action Song SK Mukah kali ini tampil dengan tema ketenteraan telah membariskan beberapa orang peserta daripada kalangan murid Tahun 3 dan 4 orang jurulatih iaitu Cikgu Winny, Cikgu Anna, Cikgu Nadiah dan Ustazah Dayang Kamaliah.


Tahniah buat pasukan Action Song sekolah kita kerana telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan tersebut. Hadiah kepada semua peserta telah disampaikan oleh tetamu kehormat iaitu Cikgu Patrick, Pegawai Unit Pembangunan Kokurikulum PPD Mukah.

Pada 26hb Ogos yang lalu, telah diadakan Pertandingan Public Speaking Peringkat Daerah Mukah bertempat di SK Kg. Jebungan, Mukah. Seramai 10 orang peserta daripada beberapa buah sekolah telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. SK Mukah telah menghantar Ailin Yasmin Bt Mohamad Khairul Nizzuan dari kelas 5 Mantap A sebagai peserta.



Rezeki tidak menyebelahi SK Mukah apabila peserta sekolah kita tidak berjaya memperoleh kedudukan tiga teratas. Walaupun begitu, pihak sekolah mengucapkan tahniah di atas kejayaan dan kesungguhan kita dalam menyertai pertandingan Public Speaking pada tahun ini. InsyaAllah pada tahun hadapan kita cuba lagi untuk memperoleh kejayaan dalam pertandingan ini.




Pada 19hb hingga 21hb Ogos yang lalu, telah berlangsung Karnival Prasekolah 2014 Peringkat Daerah Mukah. Berikut merupakan perincian aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang 3 hari tersebut :

Dewan Tapou : 19hb Ogos 2014
Pertandingan Menulis Ayat Mudah dan Smart Speller Competition

Dewan KPSU : 20hb dan 21hb Ogos 2014
Pertandingan Futsal dan Bola Jaring




Beberapa bulan sebelum Karnival Prasekolah berlangsung,  Cikgu Rasyiid dan Cikgu Jaiton selaku guru Prasekolah SK Mukah telah bertungkus lumus dalam melatih murid-murid prasekolah terutamanya dalam permainan futsal dan bola jaring sebagai persediaan mereka menyertai semua pertandingan dalam Karnival Prasekolah kali ini.



Hasil daripada latihan dan kesungguhan murid-murid Prasekolah sekolah kita, mereka telah mencapai beberapa kejayaan dalam pertandingan-pertandingan yang telah dianjurkan. Antaranya ialah :

Menulis Ayat Mudah : Tempat Ketiga
Futsal : Tempat Ketiga
Bola Jaring : Tempat Keempat

Seorang peserta Futsal Prasekolah SK Mukah telah terpilih mewakili Zon 2 ke Pertandingan Futsal sempena Karnival Prasekolah Peringkat Zon yang akan diadakan di Maradong.

Pada 21hb Ogos yang lalu bertempat di SK kg. Jebungan telah diadakan Pertandingan Scrabble Peringkat Daerah Mukah. Sekolah kita telah menghantar 2 orang peserta ke pertandingan tersebut. Mereka ialah Aqil Rafiqi bin Ramli dan Harith Farhan bin Abd. Taip daripada Tahun 6. Mereka telah diiringi ke tempat pertandingan oleh jurulatih Scrabble SK Mukah iaitu Ustazah Dayang Kamaliah.



Scrabble merupakan mainan berpapan susun kata yang melibatkan 2 hingga 4 orang pemain bersaing mengumpul mata berdasarkan nilai perkataan yang dibentuk daripada beberapa keping huruf di atas papan permainan berpetak-petak. Hasil usaha dan latihan yang telah diberikan, mereka berdua telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan. Mereka akan mara ke peringkat Bahagian yang akan diadakan di Daro tidak lama lagi.

Pada 11hb hingga 15hb baru-baru ini, telah diadakan Karnival Jawi SK Mukah 2014 anjuran Panitia Pendidikan Agama Islam SK Mukah. Karnival Jawi yang berlangsung selama 5 hari tersebut telah melibatkan semua murid SK Mukah termasuk murid Prasekolah dan Kelas Khas Integrasi (KPKI).

Sepanjang minggu karnival tersebut, pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik telah diadakan. Antaranya ialah :

1. Pertandingan dan Kuiz Jawi (Sepanjang Minggu) :
  • Prasekolah dan KPKI : Mengenal dan Menyusun Huruf Jawi
  • Tahun 1 : Menyambung Huruf Jawi
  • Tahun 2 : Membezakan Perkataan Pinjaman Bahasa Arab dan Inggeris
  • Tahun 3 : Perkataan Berimbuhan Jawi
  • Tahun 4 : Imlak Jawi
  • Tahun 5 : Membina Ayat Jawi
  • Tahun 6 : Kuiz Jawi




2. Explorace Jawi Tahap 2 (13hb Ogos 2014)

Oleh kerana murid Tahun 6 akan menghadapi Peperiksaan Percubaan UPSR, Explorace Jawi hanya melibatkan murid Tahun 4 dan 5 sahaja. Explorace tersebut bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang. Sebelum memulakan aktiviti, murid-murid telah diberi taklimat ringkas oleh Pengerusi Program iaitu Ustaz Engku Afizan. 6 Checkpoint atau aktiviti disediakan dalam explorace ini. Antaranya ialah :
  • Checkpoint 1 : Gol Jawi
  • Checkpoint 2 : Jawi Terbang
  • Checkpoint 3 : MasterChef Jawi
  • Checkpoint 4 : Bom Jawi
  • Checkpoint 5 : Jawi Tersembunyi
  • Checkpoint 6 : Fear Factor Jawi


3. Sukaneka Jawi Tahap 1 (14hb Ogos 2014)

Sukaneka Jawi melibatkan murid Tahun 1 hingga Tahun 3. Sukaneka tersebut bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang. Turut membantu guru-guru PAI mengurus aktiviti ialah guru KAFA SK Mukah. Antara aktiviti yang dijalankan pada petang tersebut ialah :
  • Bawa Huruf Jawi dengan sudu
  • Cari Huruf Sombong dalam tepung
  • Tiup Belon dan Bulat Huruf Jawi
  • Pertandingan "Siapa Cepat Dia Dapat" 

Pihak sekolah mengucapkan tahniah di atas kejayaan Panitia Pendidikan Agama Islam kerana telah berjaya melaksanakan Minggu Karnival Jawi yang dirancang dengan jayanya. Terima kasih kepada semua guru yang terlibat dalam membantu menguruskan aktiviti sepanjang minggu tersebut. Hadiah bagi semua pertandingan dan aktiviti akan diumumkan semasa hari perhimpunan minggu hadapan. 

Pada hari Jumaat semalam 8hb Ogos telah berlangsung Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Berkonsepkan majlis "Berlanggar Meja", meja jamuan setiap kelas disusun secara berdekatan antara satu sama yang lain.


Majlis telah dipengerusikan oleh Cikgu Ahmad dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar SK Mukah, Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli disusuli taklimat ringkas serta bacaan doa daripada Ustaz Mohd Radzi. Turut hadir bersama warga SK Mukah ialah Cikgu Bujang, Guru Besar SK Kg.Tellian. Sebelum makan, murid dan guru bersama-sama bertakbir raya dan membaca doa makan.

Suasana meriah menghiasi persekitaran SK Mukah pada hari tersebut. Terima kasih kepada para ibu bapa dan guru yang telah menyumbang makanan dan minuman sempena majlis ramah tamah pada tahun ini. Kerjasama daripada semua pihak telah menjayakan majlis gilang-gemilang pada hari tersebut.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates