Pada 26hb Feb yang lalu, telah berlangsung Majlis Pelancaran Program Nilam 2015 bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik pada waktu perhimpunan. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran iaitu Cikgu Marzuki bin Ali Mahamud. 

NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.

Untuk pengetahuan semua, Program NILAM di sekolah kita telah ditadbir urus oleh semua ahli dalam Panitia Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris SK Mukah dengan kerjasama pihak pengurusan Pusat Sumber SK Mukah.

Makluman : Gambar akan dimasukkan kemudian.


Pada 26hb Feb yang lalu telah berlangsungnya dua pertandingan sempena MTQ Peringkat Daerah Mukah iaitu Pertandingan Tilawah al-Quran dan Bercerita yang diadakan di SK Kg.Penakup Ulu (Tilawah) dan SK Kg.Jebungan (Bercerita).

Sekolah kita telah menghantar beberapa orang murid sebagai peserta dalam pertandingan tersebut. Mereka ialah :

1. Muhammad Danish Asyraf (4EB ) - Tilawah Lelaki
2. Sofea Nazeeha (4EB ) - Tilawah Perempuan
3. Harith Haziq (5MA) - Bercerita Lelaki
4. Dayang Najwa Fatiha (5MB ) - Bercerita Perempuan




Mereka berempat telah diiringi oleh Ustaz Mohd Radzi, Ustazah Hafeedah, Ustazah Salmy dan Ustazah Dayang Kamaliah ke tempat pertandingan. Tahniah buat Danish dan Dayang Najwa kerana telah berjaya menjadi naib johan. Manakala Sofea dan Harith masing-masing mendapat tempat keempat daripada keseluruhan peserta.

Untuk pengetahuan semua, pada 5hb Mac nanti akan berlangsung pula Festival Nasyid dan Pertandingan Hafazan MTQ bertempat di SK Mukah (Nasyid) dan SK Kg. Tellian (Hafazan).

Pada 25 Februari yang lalu bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik pada jam 2.45 petang telah diadakan Perhimpunan Kokurikulum Pertama pada tahun ini. Perhimpunan pertama ini telah dipengerusikan oleh Kelab Doktor Muda dibawah pimpinan guru penasihatnya Cikgu Zullina dan Cikgu Razimah. 


Perhimpunan ini telah dihadiri oleh semua ahli kelab dan persatuan termasuk guru penasihat masing-masing. Berikut merupakan perjalanan majlis pada petang tersebut :

- Nyanyian Lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku
- Nyanyian Lagu Sekolah
- Ucapan oleh Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Dayang Rabi'aa bt Awang Mohsin
- Majlis Pentauliahan Doktor Muda Sesi 2015
- Bersurai






Majlis Pentauliahan Doktor Muda telah disempurnakan oleh PK 1, Cikgu Marzuki bin Ali Mahamud.
Dalam majlis ini, ahli-ahli kelab Doktor Muda masing-masing telah menerima pakaian khas daripada kelab Doktor Muda. Terima kasih buat semua yang terlibat dalam menjayakan perhimpunan Kokurikulum Pertama ini. Perhimpunan ini bersurai pada jam 5.00 petang.

Pada 24hb Februari yang lalu, telah diadakan Pertandingan Story Telling Peringkat Daerah Mukah bertempat di SK Bukit Inkerbai, Mukah. Sekolah kita telah menghantar adik Dayangko Shabistari dari tahun 4 Efisien A sebagai peserta. Dayangko Shabistari telah diiringi jurulatih Story Telling SK Mukah iaitu Cikgu Christine ke tempat pertandingan.


Tahniah buat Dayangko Shabistari kerana telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan tersebut. Ceritanya yang bertajuk "The Little Seed" berjaya menambat hati juri dan para penonton. Tempat kedua telah dimenangi oleh peserta daripada SJK(C) Chong Boon dan tempat ketiga disandang oleh peserta daripada SK Kg.Tellian.

Petikan daripada halaman surat khabar Borneo Post

Adik Dayangko Shabistari akan mewakili Daerah Mukah ke Pertandingan Story Telling Peringkat Bahagian Mukah yang dijadualkan akan berlangsung pada 2 April 2015 bertempat di Dewan Suarah Mukah. 

Pada 10 Februari yang lalu, Cikgu Hajeri bersama 4 orang murid sekolah kita yang telah mewakili pasukan sepak takraw ke Peringkat Negeri telah berangkat ke Daerah Kapit. Mereka akan menghadapi saingan dalam Pertandingan Sepak Takraw Peringkat Negeri di sana pada 11 dan 12 Februari ini. 



Selain mereka berempat, beberapa orang murid terpilih daripada sekolah lain di Daerah Mukah turut bersama mereka berangkat ke sana bersama guru pengiring sekolah masing-masing. Mereka semua telah bergabung dan membentuk dua pasukan Bahagian Mukah iaitu pasukan Mukah A dan Mukah B.


Rezeki dan nasib tidak menyebelahi kita yang pertama kali ke Peringkat Negeri dalam pertandingan ini. Secara keseluruhannya Bahagian Mukah mendapat tempat keempat daripada semua bahagian yang bertanding. Walaubagaimanapun, tahniah SK Mukah ucapkan kepada pasukan Sepak Takraw sekolah kita kerana telah berjaya dengan cemerlang pada tahun ini sehingga ke peringkat negeri. Mudah-mudahan segala pengalaman yang diperolehi sepanjang berada di sana dapat dijadikan pengajaran dan kayu ukur untuk memperbaiki mutu permainan kita pada tahun hadapan.

4hb Februari 2015 mencatat sejarah pertama kali buat pasukan Takraw SK Mukah kerana telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan Sepak Takraw Peringkat Bahagian yang diadakan di Dalat baru-baru ini sekaligus melayakkan mereka mewakili Bahagian Mukah ke Pertandingan Sepak Takraw Peringkat Negeri yang dijadualkan diadakan di Kapit pada 9hb Mac nanti.


Dua guru pengiring merangkap jurulatih Sepak Takraw SK Mukah iaitu Ustaz Mohd Radzi dan Cikgu Hajeri menganggap ini adalah keajaiban dalam pertandingan dan peluang yang diperolehi ini tidak boleh disia-siakan. Selama 5 tahun kebelakangan ini, pasukan sepak takraw kita ketandusan kemenangan malah sering tumpas awal di tangan sekolah-sekolah lain.




Tahniah buat Pasukan Sepak Takraw SK Mukah 2015 yang dianggotai oleh :

1. Abang Izzul Syahmi (6 Perkasa B)
2. Izaz Rizqi (6 Perkasa A)
3. Nicholas Nanang ( 5 Mantap B)
4. Harith Faiq (5 Mantap B)

Bahagian Mukah akan menghantar 3 Pasukan ke Pertandingan Peringkat Negeri. 2 Pasukan lagi dipilih daripada pasukan naib johan Peringkat Bahagian dan beberapa orang pemain berbakat yang telah dikenal pasti. Kami warga sekolah mendoakan agar Pasukan Sepak Takraw Bahagian Mukah berjaya dengan cemerlang di Peringkat Negeri dan layak ke peringkat seterusnya iaitu Peringkat Kebangsaan.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates