MTQ Daerah baru-baru ini menyaksikan pasukan SK Mukah dalam semua bidang yang dipertandingkan tidak melayakkan kita untuk ke peringkat seterusnya. Hasil perbincangan Panitia Pendidikan Islam akhirnya telah bersetuju untuk melatih dan membawa 2 pasukan kompang mewakili Daerah Mukah terus ke peringkat Bahagian berikutan tiada penyertaan mana-mana sekolah dalam Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Daerah. Untuk pengetahuan semua, tahun terakhir pertandingan kompang selawat ini dipertandingkan ialah pada tahun 2009. Dan pada tahun ini, julung-julung kalinya Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan kembali pertandingan ini. 



Peluang ini diambil SK Mukah dengan latihan yang konsisten terhadap dua pasukan kompang selawat yang dibentuk iaitu Kumpulan Aulad Islami (Lelaki) dan Kumpulan Mawaddah (Perempuan). Mereka semua telah dilatih oleh Ustaz Mohd Radzi dan Ustaz Engku Afizan. Pada 31 Mac semalam telah berlangsung acara yang dinantikan iaitu Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Bahagian Mukah. Daerah Dalat dan Daro masing-masing telah menghantar sebuah pasukan manakala sekolah kita yang mewakili Daerah Mukah membawa 2 penyertaan kompang selawat. Selain menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Hafazan, SK Mukah juga telah menjadi tuan rumah bagi pertandingan kompang selawat ini.



Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia tak siapa tahu. Percaturan Panitia Pendidikan Islam SK Mukah berjaya apabila Kumpulan Mawaddah telah diumumkan sebagai juara Kompang Selawat Peringkat Bahagian Mukah pada tahun ini manakala Kumpulan Aulad Islami pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua setelah kalah kepada lawan sendiri. Majlis Penutup MTQ Peringkat Bahagian Mukah telah berlangsung di SMK Mukah dengan dihadiri oleh semua kontijen MTQ daripada Daerah Mukah, Dalat dan Daro.


Mereka yang berjaya diperingkat bahagian ini akan mara ke MTQ Peringkat Negeri Sarawak yang akan diadakan pada 21-24 April 2015 bertempat di Sarikei.

Pada 26 Mac yang lalu, telah diadakan Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu Tahap 1 Peringkat Daerah Mukah bertempat di SK Lubuk Bemban, Mukah. Sekolah kita telah menghantar adik Faizyatul daripada Tahun 3 Terbilang B sebagai peserta. Faizyatul telah diiringi oleh Cikgu Haryadi ke tempat pertandingan. 





Di dalam pertandingan tersebut, adik Faizyatul telah mendapat tempat ketiga. Faizyatul atau lebih dikenali sebagai "Atul" di sekolah akan mewakili Daerah Mukah bersama johan dan Naib Johan ke Peringkat Bahagian yang akan diadakan di Dewan Suarah pada pertengahan bulan April nanti. Pihak sekolah mengucapkan tahniah di atas kejayaan tersebut.

Pada 26 Mac yang lalu, pasukan bola sepak lelaki bawah 12 Tahun (12TKB) Zon Bandar telah muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah (MSS) Peringkat Daerah Mukah yang berlangsung di padang SK Datuk Awang Udin (DAU). Mereka akan mewakili Daerah Mukah ke Peringkat Bahagian yang dijadualkan akan berlangsung di Dalat.


Petikan daripada Utusan Borneo bertarikh 27 Mac 2015

Untuk pengetahuan semua, semua pemain Peringkat Zon ini telah dipilih daripada beberapa buah sekolah mengikut zon masing-masing dan disatukan menjadi sebuah pasukan. Terdapat 4 Zon dalam Daerah Mukah iaitu Zon Bandar, Zon Seberang, Zon Ladang dan Zon Balingian. Semua pemain yang dipilih merupakan pemain terbaik daripada setiap sekolah. SK Mukah turut bertuah kerana 2 orang murid kita hasil bimbingan jurulatih bola sepak SK Mukah, Cikgu Rasyiid iaitu Izaz Rizqy dan Safwan daripada Tahun 6PA terpilih dalam kesebelasan pemain utama Zon Bandar.

Tahniah kita ucapkan!

Pada 26 Mac 2015 semalam telah berlangsung Majlis Penetapan Target dan Aku Janji UPSR 2015 bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik, SK Mukah. Murid-murid Tahun 6 telah ditemani ibu bapa masing-masing pada petang tersebut untuk menandatangani surat aku janji dan menetapkan target UPSR masing-masing dengan bantuan beberapa orang guru subjek berpandukan keputusan beberapa siri peperiksaan bulanan yang telah mereka capai.


Ucapan Tuan Haji Bugin Bin Hj Ragun

Ucapan Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli


Majlis bersejarah tersebut telah diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Hj.Bugin bin Hj.Ragun, Pegawai PPD Mukah. Pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada beliau kerana sudi hadir ke sekolah kita untuk merasmikan majlis pada petang tersebut. Berikut merupakan perjalanan majlis yang telah berlangsung semalam :

1430   
Para hadirin mengambil tempat
1445   
Ketibaan Tuan Hj.Bugin bin Hj.Ragun, Pegawai PPD Mukah.
Nyanyian Lagu Nagaraku
Bacaan doa oleh Ustaz Engku Afizan bin Engku Halim
Ucapan aluan Cikgu Wahit bin Mohamad Etli, Guru Besar SK Mukah
Ucapan perasmian oleh Tuan Hj.Bugin bin Hj.Ragun, Pegawai PPD Mukah.
Majlis penetapan target UPSR 2015
Majlis menandatangani surat Aku Janji dihadapan Guru Besar dan Pegawai PPD Mukah
1700
Bersurai






Pihak sekolah mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan Majlis Penetapan Target dan Aku Janji UPSR pada tahun ini.

Baru-baru ini, 18hb hingga 20hb Mac telah berlangsung Program Cambridge ICT Starters yang dianjurkan oleh pihak Danawa Resourses Sdn. Bhd. (DANAWA) bertempat di Bilik Seminar Hotel Kingwood, Mukah. Beberapa buah sekolah di Daerah Mukah telah mengikuti kursus selama tiga hari ini. Semua murid Tahun 6 sekolah kita seramai 51 orang telah terlibat di dalam kursus ini. Mereka telah diiringi oleh Cikgu Julita ke tempat kursus.




Mereka semua masing-masing telah dibekalkan sebuah komputer riba dan telah diajar menggunakan beberapa perisian asas komputer seperti microsoft word dan powerpoint. Terima kasih kepada pihak Danawa kerana telah memberi peluang pembelajaran komputer kepada murid-murid Tahun 6 Daerah Mukah khususnya murid-murid SK Mukah. Terima kasih juga kepada pihak ibu bapa yang telah memberikan kerjasama baik khususnya dalam tugas menghantar dan mengambil anak-anak tuan/puan mengikut jadual dan masa yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. 

Pada 5 Mac yang lalu, bertempat di SK Kg.Seberang telah diadakan Pertandingan Language Game dan Scrabble Peringkat Daerah Mukah. Beberapa orang murid Tahun 6 telah mewakili sekolah dalam pertandingan-pertandingan tersebut. Mereka ialah :

1. Ailin Yasmin bt Mohamed Khirul Nizzuan (6PA)
2. Shahnur Izzaty bt Amilin Shah (6PA)
3. Nur Athirah bt Norhisyam (6PA)
4. Nur Afifah Zakirah bt Zulfakar (6PB)
5. Nurin Aqilah bt Hamdan (6PB)
6. Nurul Nabila bt Zulfa Vety (6PB)
7. Nur Syahirah bt Salleh (6PB)
8. Rachel Rayak bt Timothy (6PB)








Mereka semua telah diiringi oleh Cikgu Edmund, Cikgu Siti Fatanah dan Cikgu Dayang ke tempat pertandingan. Bagi pertandingan Scrabble, kita telah berjaya mendapat tempat kedua manakala bagi pertandingan Language Game kita tidak mendapat tempat tiga teratas. SK Mukah mengucapkan tahniah buat semua peserta yang telah mewakili sekolah dalam kedua-dua pertandingan tersebut.

Pada 5hb Mac yang lalu, bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah telah berlangsung Festival Nasyid Sekolah Rendah Peringkat Daerah Mukah. Sebanyak 5 buah sekolah telah mengambil bahagian. Antaranya SK Mukah, SK Datuk Awang Udin, SK Kg.Petanak, SK Kg.Seberang dan SK St.Patrick. Untuk pengetahuan semua, pada tahun ini, SK Mukah telah sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah bagi pertandingan ini.









Pada tahun lalu kita menyaksikan pasukan nasyid Shoutul Hijjazi SK Mukah pimpinan Ustaz Engku Afizan telah berjaya menjadi johan namun pada tahun ini, rezeki tidak menyebelahi kita untuk mempertahankan gelaran juara bagi mara ke peringkat seterusnya kerana telah mendapat naib johan dalam pertandingan kali ini. Tahniah buat SK Datuk Awang Udin kerana telah berjaya mendapat johan manakala SK St.Patrick di tempat ketiga. Walaupun begitu, tahniah buat semua ahli dalam pasukan nasyid Shoutul Hijjazi kerana telah menunjukkan persembahan yang bersemangat pada hari tersebut. Hadiah dan sijil telah disampaikan oleh Guru Besar SK Mukah, Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli. 

Pertandingan Hafazan pula telah diadakan di SK Kg.Tellian di mana kita telah menghantar Muhammad Danish (5 Mantap B ) dan Nur Atma Najihah (6 Perkasa A) sebagai wakil hafazan sekolah kita. Mereka berdua telah diiringi oleh Ustazah Fazariah dan Ustazah Amirah ke tempat pertandingan. Tahniah buat Nur Atma kerana telah berjaya memperoleh tempat ketiga manakala Danish telah mendapat tempat ke-7.




Terima kasih buat semua guru dan murid yang terlibat dalam membantu Panitia Pendidikan Agama Islam dalam menjayakan pengelolaan Festival Nasyid Peringkat Daerah Mukah pada kali ini. MTQ Peringkat Bahagian akan diadakan di Daerah Mukah pada 31 Mac ini. 


Pada 4hb Mac semalam, 4 orang murid sekolah kita yang terpilih mewakili zon bandar baru-baru ini iaitu Abang Izzul Syahmi (6 Perkasa B ), Mohd Safwan (6 Perkasa A), (Aqmar Daniel (6 Perkasa B ), Izaz Rizqi (6 Perkasa A) dan Claudia Licca (6 Perkasa B ) telah diiringi oleh Cikgu Hajeri dan Cikgu Nurul Izzah ke SK Parish Balingian bagi acara pemilihan atlet olahraga untuk mewakili Daerah Mukah.






Tahniah diucapkan kepada Abang Izzul Syahmi kerana terpilih mewakili Daerah Mukah dalam acara lari pecut 100 meter. Bagi acara 4x100, zon bandar mendapat tempat ketiga manakala bagi acara lontar peluru, zon bandar yang diwakili oleh Claudia memperoleh tempat kedua.

Turut hadir menyaksikan acara pemilihan pada pagi itu ialah Haji Bugin Bin Haji Ragun, Pegawai Pendidikan Daerah Mukah. Abang Izzul dan beberapa orang lagi atlet lain yang telah terpilih akan mewakili Daerah Mukah ke peringkat Bahagian pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan nanti.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates