SK Mukah mengucapkan Selamat Bercuti buat semua murid dan guru. Berhati-hati ketika pulang ke kampung. Pandu Cermat, Jiwa Selamat..

Cuti Sekolah Penggal Pertama ini bermula pada 30 Mei 2015 dan berakhir pada 14 Jun 2015. Harap Maklum.

Pada 28 Mei yang lalu, telah diadakan Majlis Perpisahan khas buat En. Ahmad Fauzi bin Samat, Juruteknik Makmal Komputer SK Mukah. Hampir 8 tahun beliau telah menyumbang bakti di SK Mukah dan telah menjalankan pelbagai bidang tugas yang diberi dengan baik dan dedikasi. Semua warga guru dan staf SK Mukah merasakan kehilangan seorang rakan yang amat dikasihi.


Majlis dimulai dengan bacaan doa oleh Ustaz Engku Afizan dan disusuli oleh ucapan Guru Besar, Cikgu Wahit bin Mohamad Etli. Seterusnya, ucapan daripada insan yang diraikan iaitu En. Ahmad Fauzi. Untuk pengetahuan semua, En. Mohd Fauzi akan berpindah ke Negeri Sembilan dan akan bertugas di Pusat Kegiatan Guru Kuala Pilah. 



Kami warga guru dan staf SK Mukah mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti En.Ahmad Fauzi selama mana bersama kami di SK Mukah ini. Semoga En.Ahmad Fauzi dapat menjalankan tugas dengan baik dan berjaya di tempat baharu.

Pada 27 Mei yang lalu, bertempat di kelas PPKI SK Mukah, telah berlangsung dengan jayanya Perkhemahan Pengakap Kelas PPKI 2015. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan oleh guru-guru PPKI kepada murid-murid mereka. Antara yang menarik perhatian murid-murid khas ini ialah aktiviti perkhemahan. Murid-murid khas telah didedahkan dengan cara pemasangan khemah. Mereka telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan dibantu oleh beberapa orang guru sebagai fasilitator untuk memasang khemah dengan cara yang betul.



Sebagai motivasi, guru-guru telah menyediakan hadiah kepada mana-mana kumpulan yang berjaya memasang khemah dengan betul dan cepat. Mereka semua teruja dengan aktiviti ini. Selain itu, aktiviti sampingan seperti BBQ turut menarik perhatian mereka. Sebahagian daripada mereka membantu guru-guru menyediakan hidangan tengah hari.


Ucapan Penangguhan oleh Ustaz Engku

Pemenang Kategori Kumpulan Terbaik
Diakhir program, telah diadakan majlis penangguhan perkhemahan. Majlis perasmian penangguhan Perkhemahan Pengakap Kelas PPKI 2015 telah disempurnakan oleh Penyelaras Kokurikulum SK Mukah iaitu Ustaz Engku Afizan Bin Engku Halim. Tahniah buat semua guru dan staf di PPKI SK Mukah kerana telah berjaya melaksanakan perkhemahan ini dengan baik dan lancar.

 

Pada 24 Mei yang lalu bertempat di Kingwood Resort Hotel telah berlangsung Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Mukah. Majlis tersebut berlangsung bermula jam 2.30 petang dan telah dihadiri oleh beberapa orang tetamu kehormat. Antaranya YB Encik Yusibnosh Balo, Ahli DUN 51 Balingian. SK Mukah telah diberi kepercayaan mengendalikan bahagian pengacaraan oleh pihak PPD Mukah. Cikgu Edmund dan Cikgu Zullina telah mempengerusikan majlis pada hari tersebut manakala Ustaz Mohd Radzi sebagai pembaca doa. 


Perayaan Hari Guru kali ini menyaksikan 5 orang guru SK Mukah telah tersenarai dalam senarai penerima Anugerah Khas daripada PPD Mukah. Anugerah ini diberi atas sumbangan besar guru-guru yang berjaya melatih murid sehingga berjaya di Peringkat Negeri. Tahniah buat Cikgu Haryadi dan Cikgu Winny kerana telah berjaya dalam Action Songs dan tahniah buat Cikgu Zullina, Cikgu Nasir dan Cikgu Razimah kerana telah mencapai kejayaan cemerlang menerusi Kelab Doktor Muda.

Tahniah buat mereka berlima. Semoga kejayaan mereka menjadi pembakar semangat buat kami guru-guru lain di SK Mukah untuk berjaya cemerlang seperti mereka seterusnya menaikkan nama SK Mukah dalam pelbagai bidang. Majlis bersurai pada jam 5.00 petang.

Pada 20 Mei 2015 Rabu yang lalu, telah berlangsung Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah. Walaupun dengan ketiadaan peneraju utama sekolah Cikgu Wahit bin Mohamad Etli, Guru Besar SK Mukah dan beberapa orang guru yang sedang berkursus namun semuanya tetap dijalankan seperti yang telah dirancang. Untuk pengetahuan semua, Guru Besar SK Mukah telah mewakili pihak PPD Mukah ke Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak yang telah diadakan di Dewan Suarah, Bintulu.



Majlis telah dipengerusikan oleh Ustazah Salmy dan Cikgu Edmund. Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis tersebut ialah Mantan YDP PIBG SK Mukah, Dr.Osman bin Hj.Rafaie, SISC Bahasa Malaysia, Cikgu Baharun dan NYDP PIBG SK Mukah, Tuan Haji Hamdan bin Samdin. Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

8.00 pagi       Ketibaan tetamu kehormat
                      Nyanyian Lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku
                      Bacaan Doa oleh adik Aqmar Daniel (6PB)
                      Ucapan alu-aluan oleh Cikgu Marzuki, Penolong Kanan 1
                      Ucapan NYDP PIBG, Tuan Haji Hamdan
                      Ucapan Wakil PPD Mukah, Cikgu Baharun.
                      Perutusan Pengarah Pendidikan Malaysia - Cikgu Fatimah
                      Perutusan Menteri Pendidikan Malaysia - Cikgu Hajeri
                      Ikrar dan Koir Guru
                      Persembahan Murid
                            - Sajak Hari Guru
                            - Bicara Irama
                      Acara Memotong Kek
                      Jamuan Ringan
12.40             Bersurai





Terima kasih buat semua yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Guru SK Mukah pada tahun ini. Walaupun sambutan kali ini tampak sederhana, namun suasananya cukup meriah dengan wajah ceria guru-guru dan riang ria murid-murid yang meraikannya.

Pada 15 Mei 2015 yang lalu, Panitia Pendidikan Agama Islam telah mengadakan program ceramah sempena memperingati Peristiwa Israk dan Mikraj pada setiap tarikh 27 Rejab. Ceramah Israk Mikraj telah disampaikan oleh Ketua Panitia PAI iaitu Ustaz Engku Afizan bin Engku Halim bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah. Antara isi ceramah pada petang tersebut :

1. Kisah Israk Mikraj
2. Kajian Sains tentang Solat
3. Kepentingan Solat







Ceramah yang berdurasi selama 1 jam 30 minit tersebut telah dihadiri oleh beberapa orang guru dan staf SK Mukah dan melibatkan semua murid Islam dari Tahun 2 hingga Tahun 6. Selepas sesi ceramah, murid-murid telah diajukan beberapa soalan dan hadiah diberikan jika berjaya menjawab soalan-soalan tersebut. Suasana meriah dengan riuh rendah suara murid di mana masing-masing berlumba-lumba mengangkat tangan untuk menjawab soalan. Sesi bersoal jawab tersebut dipengerusikan oleh Ustazah Fazariah dan Ustazah Salmy. Selesai sesi soal jawab, semua murid solat Asar berjemaah di surau sebelum bersurai pada jam 5.00 petang.

Pada 14 Mei yang lalu, bertempat di Dewan Suarah Mukah telah berlangsung Pertandingan Bicara Irama Peringkat Negeri Sarawak. SK Mukah amat bertuah kerana telah dipilih oleh PPD Mukah sebagai wakil Bahagian Mukah dalam pertandingan tersebut. Beberapa orang guru SK Mukah telah diamanahkan untuk mencari bakat dan melatih sekumpulan murid terpilih bagi menghasilkan sebuah Pasukan Bicara Irama. Antara guru yang terlibat secara langsung dalam melatih pasukan tersebut ialah Cikgu Fauzidah, Ustaz Mohd Radzi, Cikgu Edmund, Cikgu Basirah, Cikgu Izzah dan Cikgu Azlina. Pertandingan Bicara Irama mirip kepada Pertandingan Chorus Speaking (Bahasa Inggeris) dan Pertandingan Kalam Jamaie (Bahasa Arab) dan bezanya ia disampaikan dalam Bahasa Melayu. 

Skrip Bicara Irama daripada setiap bahagian


Pasukan Bicara Irama SK Mukah

8 daripada 11 bahagian menyertai pertandingan tersebut. Bahagian Miri, Limbang dan Sri Aman menarik diri berikutan kekangan masa untuk melatih pasukan. Dua kategori dipertandingkan iaitu Bicara Irama Sekolah Rendah dan Bicara Irama Sekolah Menengah. Berikut merupakan keputusan pertandingan Bicara Irama Sekolah Rendah pada hari tersebut :

Johan : Bahagian Kapit
Naib Johan : Bahagian Bintulu
Tempat ke-3 : Bahagian Betong




Walaupun kita sekadar penyertaan, namun ia merupakan suatu pengalaman yang amat berharga buat kita. Dari situlah titik permulaan untuk kita belajar dan mengorak langkah mencapai kejayaan di masa hadapan. Untuk pengetahuan semua, Pertandingan Bicara Irama dipertandingkan pada setiap tahun namun beberapa bahagian terpencil di Sarawak seperti Bahagian Mukah tidak pernah didedahkan dengan pertandingan ini dan ini merupakan kali pertama Bahagian Mukah menyertainya berikutan Bahagian Mukah menjadi Tuan Rumah Peringkat Negeri pada tahun ini. Tahniah dan terima kasih buat semua yang terlibat dalam melatih dan membimbing pasukan Bicara Irama sekolah kita sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 

Pada hari Selasa bersamaan 14 Mei 2015, telah berlangsung Pertandingan Saintis Muda Sekolah Rendah Peringkat Daerah Mukah bertempat di SK Datuk Awang Udin, Mukah. 2 orang murid Tahun 6 Perkasa B telah mewakili sekolah kita dalam pertandingan tersebut iaitu Aqmar Daniel dan Mok Hua Ann. Selain sekolah kita, pertandingan tersebut juga turut disertai oleh 9 buah sekolah yang lain. Mereka telah diiringi oleh Ketua Panitia Sains sekolah kita iaitu Cikgu Cianra. 



Saintis Muda Mok dan Aqmar
Dalam pertandingan tersebut, semua wakil saintis muda setiap sekolah diuji kemahiran menghuraikan proses Sains dan kemahiran menggunakan alat radar Sains. Berikut merupakan keputusan pertandingan Saintis Muda Sekolah Rendah Peringkat Daerah Mukah :

1. SK Kuala Balingian - Johan
2. SK Mukah - Naib Johan
3. SK Parish, Balingian - Tempat Ke-3

Cikgu Cianra (Duduk 4 dari kanan)


Tahniah buat Aqmar dan Mok kerana berjaya mendapat naib johan dalam pertandingan tersebut. Hadiah telah disampaikan oleh wakil Guru Besar SK Datuk Awang Udin, Cikgu Jamaliah Sahari.

Pada 13 Mei yang lalu, telah berlangsung Pertandingan Mencipta Kad Hari Guru sempena Perayaan Hari Guru pada 16 Mei ini. Pertandingan peringkat sekolah ini dikelolakan oleh Panitia Dunia Seni Visual. Pertandingan ini melibatkan semua murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6 dan masa perlaksanaannya ditetapkan seperti berikut :

1. Tahap 1 - Semasa Kelas DSV pada waktu pagi.
2. Tahap 2 - Dataran Arena Modal Insan Dinamik pada 13 Mei jam 2.45 - 4.30 petang.





Sambutan yang amat menggalakkan daripada semua murid. Masing-masing mempamerkan pelbagai kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan kad hari guru pada tahun ini. Berdasarkan pemerhatian guru-guru penilai pada hari tersebut, mereka mendapati hasil kerja murid pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Keputusan pertandingan ini akan diumumkan pada perhimpunan minggu hadapan. Harap maklum.

Bertempat di UITM Kota Samarahan, kontijen Kelab Doktor Muda (KDM) Bahagian Mukah yang terdiri daripada beberapa orang murid dan guru daripada SK Mukah dan SK St.Patrick telah berada di sana selama 4 hari 3 malam bermula pada 9 Mei hingga 12 Mei bagi menghadapi saingan di Konvensyen Doktor Muda Peringkat Negeri Kali Ke-6 pada tahun ini. Antara guru dan murid sekolah kita yang terlibat dalam konvensyen ini ialah :

1. Cikgu Zullina bt Ramli - Guru Penasihat KDM / Pembentang Kategori Sekolah Cemerlang KDM
2. Cikgu Nasir bin Sahari - Guru Penasihat KDM / Guru Pengiring
3. Syahmi Faiz bin Arman - Wakil Bahagian Mukah Kategori Tokoh KDM
4. Ailin Yasmin dan Gloria - Wakil Bahagian Mukah Kategori Projek KDM Bersama Komuniti


Hasil usaha gigih para guru penasihat dan semua ahli KDM serta gandingan bahu daripada pelbagai pihak, Kelab Doktor Muda Bahagian Mukah berjaya dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan menewaskan 10 bahagian yang lain. Suatu pencapaian yang amat membanggakan apabila pasukan sekolah kita SK Mukah telah berjaya mendapat johan dalam 2 kategori iaitu Projek Bersama Komuniti KDM dan Sekolah Cemerlang KDM. Untuk pengetahuan semua, pertandingan dalam konvensyen KDM banyak melibatkan pembentangan kertas kerja, laporan aktiviti dan inovasi. Selain itu, para peserta banyak diuji daya pemikiran atau IQ dengan soalan-soalan mencabar oleh para juri yang hampir semuanya merupakan doktor daripada pelbagai cabang ilmu perubatan dan kesihatan.   

SK St.Patrick juga memperoleh 2 kemenangan iaitu johan dalam Pameran Intervensi KDM dan Intervensi Pendidikan Kesihatan KDM. Hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah. Konvensyen Doktor Muda Peringkat Kebangsaan dijangka akan diadakan pada bulan September di Negeri Selangor. Tahniah diucapkan buat Kelab Doktor Muda SK Mukah. Terima kasih buat semua guru yang sama-sama menyumbang tenaga membantu Kelab Doktor Muda sekolah kita sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Tahniah!!!

Pada 9 Mei 2015 yang lalu, telah diadakan Program Cahaya Kasih khusus untuk murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah rendah dan menengah anjuran Maybank Cawangan Mukah.





Program Cahaya Kasih merupakan aktiviti kesukarelawan pihak Maybank dengan komuniti masyarakat. Antara aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut ialah Senam Robik dan Sukaneka. Selain guru-guru kelas PPKI, turut hadir dalam menjayakan program tersebut ialah para ibu bapa murid-murid PPKI dan beberapa orang guru daripada aliran perdana.


Sekolah akan bercuti pada 1 Mei - 4 Mei sempena Hari Pekerja dan Hari Wesak. Selamat Bercuti Buat Semua Guru dan Staf SK Mukah yang meraikan Hari Pekerja.





Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates