Pada 27 Ogos yang lalu, telah berlangsung Pertandingan Lalu Lintas Shell (LLS) bertempat di Dataran Pehin Setiaraja. Cikgu Christina dan Cikgu Edmond selaku jurulatih LLS SK Mukah telah mengiringi barisan peserta sekolah kita ke tempat pertandingan tersebut. Pertandingan tersebut telah disertai oleh beberapa buah sekolah di Daerah Mukah ini dengan menyaksikan beberapa kategori dipertandingkan. Antaranya kategori interaktif komputer, pejalan kaki, penunggang basikal dan pemandu kereta.



Pertandingan LLS Peringkat Bahagian Mukah ini merupakan pertandingan tahunan anjuran Sarawak Shell Berhad dengan kerjasama MDDM, PPD Mukah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Tahniah buat Maizatul Zafirah dari Tahun 5 Mantap A kerana telah menjuarai ketegori Pejalan Kaki. Secara keseluruhannya SK Mukah ditempat ke-4. 16 saman telah dikeluarkan kepada sekolah kita pada hari tersebut. SK St.Patrick telah menjuarai pertandingan LLS sekal lagi pada tahun ini diikuti SK DAU ditempat kedua dan SK Kg.Petanak di tempat ke-3. 

Tahniah buat semua. Kalah bukan bererti kalah selama-lamanya tapi ia merupakan permulaan bagi mengecapi kejayaan di masa akan datang. Kejayaan akan datang bukan ditentukan oleh pencapaian yang lepas tetapi ia bergantung kepada persediaan pada masa sekarang. Jangan putus asa. Cuba Lagi SK Mukah! 

Pada petang 26 Ogos yang lalu bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah telah diadakan Pertandingan Mewarna Jalur Gemilang anjuran Panitia Pendidikan Seni Visual dengan kerjasama Panitia Pendidikan Moral sempena meraikan bulan kemerdekaan tahun ini.




Pertandingan kali ini membawa kelainan daripada tahun-tahun sebelumnya di mana murid-murid dikehendaki menggunakan teknik kolaj untuk menghasilkan bendera Malaysia. Teknik kolaj ialah teknik tampalan untuk menghasilkan pelbagai karya lukisan, gambar atau rekaan. Bahan tampalan boleh disusun, ditindih atau diatur pada permukaan kertas mengikut komposisi tema atau tajuk yang diperlukan. Terdapat empat jenis kolaj iaitu kolaj kertas, bahan jahitan, bijirin dan bahan terbuang.

Ustaz Engku dan Ustazah Fazariah bersama penceramah
Selain itu, dalam masa yang sama telah berlangsung Seminar Terapi Pemantapan Kerjaya di Dewan Kingwood Resort anjuran Komuniti Guru Pendidikan Islam Daerah Mukah yang mana ia dihadiri oleh sebahagian daripada guru-guru SK Mukah. Penceramah yang diundang dalam seminar tersebut ialah Personaliti Dakwah iaitu Ustaz Syed Abdul Kadir al-Jofre.

Pada 20hb Ogos yang lalu bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik telah diadakan Pelancaran Bulan Kemerdekaan kali ke 58 Peringkat Sekolah di SK Mukah. Pelancaran Bulan Kemerdekaan tersebut telah dirasmikan oleh Cikgu Marzuki Ali Mahamud, Pemangku Guru Besar merangkap PK1 SK Mukah. Alvin Rosli, Ketua Pengawas SK Mukah telah menyerahkan bendera Malaysia kepada Cikgu Marzuki sebagai acara simbolik perasmian. Sewaktu majlis pelancaran tersebut, semua murid dan guru menyanyikan lagu Kemerdekaan sambil mengibarkan jalur gemilang.




Selain itu, turut diselitkan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Pengawas SK Mukah bagi tahun 2016. Penyerahan watikah tersebut telah disempurnakan oleh Cikgu Marzuki bin Ali Mahamud kepada semua pengawas yang terpilih. Tahniah buat Nesrina Nabihah Fitriah dari kelas 5 Mantap A kerana telah dilantik sebagai Ketua Pengawas 2016 manakala Justin Daniels juga dari kelas 5 Mantap A sebagai Penolong Ketua Pengawas. Semoga semua pengawas yang telah dilantik dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.


Justin dan Nesrina

Selesai sudah Konvensyen Kelab Doktor Muda Peringkat Kebangsaan di UiTM Puncak Alam. Sekolah kita yang mewakili negeri Sarawak dalam Kategori Sekolah Cemerlang KDM telah mendapat tempat ke-4 daripada semua negeri yang bertanding. Sijil dan trofi telah disampaikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia iaitu YB Dato Seri Dr. S.Subramaniam kepada Cikgu Zullina bt. Ramli, Penasihat KDM SK Mukah.


Cikgu Zullina ditemuramah berita Bernama
Majlis penyampaian sijil dan trofi
Bagi kategori Projek Komuniti yang diwakili oleh Ailin Yasmin dan Gloria pula telah mendapat saguhati. Walaupun tidak berada dalam kelompok 3 teratas, namun kejayaan kalian semua dalam KDM sudah cukup membanggakan kami lebih-lebih lagi warga Sekolah Kebangsaan Mukah kerana bukan mudah untuk sampai ke peringkat kebangsaan ini. Anda telah membuktikan kemampuan anda pergi jauh. Semoga KDM SK Mukah dapat mengorak langkah yang lebih cemerlang lagi di masa akan datang.



Trofi dan sijil telah disampaikan kepada PK KK, Cikgu Dayang

Pada 11 Ogos yang lalu bertempat di Dewan Suarah Mukah telah berlangsung Pertandingan Kalam Jamaie dan Majlis Khatam al-Quran Peringkat Bahagian Mukah. Pertandingan tersebut telah disertai oleh semua daerah dalam Bahagian Mukah iaitu wakil Daerah Mukah, Daerah Dalat dan Daerah Matu Daro. Pertandingan Kalam Jamaie yang merupakan pertandingan ala-ala Chorus Speaking ini merupakan pertandingan yang amat dinantikan oleh semua Panitia Bahasa Arab setiap sekolah kerana ia melibatkan penyertaan ramai peserta dan memerlukan masa yang agak lama untuk melatih peserta.




Tahniah buat pasukan Kalam Jamaie Daerah Mukah yang diwakili oleh SK Mukah kerana telah menjadi johan sekali lagi pada tahun ini. Antara jurulatih Kalam Jamaie Daerah Mukah ialah guru sekolah kita iaitu Ustaz Mohd Radzi bin Mahmood. Mereka akan mara ke pertandingan peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober 2015 bertempat di Dewan Suarah Mukah. Untuk pengetahuan semua, Bahagian Mukah merupakan tuan rumah bagi Pertandingan Kalam Jamaie dan Majlis Khatam al-Quran Peringkat Negeri pada tahun ini.


Ulasan daripada Ustaz Radzi, Ketua Hakim Pertandingan Kalam Jamaie
Semoga pasukan sekolah kita berjaya di Peringkat Negeri seterusnya mengikut jejak langkah Kelab Doktor Muda ke Peringkat Kebangsaan. 

Masa yang dinantikan telah pun tiba. Berlangsungnya Konvensyen Kelab Doktor Muda Peringkat Kebangsaan kali ke-6 bertempat di UITM Puncak Alam, Shah Alam bermula pada 11-14 Ogos 2015. 2 orang murid sekolah kita iaitu Ailin Yasmin dan Gloria masing-masing merupakan murid Tahun 6 akan mewakili Negeri Sarawak dalam Kategori Projek Bersama Komuniti. Turut mengiringi mereka berdua 'Orang Kuat" KDM SK Mukah iaitu Cikgu Zullina, Cikgu Razimah dan Cikgu Nasir. Selain itu, SK Mukah juga terlibat dalam Penjurian Sekolah Cemerlang Kelab Doktor Muda Peringkat Kebangsaan baru-baru ini di mana keputusannya akan diumumkan dalam konvensyen tersebut. Mereka telah berangkat ke sana bersama kontijen KDM Negeri Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.








Kami warga guru, staf dan murid SK Mukah mendoakan kejayaan kalian dalam Konvensyen Kelab Doktor Muda Peringkat Kebangsaan tersebut. Semoga kita berjaya memperoleh kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan seterusnya melonjakkan nama SK Mukah sebagai salah satu kebitaraan Bahagian Mukah selain daripada silat dan bola tampar.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates