Pada hari petang Khamis yang lalu, 19 November telah diadakan Jamuan Akhir Tahun dan Majlis Perpisahan khas untuk Cikgu Mohd Fahmi bin Mustafa yang akan berpindah sekolah ke Negeri Pulau Pinang. Untuk pengetahuan semua, Cikgu Fahmi telah berkhidmat selama hampir 6 tahun di SK Mukah. Beliau merupakan salah seorang daripada guru-guru di kelas PPKI. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas sumbangan Cikgu Mohd Fahmi sepanjang keberadaan beliau di SK Mukah. 

Majlis telah dimulai dengan ucapan alu-aluan Pemangku Guru Besar SK Mukah, Cikgu Marzuki bin Ali Mahamud dan disusuli oleh ucapan perpisahan oleh Cikgu Mohd Fahmi. Dalam ucapannya, Cikgu Mohd Fahmi berpesan agar semua pihak mengambil berat terhadap kebajikan murid-murid berkeperluan khas dan menegaskan bahawa murid-murid seperti itu janganlah dianggap sebagai orang kurang upaya (OKU) sebaliknya orang kelainan upaya.

Selain itu juga, majlis ini turut meraikan 2 orang guru praktikal yang telah berjaya menamatkan program pratikum mereka di SK Mukah ini. Sepanjang di SK Mukah ini, mereka cukup dikenali di sini dengan panggilan Cikgu Amir dan Cikgu Bibi. 

Majlis ini bermula seawal jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Pelbagai juadah istimewa disediakan. Antaranya ikan bakar, daging kambing bakar, jagung bakar dan banyak lagi. Buat yang berpindah, kami pihak sekolah mengucapkan selamat maju jaya di tempat tugas yang baharu manakala buat yang baru sahaja menamatkan pengajian di institut perguruan, selamat datang ke bidang perguruan yang sebenar. Terima kasih buat semua guru dan staf yang hadir ke jamuan akhir tahun ini.

Makluman : Gambar akan dimasukkan kemudian. Harap maklum.

Pada 19 November baru-baru ini telah diadakan Majlis Pengiktirafan Kualiti Pencapaian Cemerlang SK Mukah 2015 bertempat di Dewan Suarah bermula seawal jam 8.00 pagi. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Wakil PPD Mukah, En.Samsu bin Ismail dari Unit Pembangunan Kemanusiaan PPD Mukah, Mantan Guru Besar SK Mukah, Cikgu Wahit bin Mohamad Etli, Mantan YDP SK Mukah, Dr.Osman bin Hj.Rafaie, YDP SK Mukah, En.Mohamed Khirul Nizzuan dan para ibu bapa murid-murid SK Mukah.



Ucapan Alu-aluan oleh Pemangku Guru Besar, Cikgu Marzuki bin Ali Mahamud

Ucapan oleh YDP PIBG, En.Mohamed Khirul Nizzuan

Ucapan Perasmian oleh Wakil PPD Mukah, En.Samsu bin Ismail
Pada hari gilang-gemilang tersebut, beberapa pengiktirafan kecemerlangan dan hadiah galakan kepada murid-murid yang berjaya dalam akademik dan kokurikulum telah disampaikan. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Wakil PPD Mukah, En.Samsu bin Ismail. Beberapa persembahan menarik daripada murid-murid SK Mukah juga turut dipersembahkan. Antaranya persembahan duet dari adik Nordiana dan Dayang (Pemenang Nyanyian Solo Aneka Bakat), kumpulan The Boys (Pemenang Nyanyian Berkumpulan Aneka Bakat), Persembahan daripada murid-murid PPKI dan Persembahan Teater "Si Tanggang" daripada murid Tahun 6.







Tahniah buat Ailin Yasmin binti Mohamed Khirul Nizzuan dari Tahun 6 Perkasa A kerana telah menerima Anugerah Murid Unggul bagi Tahun 2015. Ini adalah kerana hasil kejayaannya dalam pelbagai bidang sama ada kurikulum mahupun kokurikulum di pelbagai peringkat Daerah, Bahagian, Negeri dan Kebangsaan. Untuk pengetahuan semua, Ailin juga merupakan salah seorang murid Tahun 6 SK Mukah yang berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR baru-baru ini.


Selain itu, sekalung tahniah juga kepada Abang Izzul Syahmi bin Abang Djohan dari Tahun 6 Perkasa B kerana telah berjaya memperolehi Anugerah Terbaik Kokurikulum pada tahun ini. Penglibatannya yang sangat aktif dalam sukan khususnya sepak Takraw dan Acara Balapan di peringkat Daerah, Bahagian dan Negeri maka melayakkan dirinya untuk menerima anugerah ini.


Bagi Anugerah Murid Harapan 2016 pula, Nesrina Nabihah Fitriah binti Mohamad Fadeli dari Tahun 5 Mantap A telah dipilih untuk menerima anugerah ini. Ini kerana Nesrina telah banyak menyumbang kejayaan kepada SK Mukah dalam pelbagai bidang di pelbagai peringkat selain kecemerlangannya dalam akademik di sekolah.


Kepada murid-murid lain yang tidak berjaya, jadikanlah kejayaan rakan-rakan kalian pada hari tersebut sebagai katalis atau pembakar semangat dan inspirasi untuk kalian mencapai kejayaan seperti mereka suatu hari nanti. Terima kasih yang tidak terhingga buat semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Majlis Pengiktirafan Kualiti Pencapaian Cemerlang SK Mukah pada tahun ini.

Pada 17 November yang lalu, telah diumumkan keputusan UPSR bagi semua sekolah rendah di Malaysia. Pengumuman keputusan UPSR di SK Mukah telah dibuat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik dengan dihadiri oleh semua ibu bapa murid-murid Tahun 6. Berikut merupakan perincian keputusan UPSR di SK Mukah pada tahun ini :

Gred Purata Sekolah (GPS) : 2.15
% Lulus semua subjek : 67.27%
5A : 5 orang





Tahniah buat SK Mukah kerana telah berjaya menurunkan Gred Purata Sekolah dari 2.16 pada tahun lepas kepada 2.15. Walaupun begitu, SK Mukah mengalami penurunan dalam penguasaan subjek berbanding tahun lepas dengan memperoleh sebanyak 67.27% murid lulus semua mata pelajaran berbanding 73.44 pada tahun lepas.

5 orang murid telah mendapat keputusan cemerlang 5A. Mereka ialah :

1. Syahmi Faiz bin Arman (6PA)
2. Ailin Yasmin bt Mohamed Khirul Nizzuan (6PA)
3. Nur Athirah bt Norhisham (6PA)
4. Khousnul Amri (6PA)
5. Rachel Rayak bt Timothy (6PB)


7 orang murid telah berjaya memperoleh 4A 1B. Mereka ialah :

1. Elvin bin Rosli (6PA)
2. Nurul Nabila bt Zulfa Vety (6PB)
3. Aqmar Danial bin Syafiee (6PB)
4. Nurin Aqilah bt Hamdan (6PB)
5. Mok Hua Ann (6PB)
6. Royce Macxavier Michael (6PB)
7. Nur Atma Najihah bt Jamali (6PA)

Calon cemerlang UPSR bersama Penolong Kanan dan guru-guru Tahun 6
Tahniah buat semua yang berjaya. Bagi yang tidak berjaya, jadikanlah kejayaan rakan-rakan anda ini sebagai katalis dan pembangkit semangat kalian untuk berjaya pada masa hadapan. Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada semua guru tahun 6 khususnya yang banyak menyumbang masa dan tenaga demi kejayaan anak-anak didik kalian.

Pada 12 November yang lalu bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik telah berlangsung Majlis Konvokesyen Kelab Doktor Muda Peringkat Bahagian Mukah. Tahniah buat SK Mukah kerana telah dipilih menjadi tuan rumah bagi menjayakan majlis yang julung-julung kalinya diadakan di Mukah ini. Konvokesyen ini telah dihadiri oleh 4 buah Kelab Doktor Muda dalam Bahagian Mukah iaitu KDM SK Mukah, KDM SK St.Patrick, KDM SK Dua Sungai dan KDM SK Datuk Awang Udin. Berikut merupakan tentatif majlis pada hari tersebut :

2.30 petang

Ketibaan tetamu
Nyanyian Lagu NegaraKu dan Lagu Ibu Pertiwiku
Nyanyian Lagu Kelab Doktor Muda
Bacaan Doa oleh Ustaz Engku Afizan
Ucapan Perasmian oleh Pegawai Kesihatan Hospital Mukah
Ikrar KDM Membantah Penggunaan Vape
Penyampaian Sijil KDM oleh Wakil PPD Mukah, Ustaz Awang Sarkawi daripada Unit HEM PPD Mukah.
Majlis Fotografi

4.00 petang  -  Bersurai


Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Majlis Konvokesyen Kelab Doktor Muda Peringkat Bahagian Mukah bagi tahun 2015 ini. 

Pada 6hb November 2015 bertempat di Dataran Terbuka SK Mukah telah berlangsung Program Karnival Jawi Musim Ke-2 anjuran Panitia Pendidikan Agama Islam SK Mukah. Karnival ini melibatkan semua murid beragama Islam Tahun 1 hingga Tahun 6 berjumlah hampir 250 orang. Karnival Jawi kali ini berkonsepkan 100%  acara sukaneka bertemakan Bermain Sambil Belajar. Karnival Jawi musim pertama tahun lalu menyaksikan 50% acaranya berbentuk sukaneka, 20% kuiz dan 30% eksplorace. Terdapat 10 kumpulan dan 5 permainan dipertandingkan dalam Karnival Jawi kali ini. Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

2.30 petang
Pendaftaran peserta
Bacaan Doa
Taklimat oleh Pengerusi Program Karnival Jawi oleh Ustaz Engku Afizan bin Engku Halim
Sukaneka :  1. Gol Jawi
                    2. Bom Jawi
                    3. Kereta Api Jawi
                    4. Di mana saya?
                    5. Belon Terbang (Pusingan Bonus)

5.00 petang
Bersurai






Terima kasih tidak terhingga atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan Program Karnival Jawi Musim Kedua pada tahun ini. Semua keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disampaikan baru-baru ini bertempat di Surau SK Mukah selepas selesai majlis bacaan Yasin. Tahniah buat semua kumpulan yang berjaya.













Pada 5hb November 2015 yang lalu telah diadakan Hari Aneka Bakat 2015 anjuran Panitia Muzik SK Mukah. Objektif utama program tersebut ialah untuk mencungkil pelbagai bakat terpendam yang terdapat dalam diri murid-murid SK Mukah untuk ditonjolkan. Pelbagai bakat telah dipertandingkan pada hari tersebut. Antaranya bakat nyanyian solo, nyanyian duet, nyanyian berkumpulan, tarian, permainan alat muzik, lakonan dan komedi. 

Sambutan yang amat menggalakkan daripada semua murid SK Mukah. Mereka telah berlatih saban hari setiap petang untuk menampilkan persembahan yang menarik kepada para penonton pada Hari Aneka Bakat tersebut.


Tahniah buat Panitia Muzik atas kejayaan mengelolakan Hari Aneka Bakat pada tahun ini. Terima kasih atas semua kerjasama yang diberikan oleh semua guru, murid dan ibu bapa dalam menjayakan Hari Aneka Bakat pada tahun ini. Semua keputusan pertandingan dan hadiah pertandingan akan disampaikan pada waktu perhimpunan minggu hadapan.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates