Sambutan Hari Guru 2010 telah diadakan pada 17 Mei (Isnin) bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah. Turut hadir ialah Pegawai Pelajaran Daerah Mukah, Tuan Abdul Wahab bin Hj. Sepawi dengan ditemani oleh Pegawai Kaunseling PPD Mukah, Hj Mostaffa bin Hj. Sidik dan Yang Dipertua PIBG sekolah iaitu Dr. Osman. Pada hari tersebut, warga SK Mukah telah mengenakan pakaian batik 1 Malaysia. Antara atur cara majils yang diadakan pada hari tersebut adalah seperti di bawah :

  • Pembacaan perutusan dari Menteri Pelajaran Malaysia
  • Pembacaan perutusan dari Pengarah Pelajaran Malaysia
  • Pembacaan perutusan dari Pengarah Pelajaran Sarawak
  • Persembahan Koir oleh guru-guru SK Mukah
  • Persembahan Murid (Actions Songs dan Rekoder Ensemble)
  • Persembahan Murid (Lagu Terima Kasih Cikgu)
  • Penyampaian hadiah kepada guru-guru SK Mukah
  • Upacara memotong kek Hari Guru
  • Jamuan Hari Guru
Pada sebelah petangnya telah diadakan acara sukaneka. Antara sukaneka yang telah diadakan ialah seperti pertandingan lambung belon dalam kain, tarik tali dan bowling buah kelapa. Selain itu, turut diadakan pertandingan futsal di antara guru-guru perempuan dan perlawanan khas futsal di antara SK Mukah (guru lelaki) dan SK Tellian. 



      Majlis makan malam sempena Hari Guru 2010 telah diadakan pada 21 Mei 2010 bertempat di Dewan Makan Hotel King Wood, Mukah. Semua guru dan staf SK Mukah hadir dalam jamuan tersebut. Majlis bermula pada jam 8.00 malam. Majlis diserikan dengan persembahan karaoke oleh beberapa orang guru dan staf serta acara pertukaran hadiah di antara guru.


      Hari Sukan SK Mukah 2010 telah diadakan pada 18-21 Mei yang lalu. Antara acara yang dipertandingkan ialah lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, acara balapan dan sukaneka. Empat buah  pasukan rumah sukan berentap hebat untuk memperolehi Piala Johan Keseluruhan Hari Sukan 2010 sepanjang 4 hari tersebut. Majlis penangguhan Hari Sukan 2010 telah disempurnakan oleh Encik Patrick Moses, salah seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Mukah pada 21hb Mei 2010. Majlis penanggguhan diserikan lagi dengan 2 acara istimewa iaitu lari pecut 100 meter dan lari 4x100 meter di antara atlet SK Mukah dengan beberapa orang atlet dari sekolah-sekolah jemputan. Antara sekolah jemputan yang hadir memeriahkan suasana Hari Sukan SK Mukah ialah SK Kg.Tellian, SK Petanak, SK Datuk Awang Udin dan SK Choong Boon. Tahniah buat pasukan Rumah Merah dibawah pimpinan Ustazah Saodah dan beberapa guru-guru lain kerana telah berjaya menjadi Johan Keseluruhan Hari Sukan. Selain itu, tahniah juga kepada adik Abang Iffat dan adik Nur Syafiza kerana telah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sekolah pada tahun ini. Pihak sekolah mengucapakan terima kasih kepada para ibu bapa murid yang hadir kerana telah memberi sokongan padu kepada Hari Sukan SK Mukah pada tahun ini.


      Pada 11hb Mei yang lalu, SK Mukah telah menganjurkan pertandingan mencipta kad ucapan sempena Hari Guru. Pertandingan ini telah berlangsung di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Semua murid dari tahun 1 hingga 6 terlibat dalam pertandingan tersebut. Kad ucapan paling cantik dan kreatif akan dipilih sebagai pemenang. Selain daripada itu, bancian untuk gelaran "Guru Paling Popular" juga dibuat melalui nama guru paling banyak ditulis pada kad ucapan.



      Pada 14hb Mei yang lalu telah diadakan Pertandingan Rekoder Ensemble peringkat bahagian Mukah bertempat di SK Mukah. SK Mukah berbesar hati kerana telah dipilih menjadi tuan rumah bagi pertandingan rekoder kali ini. Sebanyak 5 buah pasukan telah berentap untuk menjadi juara pertandingan tersebut. Antaranya ialah :

      1. SK Mukah
      2. SK St. Patrick
      3. SK Kg. Tellian
      4. SK Datuk Awang Udin
      5. SK Hijrah Badong (Daro)

      Pertandingan telah berlangsung dengan lancar dan jayanya.

      SK St. Patrick telah dinobatkan sebagai johan pertandingan tersebut. Tempat kedua jatuh kepada SK Datuk Awang Udin dan tempat ketiga, SK Mukah. Tahniah buat semua pemenang. Bagi yang tidak berjaya, usaha lagi pada masa akan datang.


      Pada 26 April 2010 yang lalu, SK Mukah telah mengadakan Kem Bestari Solat Siri Pertama yang melibatkan murid-murid tahap 1 dan 2. Seramai 7 orang fasilitator yang terdiri daripada guru-guru Pendidikan Islam dan J-QAF SK Mukah serta beberapa orang murid tahun 5 telah terlibat dalam menjayakan kem ini. Mereka ialah Ustaz Radzi, Ustaz Engku Afizan, Ustazah Fadzariah, Ustazah Saodah, Ustazah Norwani, adik Dayang Athirah dan adik Hazirah Watikah. Untuk pengetahuan semua, murid tahun 6 tidak terlibat dalam kem ini. Kem ini berlangsung selama 2 hari yang mana pada hari pertama 26 April 2010 hanya melibatkan tahap 1 sahaja dan pada hari berikutnya 27 April 2010 untuk tahap 2.

      Untuk siri pertama kem tahun ini, murid tahap 1 telah didedahkan tentang hal-hal berkaitan ibadat seperti wudhuk, niat solat fardhu dan bacaan-bacaan dalam solat. Untuk tahap 2 pula, mereka telah mempelajari syarat-syarat wajib dan sah solat serta tatacara mengerjakan solat berjema'ah. Pendedahan  ilmu kepada murid melibatkan teori dan praktikal. Kem Bestari Solat ini telah bermula seawal jam 2.30 petang dan berakhir pada 5.30 petang.

      Jom Like Page SK Mukah di Facebook

      Related Posts with Thumbnails

      Template by:
      Free Blog Templates