Pada 25 hingga 28 September yang lalu, 2 orang murid daripada sekolah kita telah mewakili SK Mukah ke Karnival Gerakan Membaca Peringkat Negeri Sarawak yang telah diadakan di Hotel Premier, Sibu anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sarawak (BTPN).

Karnival tersebut merupakan aktiviti tahunan BTPN Sarawak yang bertujuan untuk menyemai sikap suka membaca dan cintakan ilmu dikalangan para pelajar. Peserta daripada sekolah kita ialah Nurul Damia binti Ramzi (5MA) dan Aqil Rafiqi bin Ramli (5MB). Mereka telah diiringi oleh Guru Bestari Sekolah iaitu Cikgu Ruzaimah binti Mut.

Pelbagai aktiviti dan pertandingan telah mereka ikuti dalam karnival tersebut. Tahniah buat kedua-dua mereka kerana telah berjaya memenangi beberapa acara yang telah dipertandingkan dalam karnival tersebut.

Nurul Damia

- Johan Resensi Buku
- Naib Johan Bercerita Bahasa Inggeris
- Tempat ke-5 aktiviti jejak maklumat
- Sijil Penyertaan

Aqil Rafiqi

- Johan aktiviti jejak maklumat
- Sijil Penyertaan



Pada perhimpunan sekolah baru-baru ini, hadiah serta sijil penyertaan telah disampaikan oleh Cikgu Fatimah kepada mereka berdua. Semoga kejayaan mereka mewakili sekolah menjadi motivasi buat murid-murid lain sekiranya terpilih mewakili sekolah dalam apa jua acara dan aktiviti pada masa-masa akan datang. Tahniah buat mereka berdua!

Pada perhimpunan bertarikh 26hb September yang lalu juga, telah diadakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada guru-guru SK Mukah yang menyambut kelahiran pada bulan Jun hingga Disember 2013. Tepukan gemuruh daripada murid-murid SK Mukah menghiasi suasana ceria pada pagi tersebut apabila nama-nama guru mereka diumum untuk mengambil hadiah.


Semoga panjang umur dalam kebajikan dan dilimpahkan rezeki yang tidak terhingga buat semua guru-guru SK Mukah yang akan dan telah menyambut kelahiran.

Pada perhimpunan 26 September yang lalu, diadakan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah kepada murid-murid SK Mukah yang telah berjaya dalam pertandingan mewarna anjuran Bank Rakyat Mukah.

Untuk pengetahuan semua, pada 21hb September yang lalu, Kelab Nuri Bank Rakyat telah mengadakan pertandingan mewarna bertempat di Dewan Suarah Daerah Mukah. Pertandingan tersebut terbuka kepada semua kanak-kanak yang mempunyai Akaun Simpanan Nuri Bank Rakyat.

Wakil kakak yang tidak hadir.



Tahniah buat beberapa orang murid sekolah kita kerana telah berjaya mendapat kejayaan dalam pertandingan tersebut. Mereka ialah :

1. Nurul Damia Binti Ramzi (Johan Kategori D) - Wang Tunai RM150
2. Ammar Daniel Bin Ramzi (Johan Kategori C) - Wang Tunai RM100
3. Amirah Rasyidah Binti Salim (Tempat ke-3 Kategori D) - Wang Tunai RM70

Hadiah pada hari tersebut telah disampaikan oleh Cikgu Marzuki (PK Kokurikulum).

Pada perhimpunan pagi bertarikh 26hb September yang lalu, telah diadakan majlis penyampaian hadiah kepada murid-murid yang mengikuti aktiviti Program Nilam anjuran Panitia Bahasa Melayu dan Pusat Sumber Sekolah yang telah dijalankan pada bulan-bulan yang lalu. Antaranya Pertandingan Membaca Buku Terbanyak Sempena Bulan Membaca dan Pertandingan Membaca Buku Sempena Cuti Sekolah.






Berikut merupakan perincian pertandingan yang telah dilaksanakan pada bulan-bulan yang lalu :

Pertandingan Membaca Buku Sempena Cuti Sekolah

Tarikh : 23 - 31 Mac 2013 (Cuti Sekolah)
Syarat Pertandingan : Membaca minimum 50 buah buku sepanjang cuti sekolah yang lalu.

Hadiah telah diberikan kepada 46 orang murid SK Mukah yang layak.

Pertandingan Membaca Buku Terbanyak Sempena Bulan Membaca

Tarikh : 17 - 22 Julai 2013
Syarat Pertandingan : Minimum bacaan 5 buah buku Bahasa Malaysia dan 5 buah buku Bahasa Inggeris.

Hadiah telah diberikan kepada 10 orang murid yang berjaya mencapai syarat yang ditetapkan.




Semua hadiah telah disampaikan oleh Cikgu Jasmi (PK 1) dan Cikgu Fatimah (PK HEM) pada hari perhimpunan tersebut. Tahniah buat semua yang berjaya.



Pada 17hb-20hb September yang lalu, telah diadakan pertandingan futsal antara rumah-rumah sukan. Pertandingan ini merupakan anjuran Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dibawah pimpinan Cikgu Nasir. Turut membantu dalam pengadilan futsal kategori perempuan kali ini ialah Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Prasekolah iaitu Cik Nurul Hijjah. Pertandingan tersebut melibatkan dua kategori iaitu Futsal Lelaki dan Futsal Perempuan.









Pertandingan tersebut menyaksikan pasukan futsal rumah sukan yang terdiri daripada Rumah Merah, Rumah Biru, Rumah Kuning dan Rumah Hijau berentap untuk merebut gelaran serta piala kejuaraan Futsal pada pada tahun ini. Terima kasih atas semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua peserta pertandingan. Tahniah diucapkan kepada Panitia PJK kerana telah melaksanakan pertandingan ini dengan jayanya. Keputusan pertandingan futsal akan diumumkan dalam perhimpunan pada minggu ini. Harap maklum.


Tahniah buat Penolong Kanan KPKI iaitu Cikgu Fauzidah dan suami kerana telah terpilih mengikuti rombongan Jemaah Haji pada tahun ini. Kami semua di SK Mukah mengucapkan Selamat Menunaikan Rukun Islam Ke-5 dan semoga memperoleh Haji Mabrur. InsyaAllah.


Seorang sahabat Nabi pernah bertanya kepada baginda :

"Wahai Rasulullah, kami memandang bahawa jihad adalah amalan yang paling afdhol. Apakah bererti kami harus berjihad?" Tidak. Jihad yang paling utama adalah Haji Mabrur", jawab Nabi Sallallahu 'alaihi wa sallam. (Hadis Riwayat Bukhari)

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September baru-baru ini telah diadakan bertempat di Boulevard Setia Raja, Mukah hasil anjuran Jabatan Penerangan Daerah Mukah. Sambutan tersebut telah bermula seawal jam 8.00 pagi dengan dihadiri oleh beberapa orang kenamaan dan orang ramai untuk menyaksikan acara perbarisan dan beberapa persembahan khas sempena Hari Malaysia 2013.




SK Mukah turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam acara perbarisan tersebut. Perbarisan telah disertai oleh kontijen-kontijen yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan, pertubuhan swasta, badan-badan NGO dan sekolah-sekolah di Daerah Mukah.





Terima kasih buat semua guru dan murid tahap 2 yang hadir menyertai perbarisan pada hari tersebut. Walaupun hujan turun renyai-renyai, namun perbarisan terus dijalankan seperti yang dirancang. Tahniah buat semua dan Selamat Hari Malaysia 2013.





Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berlangsung pada 10-12hb September 2013. Kami guru-guru di SK Mukah dan ibu bapa anda sentiasa mendoakan yang terbaik buat semua. Selamat Berjuang murid-murid Tahun 6 SK Mukah. Kejayaan Milik Setiap Insan.

Majlis gilang-gemilang bertarikh 5 September 2013 tersebut telah diadakan bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik bermula pada jam 2.45 petang hingga jam 4.30 petang. Majlis ini bertujuan untuk memberikan suntikan motivasi kali terakhir buat semua murid Tahun 6 untuk mempertingkatkan usaha dan keyakinan mereka sebelum menghadapi UPSR 2013 yang akan berlangsung pada 10 September 2013. Majlis telah dipengerusikan oleh Ustazah Salmy dan Ustaz Mohamad Izwan.

Motivasi kecemerlangan UPSR telah disampaikan oleh Tuan Haji Mustafa dari Unit Kaunseling PPD Mukah. Majlis bermula dengan ucapan aluan Guru Besar, Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli diikuti dengan ucapan daripada YDP PIBG SK Mukah, En.Osman Bin Rafi'ie. Dalam majlis tersebut juga, doa khas buat kejayaan murid Tahun 6 dalam UPSR dan doa meminta restu daripada Allah telah dibaca oleh Ustaz Engku Afizan.

Suasana majlis menjadi sayu apabila murid-murid tahun 6 membuat persembahan khas buat ibu bapa dan semua guru. Nyanyian bertajuk "Kasihnya Ibu" yang diiringi alunan piano oleh Cikgu Norzelan diakhiri dengan tangisan murid dan pelukan serta dakapan dari ibu bapa masing-masing. Seterusnya, murid-murid bersalaman dengan semua guru untuk meminta restu dan izin ilmu. Majlis bersurai pada jam 5 petang.

Tahniah buat semua yang bersama-sama menjayakan majlis penuh pengharapan tersebut. Mudah-mudahan doa kita semua untuk kejayaan anak-anak kita dimakbulkan Allah. InsyaAllah.

p/s : Gambar akan dimasukkan kemudian.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates