Pada 28hb Jun semalam, telah berlangsung Majlis Khatam Al-Quran, Iftar Jama'ie dan Munajat Kecemerlangan UPSR peringkat sekolah bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Sekali lagi buat tahun ini, SK Kg.Tellian turut serta dalam menjayakan majlis tersebut. Majlis diserikan dengan kehadiran wakil PPD Mukah, En.Ramli bin Mohd Agus dari Unit Pembangunan, YDP PIBG SK Mukah, En. Khirul Nizzuan bin Hamzah dan YDP PIBG Kg.Tellian serta mantan YDP PIBG SK Mukah, Dr. Osman bin Hj. Rafaiee. Ketibaan tetamu kehormat serta kehadiran ibu bapa murid-murid Tahun 6 disambut mesra oleh Guru Besar SK Mukah, Cikgu Burhanuddin bin Kederi dan Guru Besar SK Kg.Tellian, Cikgu Bujang.

Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut : 

5.30 petang :
Ketibaan peserta khatam dan tetamu jemputan

5.45 petang :
Majlis Khatam bermula

6.15 petang :
Penyempaian cenderamata peserta khatam
Bacaan tahlil arwah dari warga SK Mukah

6.30 petang :
Persediaan berbuka puasa

7.10 malam :
Solat Maghrib
Munajat UPSR
Solat Isyak 
Solat Tarawih






Turut hadir memeriahkan majlis Iftar ialah PK HEM SK Mukah, Cikgu Dominic Balo, Cikgu Jessica, Cikgu Edmund dan beberapa orang guru serta staf lain yang non muslim.

Majlis semalam bersurai pada jam 9.15 malam. Terima kasih tidak terhingga buat semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis, lebih-lebih lagi kepada para penyumbang derma seperti makanan dan wang ringgit, mudah-mudahan jasa baik dan keihklasan kalian dibalas oleh Allah dengan mikmat dan rezeki yang berlipat kali ganda kebaikannya. Ameen...

Pada hari Jumaat yang lalu bersamaan 24hb Jun, telah diadakan Hari Permuafakatan di SK Mukah. Pada hari tersebut, ibu bapa atau penjaga setiap murid akan hadir ke sekolah untuk menerima laporan prestasi anak mereka masing-masing. Mereka juga akan didedahkan dengan sahsiah dan tingkah laku anak-anak mereka semasa di sekolah oleh guru kelas. 


Selain itu, hari tersebut juga diadakan untuk para ibu bapa dan pihak guru berbincang bagi mencari jalan penyelesaian atau menyumbang idea dalam meningkatkan prestasi dan potensi anak-anak mereka. Turut turun padang pada hari tersebut ialah guru besar, Cikgu Burhanuddin bin Kaderi bersama barisan penolong kanan SK Mukah beramah mesra dan bertegur sapa dengan para ibu bapa yang hadir.



Hari tersebut bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 11.40 pagi. Tahniah buat semua yang menjayakan hari permuafakatan pada hari tersebut. 

Pada 21hb Jun yang lalu bertempat di SK Kg. Jebungan telah berlangsung Pertandingan Kuiz Ramadhan Peringkat Daerah Mukah. Hampir 2 tahun tidak diadakan, kali ini Kuiz Ramadhan muncul kembali di daerah Mukah.



Sk Mukah telah menghantar 3 orang murid Tahun 6 ke pertandingan tersebut. Mereka ialah Nesrinna Nabihah Fitriah, Nur Fatin Farahanani dan Muhammad Danish.  Mereka bertiga telah diiringi oleh Ustazah Fazariah Ahmad dan Ustaz Engku Afizan yang juga merangkap moderator pertandingan pada hari tersebut.


Rezeki dan nasib tidak menyebelahi kita. SK Mukah ditempat ke-7 daripada 17 buah sekolah yang bertanding. Tahniah buat mereka yang bertanding. InshaAllah jika ada lagi pertandingan ini di tahun hadapan, kita akan berusaha untuk mencapai kejayaan. 


Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates