Pihak sekolah mengucapkan Selamat Bercuti buat semua guru dan murid SK Mukah. Terima kasih buat semua atas kejayaan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun 2014. Dan tahniah diucapkan atas semua kejayaan-kejayaan yang kita kecapi sepanjang tahun ini. 

Cuti bermula pada 22hb November dan akan berakhir pada 4hb Januari 2015.



Pendaftaran murid pada tahun hadapan ialah pada 2hb Januari 2015 jam 2.30 petang. Harap maklum.

Pada 22hb November semalam, telah diadakan Majlis Anugerah Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan 2014 Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Dewan Suarah, Bintulu. Antara tetamu yang hadir dalam majlis tersebut ialah pegawai-pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pegawai Pendidikan Daerah, dan beberapa orang guru besar sekolah-sekolah dalam Negeri Sarawak. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Hajjah Serina Binti Sauni, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak. 


Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli, Guru Besar SK Mukah telah hadir dalam majlis berprestij tersebut. Turut bersamanya ialah En.Patrick Phillip Moss, Pegawai Unit Pembangunan Kemanusiaan PPD Mukah. Majlis tersebut diadakan khas untuk menghargai dan meraikan kejayaan beberapa buah sekolah dalam Negeri Sarawak yang sangat menyerlah dalam aktiviti kokurikulum khasnya sepanjang tahun 2014.



Tahniah buat sekolah kita SK Mukah kerana telah berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan dalam Pertandingan Pengurusan Cemerlang Kokurikulum Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sarawak. Johan telah dimenangi oleh SK Ulu Sg.Merah, Sibu. 

Pada 21hb November yang lalu, telah diadakan Hari Graduasi Mini 2014 bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah. Majlis ini merupakan kesinambungan daripada Majlis Pengiktirafan Kualiti Pencapaian Cemerlang yang diadakan di Dewan Suarah baru-baru ini. 

Sebelum bermulanya majlis tersebut, pihak sekolah telah memberikan peluang khas buat guru-guru yang akan berpindah untuk menyampaikan ucapan perpisahan. Suasana dataran bertukar suram dan sedih apabila Cikgu Anna, Cikgu Ahmad dan Ustazah Nor Saidah memberikan ucapan perpisahan masing-masing dalam majlis tersebut. Untuk pengetahuan semua, Cikgu Anna akan berpindah ke Bintangor, Cikgu Ahmad ke SK Ladang 3 dan Ustazah Nor Saidah bertukar ke Negeri Sembilan.




Antara sijil penghargaan dan anugerah yang disampaikan pada hari tersebut ialah :

  1. Sijil Pengawas Sekolah
  2. Sijil Ketua dan Penolong Ketua Kelas
  3. Sijil 100% kehadiran ke sekolah
  4. Anugerah Pakaian Sekolah Terbaik
  5. Anugerah Pakaian Beruniform Terbaik
  6. Sijil dan Hadiah Peserta Kem Bestari Solat KPKI
  7. Anugerah Tokoh Doktor Muda 2014 (Nurul Damia - 6 Perkasa A)
  8. Sijil Penyertaan Kem Bola Sepak Tugau Armada
  9. Pingat kejohanan Futsal Perempuan 
Keputusan Futsal Perempuan :
Juara : Merah A
Naib Juara : Hijau A
Tempat ketiga : Biru B


Seterusnya telah diadakan pula majlis Graduasi Kem Bestari Solat (KBS) 2014. Dalam majlis ini, semua murid-murid Islam Tahun 6 diberikan sijil pencapaian KBS. Di dalam sijil mereka tertera keputusan keseluruhan pencapaian mereka dalam KBS dari Tahun 1 hingga Tahun 6.


Tahniah buat semua yang berjaya menerima sijil dan anugerah pada hari tersebut. Kepada yang kurang berjaya, jadikanlah kejayaan rakan-rakan anda sebagai katalis atau pemangkin semangat dan dorongan untuk anda berjaya di masa hadapan. Majlis diakhiri dengan ucapan amanat oleh Guru Besar SK Mukah, Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli dan sesi bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Untuk pengetahuan semua, cuti sekolah akan bermula pada 22hb November 2014 hingga 4hb Januari 2015.

Pada 18hb November yang lalu, telah diadakan Majlis Apresiasi Pelajar Tahun 6 dan Pengawas SK Mukah 2014 bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Turut hadir ialah semua guru dan staf SK Mukah. Dalam majlis tersebut, murid-murid tahun 6 dan pengawas-pengawas sesi 2014 diraikan atas sumbangan dan jasa mereka sepanjang berada di SK Mukah.


Majlis ini telah dipengerusikan oleh Ustazah Salmy Binti Morshidi. Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

3.30 petang
Ucapan Guru Besar SK Mukah, Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli
Ucapan Guru Kelas Tahun 6 Perkasa A, Cikgu Zullina Binti Ramli
Ucapan Guru Kelas Tahun 6 Perkasa B, Ustazah Nor Saidah Binti Shuib
Penyampaian Hadiah Kenang-Kenangan daripada Tahun 6
Jamuan
5.00 petang
Bersurai

Terima kasih buat semua yang hadir menjayakan majlis pada petang tersebut.

Pada hari Sabtu yang lalu, 15hb November telah diadakan Kem Cerdas anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Mukah. Program yang berlangsung di Masjid Setia Raja tersebut melibatkan beberapa orang murid daripada pelbagai sekolah di Daerah Mukah. Sekolah kita telah menghantar 10 orang murid ke kem tersebut.




Mereka semua telah diiringi oleh Ustaz Mohd Radzi ke Kem Cerdas tersebut. Dalam kem tersebut, murid-murid telah diberikan suntikan motivasi dan melaksanakan pelbagai aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang telah disampaikan oleh tetamu jemputan iaitu Timbalan Pengarah Maktab Rajang, En Wan Mohd Madehi Bin Wan Ali.



Turut hadir dalam kem tersebut ialah Tuan Hj.Mustafa, Pegawai Kaunseling PPD Mukah dan Pegawai Unit Agama Islam PPD Mukah, Ustaz Suud.




Pada 13hb November 2014 semalam diadakan satu perhimpunan mingguan khas untuk meraikan para pemenang pelbagai pertandingan yang telah dianjurkan oleh beberapa panitia sepanjang bulan Oktober dan November. Oleh kerana faktor kekangan masa dan program yang padat di SK Mukah, maka semua keputusan pertandingan yang telah diadakan diumumkan dalam perhimpunan khas tersebut. Antara keputusan pertandingan yang diumumkan ialah seperti berikut :

1. Hari Aneka Bakat Anjuran Panitia Muzik


2. Pertandingan Fesyen Kanak-Kanak Prasekolah


3. Pencapaian NILAM Tahun 6


4. Pertandingan Mewarna Prasekolah dan Photo Voice Anjuran Klinik Pergigian SK Mukah


5. Karnival Bahasa Malaysia


6. Karnival Bahasa Inggeris


7. Karnival Sains 


8. Sijil Ujian Pencarian Bakat UKM 1 2014 Peringkat Kebangsaan (PERMATA PINTAR)


9. Penyampaian Medal Kejuaraan Acara Jemputan SK Dua Sungai dan SK St. Patrick 


Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berjaya dan terima kasih buat semua murid yang telah mengambil bahagian dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sekolah sepanjang tahun 2014 ini. Tahniah buat semua panitia yang telah menganjurkan aktiviti yang menarik dan bermanfaat buat semua anak didik kita di SK Mukah.


Semalam, 12hb November 2014 berlangsung dengan meriah Majlis Pengiktirafan Kualiti Pencapaian Cemerlang Ke-13 Sekolah Kebangsaan Mukah di Dewan Suarah, Mukah. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Pegawai PPD Mukah Tuan Haji Bugin Bin Haji Ragun, guru-guru besar dan wakil-wakil guru besar dari sekolah-sekolah Daerah Mukah.

Dari awal jam 7.30 pagi lagi, murid-murid bersama ibu bapa masing-masing telah hadir mengambil tempat di Dewan Suarah. Ketibaan tetamu-tetamu kehormat telah diserikan dengan paluan kompang oleh pasukan kompang SK Mukah. Majlis bermula pada jam 8.30 pagi. Berikut merupakan ringkasan perjalanan majlis pada hari tersebut :

8.30 pagi

Nyanyian lagu Nagaraku dan Ibu Pertiwiku
Bacaan Doa oleh Ustaz Engku Afizan Bin Engku Halim
Ucapan Alu-Aluan Guru Besar SK Mukah, Cikgu Wahit Bin Mohamad Etli
Ucapan YDP PIBG, Dr.Osman Bin Hj.Rafa'ie
Ucapan Pegawai PPD Mukah, Tuan Hj.Bugin Bin Hj.Ragun


9.30 pagi

Penyampaian sijil tamat persekolahan kepada murid-murid prasekolah dan pelajar Tahun 6
Persembahan Action Song
Penyampaian hadiah dan sijil pencapaian cemerlang dalam kelas dan mata pelajaran terbaik
Nyanyian Solo oleh Adik Dayangku Fatma Illiani  dari Kelas 3TB
Persembahan Khas oleh murid-murid dan guru-guru KPKI
Penyampaian Anugerah Khas
  • Ketua dan Penolong Ketua Pengawas
  • Anugerah Nilam Tahap 1 dan Tahap 2
  • Anugerah Murid Harapan : Ailin Yasmin Bt. Mohamed Khirul Nizzuan (5MA)
  • Anugerah Khas Kokurikulum : Nurul Damia Bt. Ramzi (6PA)
  • Anugerah Murid Unggul : Nur Atma Farina Bt. Jamali (6PA)
Tahniah kepada semua murid yang berjaya. Kepada yang kurang berjaya, peluang anda masih ada. Cuba lagi pada tahun hadapan dan jadikan kejayaan rakan-rakan anda sebagai pembakar semangat untuk anda berjaya di masa hadapan. Terima kasih buat semua warga sekolah yang telah menyediakan persiapan dewan dengan baik dan lancar. Buat semua pihak yang bersama-sama menjayakan majlis pada hari tersebut sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan kalian semua.

Kem Bestari Solat siri terakhir 2014 telah diadakan pada 10hb November yang lalu. Kem yang melibatkan semua murid daripada Tahun 1 hingga Tahun 6 tersebut dilaksanakan bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.40 tengah hari. Kem tersebut turut melibatkan guru-guru KAFA dan beberapa orang guru lain.

Berikut merupakan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan pada hari tersebut.

  1. Ceramah dan Tayangan Video Amali Wudhuk dan Amali Solat oleh Ustaz Engku Afizan Bin Engku Halim
  2. Kuiz Amali Wudhuk dan Amali Solat
  3. LDK 1 : Amali Solat
  4. LDK 2 : Lipat Kain
  5. LDK 3 : Belon Roller Coster
  6. LDK 4 : Bina Huruf Jawi 


Pihak sekolah mengucapkan terima kasih khasnya kepada Panitia Pendidikan Agama Islam kerana telah menjalankan aktiviti dengan lancar disamping membantu mengisi kekosongan masa beberapa orang guru yang terlibat dengan Program Permentoran Perkhidmatan Awam PPD Mukah yang diadakan di Dewan Suarah, Mukah.

Pada Sabtu yang lalu 8hb Nov 2014, telah diadakan Kursus Unit Beruniform 2014 bertempat di SK Mukah. Semua murid Tahap 2 terlibat secara langsung dalam kursus ini. Kursus ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Kursus tersebut telah dikendalikan oleh beberapa orang guru penasihat Unit Beruniform. Antara pengisian yang telah dilaksanakan pada hari tersebut ialah :



  • Ceramah Asas Kepimpinan : Cikgu Norzelan 
  • Ceramah Kepimpinan Madani : Ustaz Engku Afizan
  • Explorace : Cikgu Julita


Pelbagai maklumat dan aktiviti menarik telah disampaikan dalam slot-slot yang telah disediakan. Pada jam 4.30 petang telah diadakan Majlis Penutupan Kursus Unit Beruniform yang telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Mukah, Cikgu Abdul Wahit bin Mohamad Etli. Dalam majlis tersebut, murid-murid yang terlibat telah diberikan sijil penyertaan mengikut kelas masing-masing. Terima kasih kepada semua guru dan murid yang terlibat dalam menjayakan Kursus Unit Beruniform pada tahun ini. 

Pada 6hb dan 7hb November yang lalu, telah diadakan Karnival Sains dan Teknologi Peringkat Sekolah 2014 anjuran Panitia Sains SK Mukah yang diketuai oleh Cikgu Cianra. Pelbagai aktiviti dan pertandingan diadakan sempena karnival tersebut. Antaranya ialah :

  1. Pertandingan Mewarna Dunia Sains Pra Sekolah
  2. Teka Silang Kata Sains Tahun 1
  3. Teka Silang Kata Sains Tahun 2
  4. Teka Silang Kata Sains Tahun 3
  5. Teka Silang Kata Sains Tahun 4
  6. Teka Silang Kata Sains Tahun 5
  7. Teka Silang Kata Sains Tahun 6
  8. Pertandingan Bercerita Sains Tahun 1
  9. Pertandingan Bercerita Sains Tahun 2 
  10. Pertandingan Saintis Muda
  11. Pertandingan EUREKA Sains

Pertandingan tersebut berlangsung pada waktu pagi dan petang. Sepanjang karnival berlangsung, didapati sambutan penyertaan amat menggalakkan daripada murid-murid SK Mukah. Keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang akan diumum dan disampaikan pada perhimpunan minggu hadapan. 



Pada 4hb dan 5hb November yang lalu, telah diadakan Karnival Bahasa Inggeris oleh Panitia Bahasa Inggeris. Walaupun Cikgu Winny, Ketua Panitia Bahasa Inggeris tidak dapat bersama oleh sebab berkursus selama sebulan di Kuching, namun Karnival Bahasa Inggeris tetap dijalankan seperti yang dirancang. Antara aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan adalah seperti berikut :
  1. Scrabble
  2. Story Reading Text Competition Tahap 1 dan Tahap 2
Karnival yang berlangsung selama 2 hari tersebut dijalankan pada jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Keputusan pertandingan dan hadiah akan diumum dan disampaikan dalam perhimpunan mingguan pada minggu hadapan.

p/s : Gambar akan dimasukkan kemudian. Harap Maklum



Baru-baru ini, 3hb dan 4hb Nov 2014 telah berlangsung Program Cambridge ICT Starters yang dianjurkan oleh pihak Danawa Resourses Sdn. Bhd. (DANAWA) di SK Mukah. Untuk pengetahuan semua, DANAWA merupakan satu organisasi swasta 100% bumiputera yang bergerak aktif dalam pembangunan ICT di sekolah luar bandar. Program ini telah mula diperkenalkan di Mukah pada 9hb September 2001 dan SK Datu Pangiran Mohamad, Oya merupakan sekolah perintis bagi pelaksanaan program ini. Program ini khusus buat semua murid Tahun 6 lepasan UPSR. 




Program ini telah berjaya dilaksanakan di sekolah kita selama dua hari berturut-turut berpusat di Bilik Mesyuarat SK Mukah. Semua murid yang terlibat masing-masing telah dibekalkan sebuah laptop oleh pihak DANAWA. Dalam 2 hari tersebut, mereka telah didedahkan tentang penggunaan beberapa asas perisian komputer seperti microsoft word, microsoft excell dan powerpoint.


Pihak sekolah mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat semua tenaga pengajar daripada DANAWA kerana telah memberi suatu pengisian yang berkesan dan bermanfaat buat semua Tahun 6.

Pada 3hb Nov (Isnin) yang lalu, telah berlangsung Hari Aneka Bakat 2014 bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Pelbagai acara dipertandingkan dalam Hari Aneka Bakat tersebut. Antaranya ialah :

Acara sebelah pagi :
  • Pertandingan Pakaian Kebangsaan Prasekolah


Acara sebelah petang :
  • Pertandingan Nyanyian Solo
  • Pertandingan Nyanyian Berkumpulan
  • Pertandingan Bermain Alat Muzik
  • Pertandingan Lawak Jenaka



Pelbagai aksi dan persembahan menarik tercetus dalam Hari Aneka Bakat pada petang tersebut. Setiap persembahan dinilai oleh juri hakim yang telah dilantik dan keputusan untuk para pemenang akan diumum dalam perhimpunan pada minggu hadapan. Turut hadir menyaksikan Hari Aneka Bakat pada pagi dan petang tersebut ialah para ibu bapa murid-murid yang mengambil bahagian. Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada Panitia Muzik dan guru-guru yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Hari Aneka Bakat pada hari tersebut.  

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates