Selamat bercuti akhir tahun buat semua murid dan guru SK Mukah. Cuti sekolah bermula pada 10hb November 2012 hingga 1hb Januari 2013. Semoga percutian anda semua diisi dengan perkara dan aktiviti yang berfaedah. Jumpa lagi di Tahun 2013.


Acara akhir tahun yang dinantikan telah pun melabuhkan tirainya. Hari Pengiktirafan Kualiti Kecemerlangan 2012 SK Mukah telah diadakan pada 8hb November bertempat di Dewan Suarah, Mukah. Hari penuh bermakna tersebut dihadiri oleh Cikgu Malek Bin Arbi (Wakil PPD), Dr. Osman Rafi'ie (YDP PIBG), semua ibu bapa murid, para guru dan murid SK Mukah.


Majlis yang berlangsung hampir 2 jam tersebut telah meraikan murid-murid cemerlang SK Mukah dengan menganugerahkan kepada mereka pelbagai penngiktirafan yang telah berjaya mereka capai sepanjang Tahun 2012 ini. Majlis telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Engku dan dipengerusikan oleh Cikgu Ahmad dan Ustazah Salmy. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar SK Mukah, Cikgu Wahit, ucapan khas daripada YDP PIBG, Dr.Osman dan Ucapan Perasmian oleh Cikgu Malek.


Anugerah yang dinantikan ialah kategori Murid Harapan dan Murid Terbaik Keseluruhan. Bagi kategori Murid Harapan, anugerah ini telah diberikan kepada Safarah dari Tahun 5MB. Ini kerana Safarah telah menunjukkan prestasi dan komitmen yang sangat membanggakan dalam semua pelajaran dari awal hingga akhir Tahun 2012. Bagi kategori Murid Terbaik Keseluruhan, hasil perbincangan guru dan mengambil kira prestasi kecemerlangan dan sahsiah diri yang ditunjukkan oleh murid tersebut, keputusan sebulat suara telah memilih Fernandez dari Tahun 6PB bagi kategori lelaki dan Nursyafiqah dari Tahun 6PA bagi kategori perempuan.



Acara penyampaian sijil dan hadiah kepada murid telah diselang-selikan dengan beberapa persembahan daripada murid-murid SK Mukah. Antaranya ialah persembahan tarian oleh murid Tahun 1 dan 2 hasil pimpinan Cikgu Fauziah, persembahan khas Tahun 6 hasil bimbingan Cikgu Zullina dan Cikgu Zubaidah dan yang sangat menarik perhatian semua tetamu yang hadir ialah nyanyian koir bertajuk "Buih Sabun" daripada murid-murid Tahun 3 hingga Tahun 6 hasil tunjuk ajar Cikgu Munah Anak Ugin.




Secara keseluruhannya, majlis tersebut berjalan dengan lancar dan mendapat pujian daripada beberapa orang tetamu jemputan yang hadir. Tahniah buat semua yang bersama-sama menjayakan majlis ini dengan sempurna. Tahniah juga buat semua murid yang berjaya. Bagi yang tidak berjaya, jadikan rakan-rakan yang berjaya sebagai dorongan dan motivasi untuk diri anda supaya berjaya di masa-masa akan datang.

Baru-baru ini, 26hb hingga 27hb Oktober bertempat di Stadium KPSU, telah berlangsungnya pertandingan Futsal anjuran NGO. SK Mukah telah menghantar beberapa pasukan futsal untuk bertanding dalam kejohanan futsal bawah 12 tahun dan bawah 10 tahun bagi kategori lelaki dan perempuan. Cikgu Nasir dan Cikgu Rasyiid telah mengiringi pasukan-pasukan futsal kita ke pertandingan tersebut.


Tahniah buat pasukan SK Mukah bawah 12 Tahun Perempuan kerana telah berjaya dinobatkan sebagai johan pertandingan. Bagi pasukan SK Mukah bawah 10 Tahun Lelaki pula, mereka telah berjaya menjadi naib johan dalam pertandingan tersebut. Hadiah dan piala kejohanan telah disampaikan oleh Encik Patrick Moses, pegawai dari PPD Mukah.

Salam Aidiladha buat semua warga SK Mukah


Saat berderai jatuh titisan air mata suci Nabi Ibrahim,
Melihatkan keteguhan iman anaknya Ismail,
Dikala itulah bermulanya sejarah agung
"ERTI SEBUAH PENGORBANAN"

Program Membaca 1 Malaysia telah diadakan serentak seluruh negara hari ini. SK Mukah tidak ketinggalan untuk turut serta dalam program tersebut. Oleh itu, Panitia Bahasa Malaysia dibawah pimpinan Cikgu Zubaidah telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program tersebut pada awal pagi sebelum murid masuk ke kelas.

Program tersebut telah melibatkan semua murid termasuk murid KPKI dan Prasekolah. Seawal jam 7.15 pagi, murid telah diminta untuk berkumpul di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Bahan-bahan bacaan yang telah dikumpul kemudiannya diedarkan kepada murid-murid. Terima kasih buat Cikgu Ruzaimah selaku Guru Bestari dan Perpustakaan kerana telah menyumbangkan bahan bacaan yang banyak daripada perpustakaan.

Program selama 30 minit itu telah berjaya dilaksanakan dengan baik. Sebelum murid pulang ke kelas masing-masing, mereka telah diberikan secawan milo ais sumbangan daripada kunjungan Syarikat Produk Nestle (Milo) ke sekolah. Guru-guru lain juga tidak melepaskan peluang menikmati air Milo percuma yang disediakan. Tahniah buat semua guru yang turut membantu Panitia Bahasa Malaysia dalam menjayakan program tersebut.

p/s : Gambar akan dimasukkan kemudian. Harap maklum.

18hb Oktober yang lepas, SK Mukah telah menghantar beberapa orang murid ke Temasya Hari Sukan SK Kg.Petanak. Sekolah kita telah dijemput dalam acara jemputan sekolah mereka. Antara wakil murid yang telah dihantar ke sana ialah :

1. Najmi (6PB)
2. Daniel (6PB)
3. Radeng (6PA)
4. Suhaili (5MB)
5. Nurul Nuralia (6PB)
6. Ester Suyah (6PB)
7. Sim Liang Hong (6PB)
8. Safarah (5MB)

Cikgu Marzuki dan Cikgu Ahmad telah mengiringi mereka ke sana. Semangat juang untuk memenangi acara jemputan tidak kesampaian buat wakil lelaki SK Mukah. Walaupun begitu, tahniah diucapkan buat wakil perempuan yang berjaya menjadi johan dalam 2 acara iaitu acara 100m dan 4x100m.

p/s : Gambar akan dimasukkan kemudian. Harap Maklum.

Pada 18-20hb Oktober baru-baru ini telah diadakan Kem Bestari Solat 4 dan Kem Bina Juara oleh Panitia Pendidikan Islam dan j-Qaf. Kem ini telah disertai oleh semua murid beragama Islam dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Program tersebut bertujuan untuk membentuk akhlak dan sahsiah murid ke arah melahirkan generasi beriman dan beramal soleh.



Kem tersebut telah diketuai oleh Ustaz Mohd Radzi selaku Kem Komandan dan telah dibantu oleh guru-guru lain. Beberapa orang guru j-Qaf dari sekolah luar juga telah diundang sebagai fasilitator jemputan.



Pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan bagi memenuhi objektif dan matlamat utama kem. Kem tersebut telah dijalankan selama 2 hari 1 malam. Turut membantu dalam persiapan kem dan ajk pelaksana ialah guru-guru daripada panitia-panitia lain. Jutaan terima kasih tidak terhingga kepada mereka semua kerana telah bersama-sama menggembleng tenaga bagi menjayakan kem tersebut.

Pada hari terakhir kem, telah diadakan majlis penutup dan Hari Graduasi sempena KBS dan KBJ 2012. Majlis tersebut telah dimulakan dengan persembahan menyayat hati daripada murid-murid Tahun 6. Kemudian disusuli dengan tayangan video sepanjang kem dan ucapan daripada Kem Komandan, Guru Besar dan wakil daripada PPD iaitu Cikgu Adni.






Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada murid-murid terbaik KBS dan KBJ 2012. Mereka ialah :

Peserta KBS Terbaik :

Tahap 1 : Mohd Zaki - Tahun 2GB
               Nesrina Nabihah - Tahun 2GB
Tahap 2 : Aqil Rafiqi - Tahun 4EB
               Nurul Nuralia - Tahun 6PA



Peserta KBJ Terbaik :

1. Mohd Syafiq - Tahun 6PB
2. Nursyafira - Tahun 6PB

Peserta Terbaik Keseluruhan :

Izyan Uzma - Tahun 6PA

Kemudian, majlis diteruskan dengan Majlis Graduasi Murid Tahun 6. Tahniah buat semua yang berjaya.

Berlangsungnya perhimpunan pagi baru-baru ini, keputusan Pertandingan Bintang Kecil telah diumumkan. Berikut merupakan keputusan pertandingan tersebut :

Tahap 1 :

Johan : Royce (3TA)
Naib Johan : Abang Izzul (3TA)
Ketiga : Manisa (3TA)

Tahap 2 :

Johan : Ignatius (6PB)
Naib Johan : Sara (4EB)
Ketiga : Abang Aiman (5MB)

Bagi yang tidak berjaya, mereka telah mendapat hadiah saguhati. Kesemua hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Cikgu Abdul Wahit, Guru Besar SK Mukah. Tahniah buat semua yang berjaya.

p/s : Gambar akan dimasukkan kemudian. Harap maklum.

Pada 15-17hb Oktober yang lalu, Panita Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dibawah pimpinan Cikgu Nasir Sahari telah mengadakan kejohanan futsal antara rumah-rumah sukan. Futsal kali ini terbahagi kepada 2 kategori iaitu kategori lelaki dan kategori perempuan.





Kejohanan ini telah dikendalikan sendiri oleh Cikgu Nasir dan telah dibantu oleh beberapa orang guru yang lain. Kejohanan ini telah diadakan selama 3 hari dan bermula pada jam 2.30 petang. Tahniah buat rumah Biru kerana telah berjaya menjadi Johan Futsal bagi Ketegori Lelaki. Bagi Kategori Perempuan pula menyaksikan Rumah Hijau berjaya menjadi johan dalam kejohanan tersebut.



Piala kejohanan telah disampaikan oleh Cikgu Abdul Wahit, Guru Besar SK Mukah sewaktu perhimpunan pagi baru-baru ini.

Mengimbau kenangan Hari Sukan yang masih segar dalam ingatan, teringat hadiah misteri yang dijanjikan oleh AJK Kebersihan semasa Hari Sukan kepada mana-mana rumah sukan yang berjaya mengumpul sampah terbanyak.


Pada perhimpunan pagi baru-baru ini telah diumumkan Rumah Hijau pemenang Hadiah Misteri tersebut. Tahniah diucapkan kepada Rumah Hijau.


Selain itu, Perbarisan Terbaik Hari Sukan juga telah diumumkan yang mana bagi kategori tersebut telah dimenangi oleh Rumah Kuning. Tahniah diucapkan kepada semua kontijen Rumah Kuning.

Pada hari Khamis bersamaan 11 Oktober 2012, telah diadakan juga pada sebelah petangnya Pertandingan Bintang Kecil Peringkat Akhir 2012.

Pertandingan Bintang Kecil ini telah berlangsung selepas perhimpunan dengan menyaksikan beberapa orang murid telah menyertai acara saringan sebelum layak ke peringkat akhir.

Pertandingan ini telah dikelolakan oleh Panitia Muzik dan telah diacarakan oleh Cikgu Zullina. Antara item yang dinilai oleh hakim ialah dari segi suara, "pitching" dan gaya.

Hakim pertandingan tersebut ialah Cikgu Ahmad, Cikgu Marzuki dan Cikgu Munah. Tahniah buat semua yang terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut.

p/s : Gambar akan dimasukkan kemudian. Harap Maklum.


Pada 6 dan 7 Oktober yang lau, telah diadakan lawatan 2 hari 1 malam ke Kingwood Resort. Lawatan tersebut telah dikelolakan oleh bahagian Ko-kurikulum SK Mukah dibawah pimpinan Cikgu Marzuki dan dilaksanakan oleh Cikgu Ali dan Cikgu Ahmad.

Lawatan ini telah disertai oleh semua murid Tahun 6 yang mana tujuan utamanya adalah untuk menghargai jasa Tahun 6 terhadap segala sumbangan mereka kepada pihak sekolah. Selain itu, lawatan ini juga sebagai satu cara untuk "release tension" kepada Tahun 6 yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan UPSR.

Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan kepada mereka di Kingwood Resort. Antaranya ialah kelas renang, sukaneka, motivasi dan banyak lagi.

Lawatan tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih buat semua guru yang terlibat dalam menjayakan lawatan tersebut.

p/s : Gambar lawatan akan dimasukkan kemudian. Harap Maklum.

Pada 8hb Oktober yang lalu, seramai 7 orang murid Tahun 6 SK Mukah telah terpilih untuk mengikuti Kem Kemanisan Iman Sekolah Rendah Peringkat Daerah Mukah yang diadakan bertempat di Kem Belia Mukah. Antara mereka yang tepilih ialah :

  1. Qhairi Hisyam - 6PB
  2. Mohd Haziq - 6PA
  3. Amirul Hazman - 6PB
  4. Wan Ahmad Naim - 6PB
  5. Nurul Nuralia - 6PB
  6. Nur Azelin - 6PB
  7. Nursyafira - 6PB

Kem tersebut telah diadakan selama 3 hari 2 malam dengan pengisian yang mantap dan padat bagi membentuk generasi muslim yang hebat bertepatan dengan tema kem tersebut iaitu "KAMI MUSLIM HEBAT". Kem tersebut telah disertai oleh semua sekolah rendah di Daerah Mukah.


Dalam perjalanan ke kem tersebut, mereka telah diiringi oleh Ustaz Mohd Radzi yang bertugas sebagai Jurulatih Kerohanian dan Ustaz Engku Afizan sebagai Jurulatih Modul.


Suatu perubahan drastik telah berlaku dalam kem tersebut yang mana Amirul Hazman yang pada pengetahuan umum dikenali sebagai murid yang pasif dan pendiam di sekolah telah diangkat menjadi Penghulu bagi semua 79 peserta kem yang lain. Amirul Hazman bukan sahaja mampu memberikan arahan kepada semua peserta yang lain, malah dapat menyampaikan ucapan di hadapan khalayak ramai pada majlis penutupan kem.

Maka, dengan perubahan konsisten yang ditunjukkan oleh Amirul Hazman tersebut membolehkannya dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Lelaki Kem Kemanisan Iman 2012. Pihak sekolah mengucapkan tahniah atas pencapaian yang ditunjukkan olehnya dan peserta-peserta yang lain. 

Pada hari ini, Khamis bersamaan 11 Oktober 2012 telah berlangsung Pertandingan Membaca Petikan Tahap 1 anjuran Panitia Bahasa Malaysia yang telah diadakan bertempat di Dataran Arena Modal Insan sewaktu masa perhimpunan.






Pertandingan tersebut telah diacarakan oleh Cikgu Zullina dan telah dihakimi oleh Cikgu Fahmi, Cikgu Angela dan Cikgu Azlina.

Para peserta terdiri daripada kalangan murid prasekolah, murid LINUS dan murid KPKI.

Tahniah buat Panitia Bahasa Malaysia dan ahli-ahli jawatankuasanya kerana telah berjaya mengelolakan pertandingan ini dengan lancarnya. 

Pada 8hb Oktober yang lalu, telah diadakan Sambutan Bulan Bahasa oleh Panitia Bahasa Malaysia dibawah pimpinan Cikgu Zubaidah dengan bertemakan "Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita". Pertandingan tersebut telah diadakan di Dataran Arena Modal Insan Dinamik bermula seawal jam 2.45 petang.






Antara acara yang dipertandingkan pada hari tersebut ialah pertandingan mendeklamasikan sajak dan membaca cerita pendek. Pertandingan tersebut telah disertai oleh beberapa orang murid Tahap 1 dan 2. Pertandingan-pertandingan tersebut telah dihakimi oleh guru-guru berpengalaman dalam Bahasa Malaysia iaitu Cikgu Zubaidah, Cikgu Fauziah dan Cikgu Rasyiid.

Pertandingan tersebut telah dipengerusikan oleh Adik Nursyafiqah dari Tahun 6PA dibawah penyeliaan Cikgu Zullina. Tahniah buat Panitia Bahasa Malaysia kerana telah melaksanakan Sambutan Bulan Bahasa 2012 dengan jayanya.

Hari Sukan yang lalu menyaksikan Rumah Hijau dibawah pimpinan Cikgu Hadiah berjaya memecah rekod menjadi juara keseluruhan bagi Kejohanan Olahraga yang diadakan baru-baru ini.



Hampir setiap tahun, Rumah Hijau dibayangi mimpi buruk apabila menjelangnya Hari Sukan yang mana mereka acapkali mendapat tempat tercorot dalam markah keseluruhan Rumah Sukan.

Radeng, Ignatius, Sofiah dan Ester Suyah dari Tahun 6 menjadi penyumbang utama markah buat Rumah Hijau di mana keempat-empat mereka berjaya mencapai kedudukan "Top Three" dalam setiap acara.


Kejayaan tipis Rumah Hijau mengatasi Rumah Kuning meletakkan Rumah Kuning di tempat kedua, Rumah Merah ketiga dan Rumah Biru yang mengalami sedikit kontroversi akibat daripada ramai ayam tambatan mereka tidak menghadirkan diri pada hari kejohanan terpaksa akur dengan kedudukan tempat terakhir.



Hari Sukan SK Mukah telah berlangsung selama 2 hari (28hb-29hb September) dan telah dirasmikan oleh pegawai dari PPD Mukah, Cikgu Patrick Moses. Tahniah buat semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kejohanan olahraga pada tahun ini.


Olahragawan : Daniel (Rumah Merah)


Olahragawati : Ester Suyah (Rumah Hijau)


Olahragawan Harapan : Suhaili (Rumah Biru)


Olahragawati Harapan : Alya Zakirah (Rumah Kuning)

Pada 24hb September yang lalu, Ustazah Dayang Razimah telah menamatkan tugasnya sebagai guru ganti di SK Mukah. Ustazah Dayang telah menggantikan Ustazah Saidah yang sedang cuti bersalin. 



Pihak sekolah dan semua guru serta murid mengucapkan terima kasih di atas sumbangan Ustazah Dayang selama berada di SK Mukah. Semoga kita berjumpa lagi. Tahniah juga buat Ustazah Saidah kerana telah selamat melahirkan "baby boy" dan bergelar seorang ibu pada bulan 7  yang lalu.


Khamis yang lalu, 30hb Ogos telah diadakan Program Ambang Merdeka dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Turut memeriahkan suasana pada hari tersebut ialah beberapa orang wakil daripada PIBG SK Mukah.

Majlis telah dimulai dengan Program Ambang Merdeka di awal paginya dan telah disusuli dengan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri selepas waktu rehat.

Banyak program sempena Hari Kemerdekaan telah disusun oleh Panitia Kajian Tempatan dan Panitia Bahasa Melayu dibawah pimpinan Cikgu Zullina. Antaranya ialah :

1. Persembahan Murid Tahun 1
2. Persembahan Sajak
3. Ucapan Guru Besar dan Wakil Murid
4. Kuiz Kemerdekaan
5. Pameran Barang-barang Bersejarah






Selepas waktu rehat, majlis Ramah Tamah Aidilfitri telah diambil alih oleh Panitia Agama Islam. Majlis tersebut telah diadakan bertempat di kantin sekolah. Dalam majlis tersebut, pelbagai juadah Aidilfitri dihidangkan dan telah berjalan lancar sepertimana yang diharapkan.


Tahniah buat semua pihak yang turut serta dalam menjayakan kedua-dua program besar tersebut.


Cuti Sekolah : 18hb Ogos 2012 hingga 26hb Ogos 2012

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates