Cuti umum Khamis 1 Mei 2014 sempena Hari Pekerja di Malaysia. Seperti yang termaktub dalam hari kelepasan AM, hari pekerja atau dikenali sebagai hari buruh yang diraikan pada setiap 1 Mei merupakan cuti umum bagi seluruh negeri di Malaysia. Hari pekerja diraikan bagi menghargai jasa seorang pekerja dalam perkembangan ekonomi negara dan modal insan. Oleh itu, pihak kami SK Mukah ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh individu yang bergelar pekerja di Malaysia. Selamat Bercuti!

Pada 30 April semalam juga telah diadakan Majlis Perpisahan Cikgu Dayang Siti Haniza, guru ganti kepada Cikgu Yatima yang sedang cuti bersalin. Majlis tersebut telah diadakan bertempat di kantin sekolah dan dipengerusikan oleh Ustazah Dayang Kamaliah. 



Cikgu Dayang dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada semua guru-guru yang telah banyak memberikan tunjuk ajar terutamanya dalam kaedah pengajaran dan kawalan murid di dalam kelas. Hadiah khas sempena perpisahan Cikgu Dayang telah disampaikan oleh Guru Besar, Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli.


Sekalung perhargaan serta ucapan terima kasih kami pihak SK Mukah di atas khidmat bakti Cikgu Dayang Siti Haniza selama berada hampir 3 bulan di sekolah ini. 


Pada 30hb April semalam, telah diadakan Latihan Kecemasan Kebakaran di SK Mukah. Siren isyarat tanda kebakaran telah dibunyikan tepat jam 12.10 tengah hari. Ketika itu, semua murid sedang menghadapi P&P di dalam kelas. Turut kelihatan pada ketika itu, asap tebal menyelubungi kawasan SK Mukah. Murid-murid yang panik dengan kejadian pertama kali seperti itu mula keluar berpusu-pusu menuju ke tapak perhimpunan iaitu di gelanggang futsal dengan dipandu oleh guru kelas masing-masing.




Setelah semuanya berada di tapak perhimpunan, latihan Fire Drill diteruskan lagi dengan taklimat khas daripada Cikgu Ali selaku Ketua AJK Keselamatan SK Mukah bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik.





Guru Besar dalam ucapannya pula mengucapkan tahniah buat semua AJK Keselamatan SK Mukah kerana telah merealisasikan latihan ini dengan jayanya. Terima kasih juga diucapkan buat semua guru dan staf yang terlibat dalam membantu AJK Keselamatan mengawal pergerakan murid ke tapak perhimpunan. 




Semoga latihan ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa agar kita semua berada dalam keadaan bersedia dalam apa jua perkara yang berkemungkinan berlaku pada masa-masa mendatang.

Kejohanan bola tampar MSS Sarawak, 2014 telah berjaya diadakan mulai 23 hingga 25 April 2014, bertempat di Stadium tertutup SJKC Kwang Chien, Sarikei. Sebanyak 5 bahagian menghantar pasukan perempuan manakala 6 bahagian menghantar pasukan lelaki ke kejohanan bola tampar, peringkat negeri tahun ini. Salah seorang daripada murid SK Mukah iaitu Ailton Lagon telah terpilih menyertai pasukan bola tampar bahagian Mukah.



Tahniah buat pasukan Mukah kerana telah berjaya sehingga ke perlawanan akhir. Namun nasib tidak menyebelahi pasukan bahagian Mukah diperingkat akhir di mana mereka tewas kepada Pasukan Bahagian Sarikei. Majlis penangguhan dilaksanakan oleh Penolong PPD, Encik Dagang ak. Bungsu dengan menyampaikan hadian-hadiah kepada pemenang.


Pengerusi Teknik Negeri, Encik Wong Shoou Jang mengumumkan para pemain yang akan mewakili negeri Sarawak ke peringkat Kebangsaan. Perjuangan Ailton terhenti setakat itu sahaja memandangkan dirinya tidak tercalon dalam senarai pemain utama yang akan mewakili Sarawak ke peringkat Kebangsaan. Walaupun begitu, SK Mukah sangat berbangga dengan kejayaan yang telah dikecapi oleh Ailton sehingga ke peringkat ini. Tahniah diucapkan!

Pada 25hb April baru-baru ini, telah diadakan Hari Permuafakatan 1/2014. Hari Permuafakatan tersebut melibatkan murid prasekolah hingga Tahun 5 sahaja berikutan telah diadakan Kontrak Pembelajaran bagi murid Tahun 6 pada hari sebelumnya.

Seperti tahun-tahun yang lalu, antara objektif program ini diadakan adalah seperti berikut :

  1. Perbincangan dua hala antara ibu bapa dan guru berdasarkan keputusan ujian.
  2. Perbincangan ibu bapa bersama guru untuk memperbaik dan mempertingkatkan pencapaian murid.
  3. Perbincangan bersama bagi mengatasi masalah pembelajaran murid.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru-guru yang terlibat dalam merealisasikan Hari Permuafakatan tersebut dengan jayanya.

Majlis Menandatangani Kontrak Pembelajaran UPSR bagi tahun 2014 ini telah diadakan pada 24hb April yang lalu bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah. Acara tahunan tersebut merupakan kesinambungan daripada Program Jejak Gemilang SK Mukah buat kali ke-8 ini. Melalui majlis ini, ibu bapa diberi pendedahan secara langsung oleh guru-guru matapelajaran terhadap tahap pembelajaran anak-anak mereka yang bakal menduduki UPSR pada tahun ini.

Majlis telah dirasmikan oleh wakil YDP PIBG SK Mukah iaitu Cikgu Marzuki Bin Ali Mahamud juga selaku Penolong Kanan 1 SK Mukah. Untuk pengetahuan semua, YDP PIBG Dr.Osman dan Timbalan YDP PIBG En.Azman tidak dapat menghadirkan diri ke majlis tersebut kerana sedang menjalankan tugas luar di Kuching. Walaupun ketiadaan mereka, namun majlis tetap dijalankan seperti yang telah dirancang. Pada tahun ini, seramai 64 orang murid Tahun 6 SK Mukah akan menduduki UPSR.


SK Mukah dengan sukacitanya telah menjemput Puan Lee Siew Wan, Pegawai Jusa C SISC+ Bahasa Melayu daripada PPD Mukah sebagai tetamu kehormat pada majlis kali ini. Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

2.15 petang
Ketibaan ibu bapa dan tetamu kehormat

2.30 petang
Nyanyian Lagu NegaraKu dan Ibu Pertiwiku
Bacaan Doa
Ucapan Aluan daripada Guru Besar, Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli
Ucapan Perasmian daripada Setiausaha PIBG, wakil YDP PIBG SK Mukah
Ceramah Motivasi daripada Puan Lee Siew Wan
Bacaan Ikrar UPSR oleh semua murid Tahun 6
Majlis Menandatangani Kontrak Pembelajaran Individu Bagi Calon-Calon UPSR 2014

5.30 petang
Majlis bersurai

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Puan Lee Siew Wan di atas ceramah motivasi yang disampaikannya. Mudah-mudahan ceramah yang berdurasi selama 1 jam tersebut dapat membawa impak yang besar buat ibu bapa terutamanya dalam tugas membantu guru mendidik dan memantau perkembangan pelajaran anak-anak di rumah. Terima kasih juga di atas kesudian ibu bapa murid-murid yang hadir memberikan kerjasama dalam majlis kecemerlangan ini. Mudah-mudahan segala apa yang kita usahakan untuk murid-murid yang bakal menduduki UPSR ini dapat membuahkan hasil yang terbaik dalam pencapaian UPSR pada tahun ini.

Pada 23 April yang lalu, telah diadakan program pencarian bakat bagi peserta Story Telling anjuran Perpustakaan Awam Mukah. Tahniah buat 3 orang murid dari Tahun 3 sekolah kita yang telah berani menyahut cabaran untuk menyertai program tersebut. Mereka ialah :

1. Dayangko Shabistari Binti Pangiran Saifudzin
2. Ariana Rabai
3. Ashley Joyce Naja





Ketiga-tiga orang peserta daripada sekolah kita telah dibawa oleh Cikgu Fauziah selaku guru pengiring ke Perpustakaan Awam Mukah pada hari tersebut. Semoga mereka bertiga dapat menjadi peserta pelapis bagi peserta-peserta story telling yang sedia ada pada masa akan datang. 

Permainan nombor yang popular "SUDOKU" telah dipertandingkan baru-baru ini pada 21hb April 2014 anjuran Perpustakaan Awam Mukah dan Rakan Perpustakaan bertempat di Perpustakaan Awam Mukah.
Guru yang banyak terlibat dalam aktiviti anjuran perpustakaan ini iaitu Cikgu Fauziah binti Idris dengan dibantu beberapa orang guru yang lain telah memilih beberapa orang murid sebagai wakil peserta bagi sekolah kita untuk menyertai pertandingan tersebut.







Tahniah buat Petra Nabila daripada kelas 6 Perkasa B kerana telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Bagi peserta-peserta lain dari sekolah kita mereka hanya membawa pulang hadiah saguhati. Tahniah buat semua yang terlibat pada hari tersebut.

Pada hari Sabtu yang lalu, 12hb April telah diadakan Kem Bestari Solat 1/2014. KBS ini telah melibatkan semua murid tahun 1 hingga tahun 6 yang beragama Islam termasuk 4 orang murid daripada SK Sg.Liuk, Mukah. KBS kali ini tertumpu kepada soal selidik dan kajian terhadap tahap penguasaan murid melakukan amali wudhuk dan solat fardhu. Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

7.45 pagi         
Pendaftaran peserta
Taklimat KBS oleh Penyelaras Program - Ustaz Mohd Radzi
Soal Selidik Amali Wudhuk

9.30 pagi
Rehat
Soal Selidik Amali Solat

12.30 tengah hari
Bersurai










Terima kasih atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Kem Bestari Solat 1 baru-baru ini.

Kalah tipis pada Daerah Dalat menyebabkan kumpulan nasyid sekolah kita Shoutul Hijjazi yang mewakili Daerah Mukah tidak dapat meneruskan perjuangan ke peringkat Negeri walaupun telah memenangi lagu dan lirik terbaik di Festival Nasyid Peringkat Bahagian Mukah pada 4 April yang lalu. Oleh kerana markah seri, maka markah suara diambil kira terlebih dahulu. Kita ketinggalan 2 markah sahaja daripada markah suara johan pertandingan tersebut. Oleh yang demikian, kumpulan Shoutul Hijjazi yang dianggotai oleh 9 orang murid daripada sekolah kita terpaksa akur dan berpuas hati dengan keputusan muktamad hakim mengumumkan mereka sebagai naib johan bagi pertandingan tersebut.



Keputusan acara nasyid sangat dinanti-nantikan oleh semua guru pengiring dan para peserta MTQ kerana acara ini melibatkan jumlah peserta yang ramai serta acara kemuncak bagi setiap pertandingan MTQ. Pasukan nasyid sekolah kita telah diiringi oleh Ustaz Engku Afizan dan Ustaz Mohd Radzi ke tempat pertandingan di SMKA Igan di Igan.


Antara tetamu kehormat yang hadir semasa hari pertandingan tersebut ialah Ustaz Arip Bin Hj. Sa'aya, Ketua Sektor Pendidikan Islam JPN Sarawak dan Tuan Haji Bugin Bin Haji Ragun, Pegawai Pendidikan Daerah Mukah. Tahniah buat semua yang terlibat dan bekerjasama dalam menjayakan latihan nasyid di sekolah sebelum ini. InsyaAllah kita cuba lagi pada tahun hadapan. Semoga bidang nasyid ini dapat dijadikan salah satu aktiviti kebitaraan SK Mukah pada masa-masa akan datang. 

Pada 22hb Mac hingga 31hb Mac yang lalu, telah dijalankan Program Galakan Membaca sempena cuti sekolah. Hadiah akan diberikan kepada mana-mana murid yang mencapai syarat-syarat berikut :


Membaca minima 80 buah buku bagi Tahun 4 dan Tahun 5
Membaca minima 50 buah buku bagi Tahun 6
Membaca minima 50 buah buku bagi Tahap 1

Tahniah diucapkan kepada beberapa orang "ulat buku" sekolah kita kerana telah berjaya mencapai syarat-syarat tersebut. Mereka ialah :

Tahap 1
1. Aina Batrisyia (2GA) - 67 buah buku
2. Faizatul Syamimi (2GB) - 73 buah buku


Tahap 2
1. Ailin Yasmin (5MA) - 110 buah buku 
2. Izaz Rizqi (5MA) - 83 buah buku
3. Nurul Damia (6PA) - 60 buah buku
4. Nur Rasyiqah (6PA) - 50 buah buku

Semakin banyak kita membaca, semakin banyak ilmu yang kita perolehi. Pihak sekolah berharap murid-murid lain mencontohi rakan-rakan kalian yang berjaya ini.


Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates