SK Mukah telah membuat pelbagai persiapan untuk menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-53 pada tahun ini. Antara persiapan yang telah dilakukan ialah aktiviti memasang bendera Malaysia dan bendera Negeri Sarawak di sekitar kawasan sekolah termasuk bilik darjah.


Selain itu, pertandingan melukis sempena Hari Kemerdekaan dan juga pertandingan "Kelas Paling Patriotik" turut diadakan. Tahniah buat kelas 2 Gemilang kerana telah berjaya menjadi johan bagi pertandingan Kelas Paling Patriotik.

Pada 26 Ogos 2010, telah diadakan satu pertandingan kuiz sempena bulan Ramadhan bertempat di SK Datuk Awang Udin. Sebanyak 12 buah sekolah di sekitar daerah Mukah telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Setiap buah sekolah diwakili oleh 4 orang murid sebagai peserta berkumpulan.

SK Mukah telah menghantar 4 orang murid sebagai peserta kuiz. Pemilihan 4 orang murid tersebut dibuat berdasarkan kepada pencapaian mereka dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di dalam kelas. Mereka semua ialah :

1. Awang Asyraf Ilman bin Awang Sarkawi (6 Perkasa)
2. Farhan asyraf bin Zulkifli (5 Bestari)
3. Hazirah Watikah binti Abdah (5 Bestari)
4. Nor Syafiqah binti Azman (4 Mantap)


Pertandingan bermula seawal jam 8.30 pagi dan kumpulan SK Mukah telah diiringi oleh Ustaz Engku Afizan selaku guru pembimbing. Kuiz dijalankan secara 2 peringkat iaitu ujian bertulis dan kuiz lisan. Bagi ujian bertulis, semua murid dikehendaki menjawab 50 soalan dalam masa 1 jam. Markah kumpulan ketiga tertinggi dikira sebagai pemenang tempat ketiga manakala kumpulan yang mendapat markah tertinggi dan kedua tertinggi akan layak ke pusingan seterusnya iaitu kuiz lisan untuk menentukan tempat Johan dan Naib Johan.

Penyemakan dan penilaian jawapan bagi setiap kumpulan sekolah telah dilakukan oleh semua guru pengiring yang hadir. Berikut merupakan keputusan Ujian Bertulis yang telah dijalankan :


Syabas diucapkan buat kumpulan SK Mukah dan kumpulan tuan rumah (SK Datuk Awang Udin) kerana telah berjaya mara ke peringkat kedua iaitu kuiz lisan bagi menentukan tempat Johan dan Naib Johan.

Kuiz lisan banyak tertumpu kepada persoalan mengenai permasalahan dalam menunaikan ibadah puasa dan zakat. Persaingan yang sengit ditunjukkan oleh kedua-dua kumpulan.


Tahniah kepada kumpulan SK Mukah kerana telah berjaya mengharumkan nama sekolah dengan menjuarai pertandingan kuiz tersebut. Hadiah telah disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Mukah iaitu Cikgu Abdul Wahab bin Haji Sapawi selaku tetamu jemputan dalam pertandingan tersebut.

Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Panitia Bahasa Arab J-Qaf telah mengadakan program Tadarus al-Quran pada setiap hari Selasa dan Khamis bermula jam 1.10 petang hingga 1.30 petang sepanjang bulan Ramadhan ini.


Beberapa orang murid tahun 1 hingga tahun 5 telah dipilih untuk membentuk 10 kumpulan tadarus. Setiap kumpulan yang dibahagikan akan membaca sebanyak 3 juzuk al-Quran. 


Program ini adalah bertujuan untuk menyemai rasa cintakan al-Quran dikalangan murid kerana pada bulan Ramadhan inilah al-quran diturunkan. Di samping itu, program ini juga menjadi pengisian kepada masa senggang murid sepanjang bulan Ramadhan yang berkat ini.

Pada 18hb yang lalu, Panitia Bahasa Malaysia SK Mukah telah mengadakan pertandingan bercerita dan pidato sempena merealisasikan hasrat kerajaan untuk melaksanakan program Bulan Bahasa yang akan bermula pada bulan Oktober di semua peringkat termasuk sekolah.


Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi. Negeri Sarawak telah dipilih menjadi tuan rumah bagi majlis bertema "Bahasa Jiwa Bangsa" itu kerana terdapat pelbagai kaum yang hidup penuh harmoni dan dapat menjadi ikon konsep 1Malaysia.


Murid tahun 1 hingga tahun 5 terlibat secara langsung dalam menjayakan program tersebut. Tahniah buat  semua murid  yang bertanding kerana telah memberikan persembahan serta saingan yang hebat dalam pertandingan tersebut.


SK Mukah mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua warga muslimin dan muslimat di SK Mukah. Semoga kita semua mendapat rahmat dan keberkatan di dalam bulan ini. Amin...

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates