Pada Rabu yang lalu bersamaan 30hb Oktober, telah diadakan Pertandingan Bintang Kecil oleh Panitia Muzik SK Mukah dibawah pimpinan Cikgu Fauziah. Pertandingan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua murid SK Mukah dari tahun 1 hingga tahun 6. Dalam acara saringan yang diadakan pada hari sebelumnya, hanya 5 orang  peserta dari Tahap 1 dan 5 orang peserta dari Tahap 2 yang layak sahaja telah dipilih bertanding dalam acara akhir.


Pada jam 2.30 petang bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik, telah bermulalah pertandingan tersebut yang mana menyaksikan 10 peserta berentap untuk merebut gelaran juara. Hadiah istimewa menanti Juara Pertandingan iaitu mereka akan diberi peluang mempersembahkan nyanyian mereka pada Hari Pengiktirafan Kualiti yang bertempat di Hotel Kingwood Resort.



Hakim Pertandingan Bintang Kecil terdiri daripada guru-guru yang berpengalaman dalam bidang muzik dan persembahan. Antaranya ialah Cikgu Norzelan, Cikgu Ahmad dan Cikgu Jessica. Para penonton dihiburkan dengan beberapa buah lagu nyanyian beberapa orang guru sementara menunggu keputusan pertandingan diumumkan oleh pengacara majlis iaitu Cikgu Iryana. Bagi tahap 1, juaranya ialah Nurdiana Abdullah dari tahun 3 Terbilang B manakala juara bagi Tahap 2, Sara Samanta dari Tahun 5 Mantap B. Tahniah buat mereka berdua. Mereka akan membuat persembahan di Kingwood Resort sempena Hari Pengiktirafan Kualiti. Tahniah buat Panitia Muzik di atas kejayaan menganjurkan aktiviti tersebut dan sama-samalah kita nantikan persembahan kedua-dua johan Bintang Kecil ini pada 7 November nanti.


Pada 14hb hingga 18hb Oktober yang lalu, telah diadakan Minggu Bahasa Inggeris (English Week) oleh Panitia Bahasa Inggeris. Antara aktiviti dan program yang telah dilaksanakan oleh Panitia Bahasa Inggeris sempena minggu tersebut ialah :
  1. Story Reading Competition For Pre School, KPKI and Year 1-3
  2. Story Telling Competition For Year 4-6
  3. Art Craft Competition

Maka pada perhimpunan hari ini telah diadakan Majlis Penyampaian Hadiah buat murid-murid yang telah berjaya di dalam pertandingan-pertandingan yang telah dianjurkan. Tahniah buat semua mereka yang berjaya. Bagi yang tidak berjaya dan tidak mengambil bahagian, boleh mencuba lagi pada tahun hadapan.
Tahniah juga buat semua guru dalam Panitia Bahasa Inggeris kerana telah berjaya melaksanakan "English Week" dengan cemerlang dan lancar.




Pertandingan Memberus Gigi anjuran Hospital Daerah Mukah akan diadakan pada 31 Oktober ini. Oleh yang demikian, Bahagian Kesihatan Sekolah yang dipengerusikan oleh Cikgu Zullina telah mengambil inisiatif untuk membuat persediaan awal dengan melatih murid-murid yang terlibat untuk memberus gigi dengan betul. Pertandingan tersebut akan dinilai oleh beberapa orang pegawai dan jururawat pergigian dari Hospital Daerah Mukah. Pertandingan tersebut dibahagikan kepada 3 kategori iaitu kategori Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3.







Cikgu Zullina telah dibantu oleh guru-guru kesihatan yang lain seperti Cikgu Razimah, Cikgu Rosniah, Cikgu Ruzaimah dan Ustazah Saidah. Selain itu, kerjasama beberapa orang Doktor Muda juga amat diperlukan dalam tugasan melatih murid-murid tahap 1 yang terlibat. Mudah-mudahan sekolah kita akan berjaya dalam pertandingan memberus gigi pada hari esok. InsyaAllah.

Pada 28hb Oktober 2013, Isnin yang lalu pihak sekolah telah mengadakan lawatan sambil belajar yang telah disertai oleh semua murid tahun 6. Lawatan ini merupakan aktiviti tahunan Panitia Pendidikan Moral dengan kerjasama Panitia Bahasa Melayu bagi memenuhi masa terluang tahun 6 yang telah tamat menduduki UPSR pada bulan September yang lalu.


Dua tempat telah dipilih sebagai destinasi lawatan mereka iaitu Mukah Power Generation Sdn.Bhd. dan Lamin Dana. Lawatan dimulakan dengan taklimat khas oleh Cikgu Marzuki selaku ketua rombongan dan diiringi dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Mohamad Radzi sebelum mereka bertolak ke tempat lawatan. Di Mukah Power Generation, mereka telah didedahkan dengan proses penghasilan tenaga elektrik melalui loji janakuasa arang batu manakala di Lamin Dana pula mereka telah diperkenalkan dengan budaya asli masyarakat Melanau yang menjadi kebanggaan di Mukah ini. Selain pakaian masyarakat Melanau, mereka juga dapat mengenali alat-alat dan perkakasan kegunaan masyarakat Melanau dahulu seperti bakul anyaman, tembikar dan juga alat muzik masyarakat Melanau.

Lawatan sambil belajar yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari tersebut banyak memberikan faedah buat murid-murid Tahun 6. Guru pengiring yang bersama mereka pada hari tersebut antaranya ialah Cikgu Marzuki, Cikgu Iryana, Cikgu Zubaidah dan Cikgu Zullina. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Encik Ahmad Fauzi selaku jurugambar bertugas. Pihak sekolah mengucapkan tahniah buat semua yang telah menjayakan lawatan sambil belajar ini.

Meneruskan aktiviti yang mula diperkenalkan pada tahun lepas iaitu Perkhelahan Khas Murid Tahun 6 di Kingwood Resort, tahun ini menyaksikan murid-murid Tahun 6 dibawa ke sana lagi untuk berkhelah selama 2 hari 1 malam pada 25hb dan 26hb Oktober yang lalu. Program perkhelahan tersebut telah diuruskan oleh Cikgu Ali and "The Gang" yang terdiri daripada Cikgu Ahmad dan Cikgu Norzelan. Turut sama-sama membantu dalam menjayakan perkhelahan tersebut ialah guru-guru lain SK Mukah.


Pelbagai aktiviti menarik disediakan dalam perkhelahan berbentuk santai ini. Tujuannya untuk memberi keseronokkan dan hiburan kepada murid-murid sebagai satu aktiviti "release tension" setelah mereka semua selesai mengharungi UPSR pada bulan September yang lalu.

Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang perkhelahan tersebut termasuklah kelas bimbingan berenang, membuat istana pasir, aktiviti membina keyakinan dan kesedaran diri dan banyak lagi. Di samping itu juga, turut diadakan sambutan Hari Lahir Cikgu Jessica menjelangnya waktu makan malam. Suasana tampak meriah dengan kehadiran alunan merdu petikan gitar oleh Cikgu Nerzelan dan nyanyian murid-murid pada malam tersebut. Tahniah buat semua guru dan murid Tahun 6 yang terlibat dalam menjayakan program ini secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga aktiviti menarik seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

Kem Bestari Solat Siri 2 telah diadakan pada 23hb Oktober manakala Kem Bestari Solat Siri 3 telah diadakan pada keesokkan harinya. Tumpuan KBS pada kali ini ialah amali wudhuk dan solat. KBS diadakan sedikit lewat daripada tarikh yang dirancang kerana kekangan masa yang tidak dapat dielakkan.


Murid beragama Islam tahun 1 hingga tahun 6 terlibat dalam menjayakan KBS tahun ini yang mana mereka telah dibahagikan kepada 13 kumpulan kecil dan telah dipimpin oleh seorang fasilitator dalam setiap kumpulan. Khidmat bakti dua orang guru KAFA iaitu Ustazah Ayu dan Ustazah Dayang dalam KBS kali ini sangat dihargai dalam melancarkan program KBS kali ini. Terima kasih di atas sumbangan mereka. Tahun ini menyaksikan pertambahan ketara bilangan guru j-Qaf SK Mukah daripada 3 orang dahulunya kepada 7 orang sekarang. Antara guru kemasukan baru ialah Ustaz Izwan (j-Qaf KPKI), Ustazah Dayang Kamaliah (j-Qaf KPKI), Ustazah Siti Fatimah ( dan Ustazah Nasuha.

Terima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat menjayakan Kem Bestari Solat Siri 2 dan Siri 3 tahun ini.

Pada 18hb hingga 19hb Oktober, telah diadakan Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform Peringkat SK Mukah. Kem ini telah diadakan selama 2 hari 1 malam melibatkan murid-murid tahap 2. Pendaftaran peserta bermula seawal jam 2.00 petang di mana murid-murid dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk memasang khemah kediaman masing-masing. Perkhemahan ini telah diterajui oleh Cikgu Norzelan selaku penyelaras keseluruhan dan Cikgu Ahmad Taha selaku Kem Komandan dengan dibantu oleh Cikgu Ali selaku Timbalan Kem Komandan.




5 badan beruniform telah menyertai perkhemahan pada tahun ini. Mereka ialah :

1. Tunas Kadet Remaja Sekolah
2. Pengakap
3. Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM)
4. Tunas Puteri
5. Puteri Islam

Pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan jayanya menerusi perkhemahan ini. Antaranya ialah Permainan KIM, Bantu Mula, Ikhtiar Hidup dan Tali Temali. Semua aktiviti ini telah dilaksanakan oleh guru-guru penasihat unit beruniform masing-masing.



Majlis Penutupan telah selamat dijalankan dengan jayanya dengan menyaksikan beberapa anugerah telah disampaikan. Antaranya :

Sijil Perkhemahan : Wakil dari Unit Beruniform masing-masing
Kawad Kaki Terbaik : Pasukan Tunas Puteri dan Puteri Islam
Peserta Kem Terbaik (Lelaki) : Syamil Fahim Bin Arman (Pengakap) - 5 Mantap A
Peserta Kem Terbaik (Perempuan) : Nurul Asyiqin Binti Jamal (Tunas Puteri) - 6 Perkasa A


Sijil dan hadiah kepada peserta telah disampaikan oleh Tuan Abdul Wahit Bin Mohamad Etli selaku Komandan KRS Peringkat Sekolah. Terima kasih buat semua guru yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan aktiviti perkhemahan pada tahun ini.

Pada 17 dan 18hb Oktober yang lalu, telah diadakan Klinik Bola Jaring bertempat di SK Mukah. Klinik ini bertujuan untuk melatih bakat-bakat baru dalam sukan bola jaring. Klinik ini telah disertai oleh beberapa orang murid tahun 4 dan 5 dari SK Mukah dan SK Kg.Tellian.



Beberapa orang jurulatih berpengalaman telah diberi kepercayaan untuk melatih bakat-bakat baru ini supaya mereka dapat beraksi pada mana-mana pertandingan bola jaring pada tahun hadapan. Turut termasuk dalam senarai barisan jurulatih ialah dua orang guru daripada sekolah kita iaitu Cikgu Ruzaimah dan Ustazah Salmy.



Untuk pengetahuan semua, 2 orang murid tahun 6 sekolah kita pernah mewakili pasukan bola jaring Daerah Mukah ke Pertandingan Bola Jaring Peringkat Negeri Sarawak. Satu pencapaian yang membanggakan buat sekolah kita. Mudah-mudahan melalui klinik seperti ini dapat menggilap bakat-bakat baru sebagai pelapis buat pasukan sekolah kita pada tahun hadapan.

Pada 16hb Oktober (Rabu) yang lepas telah diadakan perhimpunan Kokurikulum bertempat di Dataran Arena Modal insan Dinamik. Dalam perhimpunan tersebut telah berlangsung Majlis Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Futsal yang telah dilaksanakan pada 17 hingga 20 September yang lalu. Hadiah dan medal telah disampaikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum iaitu Cikgu Marzuki. Johan Kumpulan Lelaki telah dimenangi oleh Rumah Biru manakala Johan Kumpulan Perempuan dimenangi oleh Rumah Hijau. Suhaili Bin Jeton yang mewakili pasukan Rumah Biru dari Tahun 6 Perkasa B telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak lelaki manakala bagi kategori perempuan telah diungguli oleh Safarah Binti Mohamad Hasbullah yang mewakili rumah Hijau juga dari kelas 6 Perkasa B.


Disamping itu juga, telah diadakan majlis penyampaian hadiah buat pasukan rumah sukan yang berjaya dalam sukaneka pada Hari Sukan Tahunan baru-baru ini. Sukaneka telah disertai oleh murid-murid tahap 1 iaitu dari tahun 1 hingga tahun 3. Pelbagai acara telah dipertandingkan pada hari tersebut. Antaranya acara tiup belon sampai pecah, bawa gelung getah dengan straw, lontar belon air dan banyak lagi acara-acara yang menarik mereka semua ikuti.

Tahniah buat semua yang berjaya. Bagi pasukan rumah lain yang tidak berjaya, mereka juga tidak ketinggalan diberikan hadiah untuk tempat kedua, ketiga dan saguhati. Jumpa lagi di Pertandingan Futsal Antara Rumah Sukan dan Acara Sukaneka pada tahun hadapan.


Keadaan padang yang becak tidak menghakis semangat kesukanan murid-murid dan guru untuk meneruskan acara yang dinantikan iaitu Sukan Tahunan 2013. Hari Sukan SK Mukah telah diadakan dengan gilang gemilang selama 3 hari berturut-turut bermula pada 10hb Oktober hingga 12hb Oktober 2013.






Hari Pertama : Sukaneka Pra Sekolah dan Tahap 1
Hari Kedua : Acara Olahraga dan Sukaneka KPKI
Hari Ketiga : Acara Balapan dan Majlis Penutupan

Turut hadir dalam Hari Sukan kali ini ialah ibu bapa murid yang sama-sama memberikan sokongan buat anak masing-masing. Hari Sukan Sekolah telah dirasmikan oleh Cikgu Patrick daripada Unit Kokurikulum PPD Mukah. Rumah Merah, Biru, Kuning dan Hijau masing-masing berentap untuk merebut gelaran Juara Keseluruhan Rumah Sukan Tahunan pada tahun ini.





Juara Rumah Sukan

Tahun 2010 : Rumah Merah
Tahun 2011 : Rumah Kuning
Tahun 2012 : Rumah Hijau
Tahun 2013 : Rumah Biru

Tahniah buat rumah Biru kerana berjaya menjadi Juara Keseluruhan pada Tahun ini.

Hari yang ditunggu-tunggu semakin tiba. Hari Sukan merupakan acara tahunan sekolah yang sangat-sangat dinantikan oleh murid-murid untuk sama-sama bersaing mempamerkan kehebatan masing-masing di pentas kesukanan.





Sebelum menjelangnya Sukan Tahunan yang dijangka akan dilaksanakan pada 10hb hingga 12hb Oktober, telah diadakan Pra Sukan Tahunan untuk memilih siapakah yang layak untuk mewakili rumah sukan masing-masing dalam acara-acara yang akan dipertandingkan. Antara acara tetap yang akan dipertandingkan ialah acara olahraga dan balapan. Paling mendapat sambutan dan perhatian murid-murid ialah acara lompat tinggi.





Pihak sekolah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat semua guru yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam jawatankuasa Hari Sukan pada tahun ini. Selamat Bersukan buat semua murid dan Majulah Sukan untuk SK Mukah.

Pada 30 September yang lalu bertempat di Kelas 4 Efisien telah diadakan Majlis Perpisahan Guru j-Qaf SK Mukah iaitu Ustazah Saudah, Ustazah Liyana dan Ustazah Tengku Hasliza yang akan berpindah tempat bertugas dan diraikan juga guru-guru ganti yang telah tamat tempoh perkhidmatan di SK Mukah iaitu Ustaz Ariffin dan Ustaz Khairil. Majlis dipengerusikan oleh Ustazah Salmy Binti Morshidi. Majlis dimulakan dengan ucapan Penolong Kanan 1, Cikgu Jasmi Binti Sha'rani. Dalam ucapan ringkasnya, beliau mewakili semua guru-guru dan staf SK Mukah mengucapkan ribuan terima kasih buat semua mereka kerana telah menjalankan tugas dengan baik serta banyak menabur bakti dan budi dengan menyumbang tenaga dan masa demi kejayaan murid-murid selama berada di SK Mukah ini. 




Majlis diteruskan lagi dengan ucapan perpisahan daripada guru-guru yang diraikan. Untuk pengetahuan semua, Ustaz Ariffin menggantikan Ustazah Fazariah yang cuti bersalin begitu juga dengan Ustaz Khairil yang menggantikan Ustazah Norwani yang juga sedang cuti bersalin. Berikut pula merupakan perpindahan guru-guru j-Qaf sekolah kita :

Ustazah Saudah : Berpindah ke Negeri Pahang
Ustazah Liyana : Berpindah ke SK St.Patrick, Mukah
Ustazah Tengku Hasliza : Berpindah ke SK Ladang 1, Mukah.







Hadiah perpisahan kepada mereka semua telah disampaikan oleh oleh Cikgu Jasmi. Guru Besar, Cikgu Wahit Bin Mohamad Etli tidak bersama pada hari tersebut kerana terlibat dalam urusan rasmi di luar. Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari. Bacaan doa selamat dan doa makan telah disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Radzi Bin Mahmud.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates