Pada 28hb Oktober 2013, Isnin yang lalu pihak sekolah telah mengadakan lawatan sambil belajar yang telah disertai oleh semua murid tahun 6. Lawatan ini merupakan aktiviti tahunan Panitia Pendidikan Moral dengan kerjasama Panitia Bahasa Melayu bagi memenuhi masa terluang tahun 6 yang telah tamat menduduki UPSR pada bulan September yang lalu.


Dua tempat telah dipilih sebagai destinasi lawatan mereka iaitu Mukah Power Generation Sdn.Bhd. dan Lamin Dana. Lawatan dimulakan dengan taklimat khas oleh Cikgu Marzuki selaku ketua rombongan dan diiringi dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Mohamad Radzi sebelum mereka bertolak ke tempat lawatan. Di Mukah Power Generation, mereka telah didedahkan dengan proses penghasilan tenaga elektrik melalui loji janakuasa arang batu manakala di Lamin Dana pula mereka telah diperkenalkan dengan budaya asli masyarakat Melanau yang menjadi kebanggaan di Mukah ini. Selain pakaian masyarakat Melanau, mereka juga dapat mengenali alat-alat dan perkakasan kegunaan masyarakat Melanau dahulu seperti bakul anyaman, tembikar dan juga alat muzik masyarakat Melanau.

Lawatan sambil belajar yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari tersebut banyak memberikan faedah buat murid-murid Tahun 6. Guru pengiring yang bersama mereka pada hari tersebut antaranya ialah Cikgu Marzuki, Cikgu Iryana, Cikgu Zubaidah dan Cikgu Zullina. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Encik Ahmad Fauzi selaku jurugambar bertugas. Pihak sekolah mengucapkan tahniah buat semua yang telah menjayakan lawatan sambil belajar ini.

0 Comments:

Post a Comment



Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates