SK Mukah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua warga SK Mukah serta para ibu bapa murid-murid yang beragama Islam. Maaf Zahir dan Batin.


Cuti Sekolah sempena Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada 26hb Julai (Sabtu) hingga 3hb Ogos (Ahad). Harap Maklum. 

Selamat Hari Lahir diucapkan kepada guru-guru dan staf yang lahir pada bulan Januari hingga bulan Julai. Semoga panjang umur dalam kebajikan, dimurahkan rezeki dan bahagia hingga ke akhir hayat serta berjaya dunia dan akhirat. Hadiah sempena Hari Lahir Guru-Guru dan Staf telah disampaikan oleh Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli, Guru Besar SK Mukah semasa hari perhimpunan yang lalu.



Pada 17hb Julai yang lalu bertempat di SK Kg, Jebungan, telah diadakan Pertandingan Mewarna Tahap 1 dan Pertandingan Melukis bagi Tahap 2. Sekolah kita menghantar beberapa orang peserta ke pertandingan tersebut. 





Tahniah diucapkan kepada Dayangko Shabestari (3 Terbilang A) kerana telah menjadi johan dalam pertandingan mewarna dan tahniah juga diucapkan kepada Shahnur Izzati (5 Mantap A) kerana telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan melukis. Para peserta sekolah kita telah diiringi oleh Cikgu Izzah ke pertandingan tersebut.


Pada 22hb Julai yang lalu, bertempat di SK Mukah telah diadakan program Ihya' Ramadhan bagi tahun 1435H / 2014M. Program tersebut telah dihadiri oleh YDP PIBG, AJK PIBG serta para ibu bapa murid-murid Tahun 6 yang akan menduduki UPSR pada tahun ini. Berikut merupakan tentatif program yang telah diadakan pada hari tersebut :

5.45 p.m.
Majlis Khatam al-Quran Tahun 6
Penyampaian Hadiah kepada semua peserta Khatam al-Quran
Majlis Tahlil dan Doa Selamat

6.30 p.m.
Majlis Iftar


7.30 p.m.
Solat Maghrib Berjemaah
Munajat UPSR (Solat Hajat)

8.05 p.m.
Solat Isyak Berjemaah
Solat Tarawih
Bersurai

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan program Ihya Ramadhan pada kali ini.

Untuk pengetahuan semua, SK Mukah telah kehilangan beberapa orang guru berikutan keputusan perpindahan antara negeri dan daerah telah diumumkan pada bulan Jun yang lalu. Antara guru yang telah dan akan berpindah ialah :

Ustaz Izwan (j-Qaf) telah tamat praktikal di SK Mukah 

 Ustazah Norwani (j-Qaf) telah berpindah ke SK Penghulu Ahmad, Langkawi, Kedah.

Ustazah Siti Fatimah (j-Qaf) telah berpindah ke Perak

Ustazah Siti Nasuha (j-Qaf) akan berpindah ke Selangor

Selain itu, SK Mukah juga turut akur dengan perpindahan guru Bahasa Inggeris berpengalaman iaitu Cikgu Munah anak Ugin yang telah dinaikkan pangkat dan kini ditempatkan di PPD Mukah sebagai Pegawai LINUS.

Cikgu Munah

Kami di SK Mukah mengucapkan terima kasih tidak terhingga di atas sumbangan kalian dalam mendidik murid-murid di sini serta membantu dalam melonjakkan nama dan kejayaan SK Mukah dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan. Semoga kalian terus menggapai kecemerlangan dan mengecap kejayaan dalam bidang pendidikan.

  

Pada hari Sabtu yang lalu 5hb Julai, semua ahli Kelab Doktor Muda SK Mukah telah dibawa melawat ke Hospital Mukah. Mereka telah diiringi oleh beberapa orang guru penasihat Kelab Doktor Muda. Antaranya, Cikgu Zullina, Cikgu Razimah dan Cikgu Angela. Turut bersama dalam lawatan tersebut ialah Guru Penolong Kanan 1, Cikgu Marzuki.











Dalam lawatan tersebut, ahli-ahli kelab Doktor Muda sekolah kita telah diberi peluang untuk melihat secara lebih dekat prosedur-prosedur serta teknik-teknik rawatan yang telah digunakan oleh para doktor untuk merawat pesakit. Malah mereka turut diberikan peluang untuk menggunakan beberapa alat rawatan tertentu. Selain itu, mereka turut dibawa melawat ke beberapa bahagian wad-wad pesakit yang terdapat di Hospital Mukah.


Suatu pengalaman yang amat bermakna buat semua ahli kelab Doktor Muda. Tahniah buat guru-guru penasihat Kelab Doktor Muda SK Mukah kerana telah berjaya mengadakan lawatan sambil belajar pada hari tersebut. Pihak sekolah juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kesudian pihak Hospital Mukah yang diterajui oleh Dr.Osman Bin Hj. Rafa'ie merangkap YDP PIBG SK Mukah menerima kehadiran dan lawatan ahli Kelab Doktor Muda kami ke sana.

Pada 2hb Julai yang lalu, telah diadakan Kempen Membasuh Tangan anjuran Kelab Doktor Muda SK Mukah sempena Program Minggu Sihat. Kempen tersebut melibatkan semua murid SK Mukah dari Tahun 1 hingga Tahun 6.



Dalam program ini, semua murid telah diajar oleh ahli Kelab Doktor Muda cara membasuh tangan menggunakan sabun dengan cara yang betul. Membasuh tangan menggunakan sabun adalah cara terbaik, paling mudah, murah dan berkesan untuk menghalang penularan penyakit berjangkit. Tahukah anda bahawa tangan adalah salah satu daripada anggota yang paling banyak mengandungi organisma halus sama ada kuman, bakteria, virus, alga dan kulat yang membiak pada tangan yang kotor?



Mudah-mudahan kita semua dapat mempraktikkan amalan yang telah dipelajari melalui kempen tersebut dalam kehidupan kita seharian. Tahniah buat semua murid dan guru yang telah bersama-sama menjayakan program pada hari tersebut.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates