PENDAFTARAN MURID

 3hb Januari 2012

 BERMULANYA PERSEKOLAHAN

4hb Januari 2012





Duit Bantuan RM100 boleh diambil bermula hari ini 2 Disember 2011 bertempat di SK Mukah. Kepada ibu bapa, sila bawa bersama salinan photostat i/c anda dan surat beranak atau i/c anak anda. Anak diwajibkan hadir bersama anda.

Jasamu dikenang buat tiga orang guru yang akan meninggalkan SK Mukah. Terima kasih atas sumbangan anda kepada SK Mukah selama ini. Mohon maaf jika ada tersalah bahasa, terkasar perbuatan dari guru-guru dan staf di SK Mukah.



 Cikgu Siti Faridah (Bahasa Inggeris) : Berpindah (2008-2011)



 Cikgu Hanina (Prasekolah) : Berpindah (2005-2011)



Cikgu Hazura (KKPI) : Tamat kontrak GSTT (2011)

Pada 17 November 2011 yang lalu, keputusan UPSR telah diumumkan serentak di seluruh Malaysia. Tiga orang murid SK Mukah telah berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A. Mereka ialah Nurul Fatehah binti Zulkifly, Katerina Segam Anak Ingu dan Sharmine Henry.






Dua orang murid telah berjaya mendapat keputusan 4A 1B. Mereka ialah Farhan Asyraf bin Zulkifli dan Hazirah Watikah binti Abdah.




5 orang murid berjaya memperoleh keputusan 3A 2B. Mereka ialah Awang Afiq Zikri bin Awang Sarkawi, Esafeena binti Bujang, Mark Ryan, Henry Sujang dan Dayang Nur Athirah.
 
Secara keseluruhan, peratus pencapaian SK Mukah meningkat dari 83% ke 88% walaupun bilangan murid yang memperoleh keputusan 5A berkurangan sedikit pada tahun ini.




Tahniah buat semua yang berjaya. Bagi yang kurang berjaya, ingat pesan guru bahawa "Gagal sekali, bukan bererti gagal selama-lamanya." Perjalanan hidup anda masih jauh dan teruskan usaha untuk mencapai kejayaan. 

Pada hari Khamis yang lalu, 10hb November 2011 telah berlangsung majlis penuh berprestij bagi SK Mukah iaitu Majlis Pengiktirafan Kualiti 2011 yang bertempat di Dewan Suarah Mukah. Majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf murid-murid yang berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.




Antara tetamu kehormat yang hadir pada hari gemilang tersebut ialah mantan Guru Besar SK Mukah, Cikgu Ramlah Binti Saberi, Cikgu Melek bin Arbi (Wakil PPD), Dr. Osman Rafa'ie (YDP PIBG SK Mukah), En.Azman (NYDP PIBG SK Mukah), guru-guru besar dan wakil guru besar beberapa buah sekolah. Turut memeriahkan majlis pada hari itu ialah para ibu bapa yang sudi menghadirkan diri menyaksikan kejayaan yang ditempa oleh anak-anak mereka dalam pelajaran.



  

Majlis tersebut diserikan lagi dengan persembahan-persembahan murid seperti Persembahan Prasekolah, Actions Song, Boria dan Persembahan Khas dari murid Tahun 6.





Tahniah buat semua murid yang berjaya dan syabas buat semua yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pengiktirafan Kualiti 2011 pada tahun ini. 

Hari Sukan SK Mukah 2011 telah diadakan pada 31hb Oktober 2011, hari Isnin yang lalu.
Semua murid dan guru SK Mukah terlibat secara langsung dalam menjayakan Hari Sukan tersebut.



Acara diadakan secara 2 peringkat.
1. Pagi ( 7.30 am - 12.00 pm) - Acara Balapan
2. Petang (2.30 pm - 5.00 pm) - Acara Sukaneka



Majlis penangguhan Hari Sukan telah disempurnakan oleh Dr.Osman selaku YDP PIBG SK Mukah.
Terima kasih buat semua ibu bapa yang sudi menghadirkan diri memeriahkan suasana Hari Sukan pada hari tersebut.

Kepada calon UPSR 2011 SK Mukah, selamat menempuh ujian sebenar UPSR pada hari ini.


Lakukan yang terbaik! Anda Harapan Kami! Anda Pasti Boleh!


Kami semua guru dan ibu bapa sentiasa mendoakan kejayaan kalian semua. Selamat Maju Jaya!

Sempena Majlis Persaraan Guru Besar SK Mukah, satu makan malam khas bagi semua guru-guru SK Mukah telah diadakan pada malam harinya bertempat di Hotel Kingwood. Majlis makan malam tersebut telah dipengerusikan oleh Cikgu Suffian dan disusuli dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Engku Afizan. Makan malam tersebut turut dihadiri oleh tetemu jemputan iaitu Dr. Osman selaku YDP PIBG SK Mukah.





Ucapan Cikgu Ramlah menjadi pembuka majlis makan malam tersebut sebelum sesi berkaraoke menyusul menggamatkan suasana pada malam tersebut.



Penampilan khas Dr.Osman dan Cikgu Ramlah dalam sesi karaoke pada malam tersebut menarik minat semua yang hadir.

Pada 9 Sept 2011 yang lalu, telah diadakan Majlis Persaraan Guru Besar SK Mukah, Cikgu Ramlah binti Saberi bertempat di Dataran Serbaguna SK Mukah. Antara tetamu yang hadir dalam majlis tersebut ialah wakil PPD, Encik Patrick Moses, guru-guru besar di 42 Daerah Mukah, wakil guru besar, beberapa orang pengarah dan pengurus jabatan dan para ibu bapa. Turut diadakan serentak dengan majlis tersebut ialah Majlis Ramah Tamah Aidilfitri.


Cikgu Ramlah yang berusia 58 tahun akhirnya telah menamatkan tugasnya sebagai seorang guru setelah  lama berkhidmat dalam bidang pendidikan. Beliau telah disambut dihadapan pintu pagar sekolah dengan diraikan oleh semua barisan guru dan murid SK Mukah. Turut menyambut beliau ketika itu ialah rakan-rakannya yang juga Guru Besar dari sekolah-sekolah lain di Daerah Mukah ini.

Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

8.30 am : Ketibaan Yang Diraikan Cikgu Ramlah Binti Saberi
9.00 am : Lagu Negaraku dan Bacaan Doa
9.15 am : Ucapan Pengerusi Pengelola Majlis, Cikgu Jasmi Binti Sha'rani
               Ucapan Yang Dipertua PIBG SK Mukah
               Ucapan Wakil PPD
               Ucapan Cikgu Ramlah Binti Saberi
10.30 am : Persembahan Slide dan Sajak Khas warga SK Mukah
11.00 am : Upacara Memotong Kek dan Ramah Tamah Aidilfitri
11.30 am : Sesi Fotografi
11.40 am : Bersurai

Kepada Cikgu Ramlah, kami semua warga SK Mukah mengucapkan terima kasih tidak terhingga kerana cikgu telah banyak menyumbang idea dan ilmu khususnya dalam meningkatkan prestasi pencapaian murid di SK Mukah dan menjadikan nama SK Mukah ini gah di Daerah Mukah. Segala teguran dan nasihat yang telah cikgu beri selama di SK Mukah ini akan kami sematkan dalam diri kami warga pendidik agar menjadi sempadan dan tauladan dalam menjalankan tugas kami di sini. Terima Kasih Cikgu!

Kuiz Ramadhan kali ini dianjurkan sekali lagi oleh SK Datuk Awang Udin. Dahulunya SK Mukah pernah menjadi johan bagi pertandingan kuiz tersebut. Kali ini, peserta SK Mukah nyata tidak menghampakan SK Mukah kerana berjaya mempertahankan gelaran johan sekali lagi pada kali ini.

Peserta kuiz SK Mukah telah diwakili oleh Farhan Zulkifli (6PA), Nurul Kamelia dan Nur Syafiqah yang masing-masing dari 5MA serta Adilla Nabilah (5MB).

Tahniah buat semua peserta!

p/s : Gambar masih dalam proses.

Pada 16hb Ogos 2011 yang lalu, telah berlangsung Majlis Munajat Kecemerlangan UPSR dan Majlis Berbuka Puasa bersama para ibu bapa murid Tahun 6. Majlis bermula seawal jam 6.00 petang dan berakhir selepas solat sunat tarawih secara berjemaah di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah.

Penceramah jemputan kali ini ialah Ustaz Nazri bin Mohd Nayan daripada SK Dua Sungai. Selain memberikan tazkirah, Ustaz Nazri juga turut mengimamkan solat sunat Tarawih bagi para jemaah yang hadir. Majlis berbuka puasa dimeriahkan dengan acara berambih daripada para guru, murid dan ibu bapa. 

Berikut merupakan tentatif ringkas program tersebut :
6.00 ptg : Tazkirah oleh Ustaz Nazri
6.30 ptg : Taklimat perjalanan program oleh Ustaz Mohd Radzi
6.47 ptg : Majlis Berbuka Puasa
7.15 ptg : Solat Maghrib berjemaah
7.30 ptg : Solat Hajat dan Munajat Kecemerlangan UPSR
8.00 mlm : Solat Isyak dan Solat Sunat Tarawih.
9.15 mlm : Majlis bersurai




Pihak sekolah mengucapkan terima kasih buat semua yang terlibat dalam menjayakan proram pada hari tersebut.


SK Mukah mengucapkan
Selamat Menunaikan Ibadah Puasa
buat seluruh kaum Muslimin dan Muslimat.
 



Pantun ini dicipta khas untuk Cikgu Dayang Rabia'a, bekas PK Kokurikulum SK Mukah yang akan bertukar tempat kerja di Pejabat Pelajaran Daerah Mukah sebagai Penolong Penyelia Unit Pembangunan. Jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh Cikgu Dayang sepanjang perkhidmatan dan sumbangannya di SK Mukah amat-amat kami hargai.


Berkaca mata itulah orangnya,
Biliknya sebelah Cikgu Fatimah,
Cikgu Dayang nama mesranya,
PK Kokurikulum di SK Mukah.

PBSM, Pengakap, Tunas Puteri,
TKRS tegap segak bergaya,
Kelab dan Persatuan engkau kendali,
Menjadikan SK Mukah sentiasa berjaya.

Jasa dan bakti engkau taburi,
Di SK Mukah yang tercinta ini,
Sedih sekali perpisahan ini,
Jangan dilupa kami di sini.

Pada hari Jumaat yang lalu bersamaan 15hb Julai 2011, SK Mukah telah dilawati oleh beberapa orang guru dan murid Tahun 6 dari SK Salah Kechil. SK Mukah sangat mengalu-alukan kedatangan mereka.

Sesi pertemuan 2 sekolah ini telah dijalankan bertempat di Makmal Komputer SK Mukah. Dalam pertemuan tersebut, perbincangan lebih banyak tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan prestasi UPSR bagi Tahun Enam.

Cikgu Ramlah binti Saberi, Guru Besar SK Mukah telah memperkenalkan kepada mereka "Program Jejak Gemilang" yang merupakan salah satu program terpenting bagi SK Mukah dalam meningkatkan prestasi murid Tahun 6 secara berperingkat-peringkat.

Guru dan murid SK Salah Kechil juga turut dibawa melawat ke sekitar kawasan SK Mukah untuk melihat sendiri projek 3K SK Mukah yang giat dijalankan sekarang.

Pada 8hb Julai 2011 (Jumaat) yang lalu, telah diadakan Hari Permuafakatan bertempat di SK Mukah. Pada Hari Permuafakatan, para ibu bapa akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pencapaian anak-anak mereka terutamanya dalam pelajaran dan sahsiah diri mereka di sekolah.


Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

8.00 pagi : 
 Nyanyian Lagu Negaraku
 Bacaan Doa
 Ucapan Alu-aluan daripada Guru Besar.
 Ucapan YDP PIBG
10.00 pagi :  
Ibu Bapa ke kelas anak masing-masing
11.40 pagi :  
Bersurai

Pada 14 Julai 2011 yang lalu bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah, telah diadakan majlis Perlantikan Pengawas bagi sesi tahun 2011/2012. Berikut merupakan tentatif program pada hari bersejarah tersebut :

1.Barisan Pengawas yang terdahulu berbaris mengadap barisan Pengawas baru.
2.Pemberian vase oleh pengawas terdahulu kepada pengawas baru sebagai tanda simbolik perlepasan jawatan.
3.Pengawas baru memakai vase pengawas
4.Guru Besar mengesahkan perlantikan pengawas baru bagi sesi tahun 2011/2012.




Tahniah buat Nor Syafiqah (5MA) kerana telah dilantik menjadi Ketua Pengawas SK Mukah dan tahniah juga kepada Badrulzaman (5MA) kerana dipilih menjadi Penolong Ketua Pengawas. 

Buat semua pengawas yang terdahulu, pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga di atas sumbangan khidmat bakti anda selama ini. Bagi barisan pengawas baru, anda semua kini mempunyai tugas dan amanah yang wajib ditunaikan. Oleh itu, pihak sekolah mengucapkan selamat bertugas dan tahniah kerana anda semua dipilih untuk memikul tugasan ini.

Pada 2hb Julai yang lalu, telah berlangsung Larian 1 Malaysia bertempat di Dataran Pehin Setia Raja anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Mukah. Semua murid dan guru SK Mukah telah melibatkan diri dalam larian tersebut.



Seawal jam 6.30 pagi lagi, semua murid dan guru serta ibu bapa di sekitar daerah Mukah ini telah berkumpul bagi merealisasikan acara pada pagi tersebut.


Acara dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan Larian 1 Malaysia sejauh 1.5 KM. Turut membantu mengawal lalu lintas pada masa tersebut ialah beberapa anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM).


Sejurus tamat larian, semua peserta larian melaungkan slogan 1 Malaysia dengan dipimpin oleh Cikgu Abdul Wahab bin Hj.Sepawi, Pegawai PPD Mukah sebelum majlis bersurai.

Pada 29hb Jun yang lalu, telah diadakan Ceramah isra' Mi'raj bertempat di Dataran arena Modal Insan Dinamik SK Mukah. Ceramah telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari SK Kg. Jebungan iaitu Ustaz Nik Nor Hafiz bin Che Soh.


Isi ceramah banyak memfokuskan kepada amalan dan balasan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan oleh manusia yang mana setiap balasan tersebut telah disaksikan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj.


SK Mukah mengucapkan jutaan terima kasih buat Panitia Pendidikan Agama Islam kerana telah mengelolakan suatu pengisian buat memperingati peristiwa bersejarah dalam Islam iaitu Isra' dan Mi'raj.


Selamat kembali ke SK Mukah buat semua guru dan murid setelah 2 minggu bercuti.

Pada 19hb Mei yang lalu, telah diadakan satu ceramah Motivasi Kesedaran yang telah disampaikan oleh En.Roslan, seorang pesara guru yang penuh dengan pengalaman hidup. Beliau berasal dari Bagan Datoh, Perak. SK Mukah amat-amat bertuah kerana En.Roslan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lang sudi memberikan motivasi ini tanpa bayaran sesen pun. Bagi Pak Lang, kesedaran dan kejayaan anak2 adalah yang paling utama.



Ceramah tersebut bermula seawal jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang. Ceramah banyak memberi tumpuan terhadap kesedaran murid untuk bersedia dalam menghadapi peperiksaan yang bakal mendatang khususnya bagi Tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi.


SK Mukah mengucapkan jutaan terima kasih buat Pak Lang atas kesudiannya mengunjungi SK Mukah dan memberikan motivasi yang menarik buat para pelajar di SK Mukah ini. 

Pada Jumaat dan Sabtu yang lalu bersamaan 13hb Mei dan 14hb Mei 2011, telah berlangsung Program Kem Bestari Solat 1 dan 2 yang telah dijalankan secara serentak bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik. Kem kali ini melibatkan semua murid beragama Islam bermula dari Tahun 1 hingga Tahun 6.





Murid-murid telah dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan mengikut tahun masing-masing dengan diketuai oleh seorang fasilitator yang telah dilantik dikalangan Panitia Pendidikan Islam SK Mukah dan Guru KAFA.




Antara pengisian dalam Kem Bestari Solat kali ini ialah :

1. Wudhuk
2.  Syarat wajib dan sah solat
3. Rukun Solat
4. Perkara-perkara sunat dalam solat.
5. Azan dan Iqamah
6. Makmum Muafik dan Makmum Masbuk





Tahniah buat semua Fasilitator kerana berjaya melaksanakan KBS Siri 1 dan 2 ini dengan jayanya.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates