SK Mukah mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga Ramadhan kali ini membawa rahmat dan keberkatan buat kita semua.

Pada 26hb Jun yang lalu, bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik telah diadakan satu ceramah sempena ketibaan Bulan Ramadhan yang mulia. Dengan tajuk Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan, ceramah tersebut melibatkan semua guru dan murid dari tahun 1 hingga tahun 6. Ceramah telah disampaikan sendiri oleh Ketua Panitia Pendidikan Agama Islam SK Mukah iaitu Ustaz Engku Afizan.



Ceramah banyak tertumpu kepada persediaan menyambut kedatangan bulan Ramadhan, rukun puasa, syarat-syarat wajib dan sah puasa, perkara yang membatalkan puasa dan amalan-amalan makruh, haram dan sunat di dalam bulan Ramadhan.





Ceramah yang berdurasi hampir 1 jam setengah ini diakhiri dengan acara Kuiz Ramadhan yang dipengerusikan oleh Ustazah Fazariah Ahmad. Panitia PAI mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua guru dan murid atas kerjasama dan kesudian hadir dalam program ceramah pada petang tersebut. 

Pada 18hb hingga 19hb Jun yang lalu, telah diadakan Pertandingan Karnival Pendidikan Sains dan Teknologi Peringkat Negeri Sarawak bertempat di SMK Sungai Merah, Sibu. Karnival ini telah disertai oleh 145 pelajar daripada Kuching, Sri Aman, Samarahan, Sarikei, Mukah, Sibu, Bintulu dan Miri. Bahagian Sibu muncul juara selepas memenangi 4 daripada 10 kategori yang dipertandingkan.




2 orang murid Tahun 6 sekolah kita iaitu Aqil Rafiqi dan Atma Farina telah mewakili Bahagian Mukah dalam Pertandingan Saintis Muda. Namun nasib tidak menyebelahi mereka berdua kerana tidak berjaya mendapatkan kedudukan 3 teratas dalam pertandingan tersebut. Walaupun begitu, masih ada harapan buat kita membawa pulang kejayaan dalam karnival ini menerusi Dayangko Shabestari daripada Tahun 3 Terbilang A yang telah berjaya mendapat naib johan dalam Pertandingan Bercerita Sains dalam Bahasa Inggeris. Mereka telah diiringi oleh Cikgu Razimah dan Cikgu Winny ke tempat pertandingan. Turut hadir memberikan sokongan ialah Penolong Kanan Kokurikulum SK Mukah, Cikgu Dayang Rabia'a.


Melalui aktiviti dalam karnival ini, murid-murid berpeluang mempraktik serta mencuba segala pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari melalui kelas formal di bilik darjah. Hadiah telah disampaikan oleh Penyelia Kokurikulum Negeri Sarawak Iskandar Mohd Zain. Hadir sama ialah PPKK Unit Kokurikulum PPD Sibu Oscar Gandik Stanie.

Pada 14 Jun 2014 yang lalu, telah bersiaran langsung Pertandingan Bintang Kecil Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Auditorium P.Ramlee RTM Kuching pada jam 8.30 malam. Seramai 8 orang peserta berentap dalam pertandingan ini. Paling membanggakan apabila salah seorang murid sekolah kita iaitu Nurdiana Abdullah dari Tahun 4 Efisien B merupakan salah seorang peserta pada malam tersebut. 



Sebelum itu, pada 11hb Jun yang lalu, semua peserta telah ditemubual menerusi siaran radio oleh DJ Aiejey di Radio Sarawak.FM. Turut hadir bersama mereka di luar konti adalah ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan buat anak-anak mereka.





Empat orang peserta telah berjaya mara ke peringkat Kebangsaan. Tiga daripadanya berasal daripada Kuching manakala seorang lagi daripada Marudi. Nasib tidak menyebelahi Nurdiana setelah keputusan diumumkan. Walaupun begitu, Nurdiana tetap pulang dengan wang tunai RM1000 bersama plak dan sijil. Tahniah diucapkan!

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates