Sekolah akan mula bercuti pada 23hb Mac hingga 1hb April 2013. 
Kita jumpa lagi pada bulan April. 
Selamat Bercuti buat semua...

Buat pertama kalinya bendera dinaikkan di SK Mukah sempena nyanyian lagu Negaraku dan Sarawak Ibu Pertiwiku. Kali ini, perhimpunan tampak lebih formal dengan adanya acara baru tersebut. Terima kasih buat guru-guru yang terlibat dalam menghasilkan tiang bendera untuk SK Mukah. Pihak sekolah juga turut berterima kasih kepada pekerja Tenaga KEMENA kerana telah banyak membantu pihak sekolah dalam penghasilan tiang bendera tersebut.



Pada perhimpunan bertarikh 22 Mac 2013 yang lalu, bendera Malaysia dan bendera Negeri Sarawak telah berkibar megah buat pertama kalinya di Dataran Arena Modal Insan Dinamik semasa semua warga sekolah menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu negeri Sarawak. 



Perhimpunan pada hari Jumaat tersebut dibuat bersempena untuk mengucapkan terima kasih buat beberapa orang guru pelatih yang menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di SK Mukah dan juga untuk mengumumkan cuti pertengahan penggal pertama buat semua murid dan guru di SK Mukah. Perhimpunan telah diakhiri dengan acara bersalaman antara semua murid dan guru. 

PIBG SK Mukah telah terlibat dalam pameran sempena Konvensyen PIBG Peringkat Bahagian Mukah baru-baru ini bertempat di Kingwood Resort, Mukah. Pameran telah diadakan selama dua hari bermula pada 20hb Mac 2013 hingga 21 Mac 2013. Konvensyen selama dua hari tersebut telah dihadiri oleh semua Guru Besar, YDP PIBG dan seorang wakil dari AJK PIBG setiap sekolah di bahagian Mukah ini. SK Mukah telah diwakili oleh Cikgu Wahit, Dr.Osman dan Cikgu Hadiah. 








Cikgu Ahmad, Cikgu Ali dan Ustaz Engku telah diberi tanggungjawab untuk mengurus dan bertugas di ruangan tapak pameran PIBG SK Mukah. Konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Turut hadir pada keesokan harinya ialah Dato' Sri Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah. Beliau sempat berkunjung ke semua tapak pameran PIBG yang disediakan. Terima kasih buat semua pelawat dan rakan-rakan guru yang turut membantu menjayakan ruang pameran SK Mukah.

Bertempat di SK Bukit Engkerbai, telah berlangsung Pertandingan Bercerita Tahap 1. SK Mukah telah diwakili oleh Nesrina dari Tahun 3TA. Cikgu Fauziah yang juga guru pembimbing Nesrina telah mengiringinya ke pertandingan tersebut.


Rezeki menyebelahi sekolah kita di mana Nesrina berjaya mendapat Naib Johan dalam pertandingan tersebut. Tahniah!

Pada 13hb Mac yang lalu, bertempat di SK Kg.Teh, Mukah telah diadakan Pertandingan Syafawi Jawi dan Khat anjuran PPD Mukah bahagian Pendidikan Islam. SK Mukah telah menghantar beberapa orang wakil bagi pertandingan tersebut :

Pertandingan Syafawi Jawi -
1. Nuraini Syahidah (6PA)
2. Norasyikin (6PB)

Khat -
1. Aqmar Daniel (4E)
2. Syafiqah (5MB)




Bagi pertandingan Syafwi Jawi, SK Mukah telah mendapat naib johan menerusi Nurul Asyikin. Bagi khat pula, Syafiqah juga mendapat naib johan manakala Aqmar Daniel telah mendapat hadiah saguhati. Dalam pertandingan tersebut, Ustazah Saodah dari sekolah kita merupakan salah seorang daripada hakim Khat. Tahniah buat semua yang berjaya.

SK Mukah telah menghantar wakil pidato Bahasa Inggeris baru-baru ini. Nurul Damia dari Tahun 5 Mantap A telah mewakili SK Mukah dalam pertandingan tersebut. Dua tahun lepas menyaksikan SK Mukah menyerlah dalam pertandingan ini selepas murid 2 tahun lalu Katrina berjaya menjadi johan dalam pertandingan tersebut di peringkat Daerah dan naib johan di peringkat Bahagian.


Walaupun Damia mendapat tempat ketiga dalam pertandingan di peringkat Daerah, nasibnya baik kerana telah terpilih untuk mara bersama-sama johan dan naib johan peringkat Daerah ke peringkat Bahagian. Turut mengiringi Nurul Damia ketika pertandingan ialah jurulatih merangkap ibunya sendiri iaitu Cikgu Zullina. Mudah-mudahan wakil sekolah kita akan berjaya di peringkat Bahagian kelak. Tahniah diucapakan!   

Pada 5hb Mac 2013, bertempat di Dewan KPSU Mukah, telah diadakan perlawanan Sepak Takraw Sekolah Rendah Peringkat Daerah. SK Mukah telah menghantar 2 pasukan iaitu Pasukan A yang dianggotai oleh Suhaili (6PB), Asyraf (5MB), Khaidir (5MA) dan Afiq (6PB) manakala Pasukan B telah dibarisi oleh Arman (5MB), Arif (6PB), Akmal (5MA) dan Rooney (5MB).


Sebanyak 24 pasukan telah bertanding menyaksikan pasukan dari SK Kg.Seberang berjaya menjadi johan pertandingan. Pasukan A SK Mukah terpaksa berpuas hati dengan kekalahan dalam kumpulan F. Bagi Pasukan B SK Mukah, mereka layak ke pusingan suku akhir namun telah tewas kepada SK Engkerbai dan SK Lubuk Bemban.



Walaupun kedua-dua pasukan tidak layak mara ke peringkat separuh akhir, namun kita bertuah kerana Suhaili dari Tahun 5 Mantap B telah terpilih mewakili pasukan Sepak Takraw Sekolah Rendah Daerah Mukah.

SK Mukah telah menghantar wakil pidato Bahasa Malaysia pada 5hb Mac yang lalu. Pertandingan Pidato Bahasa Malaysia Peringkat Daerah Mukah telah diadakan bertempat di SK Sg.Duan.


Wakil pidato sekolah kita telah diwakili oleh Balqis dari Tahun 6 Perkasa A. Cikgu Zubaidah yang merupakan jurulatih pidato sekolah kita telah mengiringi Balqis ke pertandingan tersebut. Turut bersama ketika itu ialah Penolong Kanan Kokurikulum SK Mukah, Cikgu Marzuki.

Namun, rezeki di bahagian pidato tidak menyebelahi kita yang mana wakil SK Mukah hanya meraih tempat keempat dalam pertandingan tersebut. InsyaAllah kita akan cuba memperbaiki kelemahan dan kekurangan kita pada tahun akan datang. 

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates