Pantun ini dicipta khas untuk Cikgu Dayang Rabia'a, bekas PK Kokurikulum SK Mukah yang akan bertukar tempat kerja di Pejabat Pelajaran Daerah Mukah sebagai Penolong Penyelia Unit Pembangunan. Jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh Cikgu Dayang sepanjang perkhidmatan dan sumbangannya di SK Mukah amat-amat kami hargai.


Berkaca mata itulah orangnya,
Biliknya sebelah Cikgu Fatimah,
Cikgu Dayang nama mesranya,
PK Kokurikulum di SK Mukah.

PBSM, Pengakap, Tunas Puteri,
TKRS tegap segak bergaya,
Kelab dan Persatuan engkau kendali,
Menjadikan SK Mukah sentiasa berjaya.

Jasa dan bakti engkau taburi,
Di SK Mukah yang tercinta ini,
Sedih sekali perpisahan ini,
Jangan dilupa kami di sini.

Pada hari Jumaat yang lalu bersamaan 15hb Julai 2011, SK Mukah telah dilawati oleh beberapa orang guru dan murid Tahun 6 dari SK Salah Kechil. SK Mukah sangat mengalu-alukan kedatangan mereka.

Sesi pertemuan 2 sekolah ini telah dijalankan bertempat di Makmal Komputer SK Mukah. Dalam pertemuan tersebut, perbincangan lebih banyak tertumpu kepada usaha untuk meningkatkan prestasi UPSR bagi Tahun Enam.

Cikgu Ramlah binti Saberi, Guru Besar SK Mukah telah memperkenalkan kepada mereka "Program Jejak Gemilang" yang merupakan salah satu program terpenting bagi SK Mukah dalam meningkatkan prestasi murid Tahun 6 secara berperingkat-peringkat.

Guru dan murid SK Salah Kechil juga turut dibawa melawat ke sekitar kawasan SK Mukah untuk melihat sendiri projek 3K SK Mukah yang giat dijalankan sekarang.

Pada 8hb Julai 2011 (Jumaat) yang lalu, telah diadakan Hari Permuafakatan bertempat di SK Mukah. Pada Hari Permuafakatan, para ibu bapa akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pencapaian anak-anak mereka terutamanya dalam pelajaran dan sahsiah diri mereka di sekolah.


Berikut merupakan tentatif program pada hari tersebut :

8.00 pagi : 
 Nyanyian Lagu Negaraku
 Bacaan Doa
 Ucapan Alu-aluan daripada Guru Besar.
 Ucapan YDP PIBG
10.00 pagi :  
Ibu Bapa ke kelas anak masing-masing
11.40 pagi :  
Bersurai

Pada 14 Julai 2011 yang lalu bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik SK Mukah, telah diadakan majlis Perlantikan Pengawas bagi sesi tahun 2011/2012. Berikut merupakan tentatif program pada hari bersejarah tersebut :

1.Barisan Pengawas yang terdahulu berbaris mengadap barisan Pengawas baru.
2.Pemberian vase oleh pengawas terdahulu kepada pengawas baru sebagai tanda simbolik perlepasan jawatan.
3.Pengawas baru memakai vase pengawas
4.Guru Besar mengesahkan perlantikan pengawas baru bagi sesi tahun 2011/2012.




Tahniah buat Nor Syafiqah (5MA) kerana telah dilantik menjadi Ketua Pengawas SK Mukah dan tahniah juga kepada Badrulzaman (5MA) kerana dipilih menjadi Penolong Ketua Pengawas. 

Buat semua pengawas yang terdahulu, pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga di atas sumbangan khidmat bakti anda selama ini. Bagi barisan pengawas baru, anda semua kini mempunyai tugas dan amanah yang wajib ditunaikan. Oleh itu, pihak sekolah mengucapkan selamat bertugas dan tahniah kerana anda semua dipilih untuk memikul tugasan ini.

Pada 2hb Julai yang lalu, telah berlangsung Larian 1 Malaysia bertempat di Dataran Pehin Setia Raja anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Mukah. Semua murid dan guru SK Mukah telah melibatkan diri dalam larian tersebut.



Seawal jam 6.30 pagi lagi, semua murid dan guru serta ibu bapa di sekitar daerah Mukah ini telah berkumpul bagi merealisasikan acara pada pagi tersebut.


Acara dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan Larian 1 Malaysia sejauh 1.5 KM. Turut membantu mengawal lalu lintas pada masa tersebut ialah beberapa anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM).


Sejurus tamat larian, semua peserta larian melaungkan slogan 1 Malaysia dengan dipimpin oleh Cikgu Abdul Wahab bin Hj.Sepawi, Pegawai PPD Mukah sebelum majlis bersurai.

Pada 29hb Jun yang lalu, telah diadakan Ceramah isra' Mi'raj bertempat di Dataran arena Modal Insan Dinamik SK Mukah. Ceramah telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari SK Kg. Jebungan iaitu Ustaz Nik Nor Hafiz bin Che Soh.


Isi ceramah banyak memfokuskan kepada amalan dan balasan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan oleh manusia yang mana setiap balasan tersebut telah disaksikan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj.


SK Mukah mengucapkan jutaan terima kasih buat Panitia Pendidikan Agama Islam kerana telah mengelolakan suatu pengisian buat memperingati peristiwa bersejarah dalam Islam iaitu Isra' dan Mi'raj.

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates