Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah SK Mukah telah diadakan di Dewan Polis Mukah pada 22hb Mei yang lalu. Sambutan Hari Guru kali ini diadakan lewat dari tarikh sebenar kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Walaupun begitu, majlis tetap berjalan dengan lancar walaupun tanpa kehadiran Guru Besar SK Mukah yang bertugas mewakili PPD Mukah ke Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Kapit.

Hari Guru kali ini menyaksikan pertambahan kehadiran ibu bapa murid daripada tahun-tahun sebelumnya. Antara barisan atasan yang hadir dalam majlis tersebut ialah wakil-wakil PPD, YDP PIBG SK Mukah dan barisan exco PIBG SK Mukah.

Majlis dimulai dengan ucapan Cikgu Jasmi, Penolong Kanan 1 SK Mukah dan ucapan daripada Dr.Osman, YDP PIBG SK Mukah. Seterusnya lafaz Ikrar Hari Guru telah dipimpin oleh Cikgu Zainurin dan disusuli dengan nyanyian koir oleh guru-guru SK Mukah. Persembahan khas lagu koir yang bertajuk "Guru Cantik" oleh guru-guru lelaki SK Mukah menjadikan majlis bertambah meriah.

Majlis ini juga turut diselitkan dengan persembahan tarian shuffle oleh murid-murid tahun 2 hasil tunjuk ajar Cikgu Jessica, persembahan Action Songs oleh murid Tahun 3 hasil pimpinan Cikgu Munah dan rakan-rakannya dan persembahan koir dari Tahun 5 hasil pimpinan Cikgu Norzelan. Suasana majlis menjadi sayu seketika apabila semua murid Tahun 6 menyampaikan sebuah lagu khas buat Cikgu Jasmi yang bakal berpencen tidak lama lagi pada tahun ini.

Majlis diakhiri dengan majlis memotong kek dan jamuan Hari Guru. Tahniah buat semua yang hadir dalam memeriahkan majlis pada kali ini. SELAMAT HARI GURU!

p/s : Gambar akan dimasukkan kemudian. Harap maklum.

0 Comments:

Post a Comment



Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates