MTQ Daerah baru-baru ini menyaksikan pasukan SK Mukah dalam semua bidang yang dipertandingkan tidak melayakkan kita untuk ke peringkat seterusnya. Hasil perbincangan Panitia Pendidikan Islam akhirnya telah bersetuju untuk melatih dan membawa 2 pasukan kompang mewakili Daerah Mukah terus ke peringkat Bahagian berikutan tiada penyertaan mana-mana sekolah dalam Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Daerah. Untuk pengetahuan semua, tahun terakhir pertandingan kompang selawat ini dipertandingkan ialah pada tahun 2009. Dan pada tahun ini, julung-julung kalinya Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan kembali pertandingan ini. 



Peluang ini diambil SK Mukah dengan latihan yang konsisten terhadap dua pasukan kompang selawat yang dibentuk iaitu Kumpulan Aulad Islami (Lelaki) dan Kumpulan Mawaddah (Perempuan). Mereka semua telah dilatih oleh Ustaz Mohd Radzi dan Ustaz Engku Afizan. Pada 31 Mac semalam telah berlangsung acara yang dinantikan iaitu Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Bahagian Mukah. Daerah Dalat dan Daro masing-masing telah menghantar sebuah pasukan manakala sekolah kita yang mewakili Daerah Mukah membawa 2 penyertaan kompang selawat. Selain menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Hafazan, SK Mukah juga telah menjadi tuan rumah bagi pertandingan kompang selawat ini.



Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia tak siapa tahu. Percaturan Panitia Pendidikan Islam SK Mukah berjaya apabila Kumpulan Mawaddah telah diumumkan sebagai juara Kompang Selawat Peringkat Bahagian Mukah pada tahun ini manakala Kumpulan Aulad Islami pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua setelah kalah kepada lawan sendiri. Majlis Penutup MTQ Peringkat Bahagian Mukah telah berlangsung di SMK Mukah dengan dihadiri oleh semua kontijen MTQ daripada Daerah Mukah, Dalat dan Daro.


Mereka yang berjaya diperingkat bahagian ini akan mara ke MTQ Peringkat Negeri Sarawak yang akan diadakan pada 21-24 April 2015 bertempat di Sarikei.

0 Comments:

Post a Comment



Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates