Pada 14 April yang lalu bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik telah diadakan Majlis Persaraan Cikgu Fatimah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Mukah. Majlis tersebut khas diadakan bertujuan meraikan Cikgu Fatimah yang telah bersara dan sebagai tanda terima kasih pihak sekolah atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang berada di SK Mukah sejak awal penubuhannya lagi.  

Harimau mati meninggalkan belang, Cikgu Fatimah pergi meninggalkan tanamannya...Begitulah sinonimnya Cikgu Fatimah dengan pelbagai tanaman di SK Mukah ini. Pokok-pokok, bunga-bungaan dan sayur-sayuran yang ditanamnya di sekolah ini tumbuh segar dan telah banyak memberi manfaat buat warga SK Mukah ini. 

Apabila hendak mengambil sayuran atau buah daripada hasil tanamannya, pasti warga di sini akan meminta izin kepada beliau terlebih dahulu. Terima kasih buat guru Bahasa Inggeris ini yang telah mewaqafkan segala apa yang ditinggalkan di SK Mukah ini kepada kami semua. Jasamu akan dikenang kami hingga bila-bila.

Majlis dimulai dengan paluan kompang dan iringan murid-murid SK Mukah disepanjang jalan masuk menuju ke Dataran Modal Insan Dinamik. Cikgu Fatimah diarak dan disambut penuh mesra oleh semua warga sekolah. Nyanyian lagu Negaraku serta Ibu Pertiwiku memecah hening pagi dan disusuli bacaan doa oleh Ustaz Mohd Radzi.

Cikgu Burhanuddin, Guru Besar SK Mukah dalam ucap tamanya mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Cikgu Fatimah kepada pihak sekolah selama perkhidmatannya. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan perpisahan oleh Cikgu Fatimah diiringi dengan beberapa slaid gambar dan video tentang beliau sepanjang perkhidmatannya.

Majlis bertukar suasana duka ketika majlis bersalam-salaman di antara semua murid, guru dan staf dengan Cikgu Fatimah. Masing-masing cuba mengimbau kembali saat suka dan duka bersama Cikgu Fatimah sepanjang beliau di SK Mukah.

Terima kasih tidak terhingga buat semua pihak yang turut serta dalam menjayakan majlis pada hari tersebut.

Makluman : Gambar akan di masukkan kemudian.

0 Comments:

Post a Comment



Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates