SUKMA XVIII Negeri Sarawak akan dijangka berlangsung pada 22 hingga 31 Julai 2016. Oleh yang demikian, pelbagai persiapan telah dibuat bagi memastikan temasya pada hari tersebut berjalan dengan lancar. Antara lain, telah diadakan Larian Baton SUKMA XVIII Sarawak bagi tujuan mempromosi acara SUKMA Sarawak yang bakal berlangsung. Larian Baton ini telah berjalan awal bulan ini bermula dari Bahagian Lawas hingga ke Kuching.
Pada 27 Februari yang lalu, Larian Baton ini telah sampai ke Bahagian Mukah. Pelbagai agensi, jabatan, sekolah-sekolah telah dijemput untuk menjayakan larian baton ini. SK Mukah turut tidak ketinggalan menghantar beberapa wakil peserta ke acara tersebut walaupun pada masa yang sama sedang menghadapi Mesyuarat Agung PIBG pada tahun ini.
Beberapa orang murid SK Mukah telah dipilih ke larian baton tersebut. Mereka semua telah diiringi oleh Cikgu Nasir dan Cikgu Hajeri ke venue permulaan larian baton iaitu di Dataran Pehin Setiaraja.
Dari awal 6.30 pagi lagi, ramai orang telah mula membajiri kawasan Dataran Pehin Setiaraja. Larian baton ini telah dirasmikan oleh YB ADUN Balingian Yussibnosh Balo. Larian sejauh 5km ini telah diketuai oleh Bekas Penyerang Skuad Bujang Senang, Peter Kusai sambil ditemani bekas kapten pasukan Sarawak era 80-an, Jamal Wasli dan bekas penjaga gol Sarawak, Aidil Mohamad. Larian baton seterusnya telah diadakan di Dalat pada hari yang sama pada waktu petang.