Pada 24 - 26 Mei yang lalu, telah berlangsung Kejohanan Hari Sukan 2016 SK Mukah. Empat buah rumah sukan iaitu Biru, Merah, Kuning dan Hijau sama-sama akan berentap untuk merebut gelaran juara keseluruhan atau Johan Rumah Sukan. SK Mukah membuka tirai Hari Sukan tahun ini dengan acara senam robik yang dipimpin oleh beberapa orang guru PPKI SK Mukah. Terima kasih kepada pihak Nestle Milo kerana sudi menaja minuman kami pada pagi tersebut. Sepertimana kebiasaannya, semua acara padang dan balapan dipertandingkan namun Hari Sukan pada tahun ini tampak lebih menarik dengan kehadiran beberapa acara baru yang telah diadakan. Antaranya ialah Larian Abang Sado dan Adik Comel serta Larian 8 x 100m.

Menerusi larian Abang Sado dan Adik Comel, setiap rumah dikehendaki menghantar dua orang murid lelaki (Tahap 1 dan Tahap 2) dan dua orang murid perempuan (Tahap 1 dan Tahap 2) dengan syarat murid tersebut mestilah bertubuh besar dan gempal. Pelbagai aksi lucu dan menarik apabila mereka berlumba lari sejauh 100 meter. Tujuan utama diadakan larian khas ini ialah untuk memberi peluang kepada mereka yang bertubuh besar dan gempal ini dapat terlibat sama dalam acara larian yang kebiasaannya dipelopori oleh golongan yang bertubuh kurus dan tinggi sahaja.


Turut mencuri tumpuan dalam acara sukan tahun ini ialah larian baton 8 x 100m di mana setiap rumah sukan diminta untuk menyediakan 8 orang guru atau AKS untuk berlumba lari. Ketika acara tersebut berlangsung, sorakan semua murid memecah keheningan waktu pagi apabila mereka memberikan sokongan kepada guru rumah sukan masing-masing. Tanpa mengira faktor usia, jantina, berat badan, pangkat dan jawatan semua guru dan AKS yang terlibat dalam acara tersebut menunjukkan kesungguhan untuk menjuarai acara yang julung-julung kali diadakan itu.

Selain itu, dua persembahan khas iaitu Senam Robik dan Skipping turut dipertontonkan semasa majlis Penangguhan Hari Sukan di mana ia juga pertama kali diadakan pada tahun ini. Kedua-dua persembahan khas itu merupakan hasil bimbingan Kelab Doktor Muda SK Mukah. Warga SK Mukah mengucapkan terima kasih kepada YDP PIBG En.Khirul Nizzuan bin Hamzah atas kehadiran beliau merasmikan Majlis Penangguhan Hari Sukan pada tahun ini.

Berikut merupakan beberapa keputusan pertandingan yang telah diadakan sepanjang hari Sukan yang telah berlangsung selama 3 hari tersebut :

Olahragawan : Razmir Irfan - 6 Perkasa B (Rumah Merah)
Olahragawati : Wardah Musfirah - 4 Efisien A (Rumah Biru)
Johan Perbarisan : Rumah Biru
Johan Rumah Sukan : Rumah Biru
Naib Johan Rumah Sukan : Rumah Merah
Tempat ketiga Rumah Sukan : Rumah Hijau
Tempat keempat Rumah Sukan : Rumah Kuning

Tahniah buat murid-murid yang berjaya memenangi dan menjuarai acara-acara yang telah dipertandingkan. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Kejohanan Hari Sukan SK Mukah pada tahun ini.

0 Comments:

Post a Comment



Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates