Pada 25hb Julai yang lalu jam 6.00 petang bertempat di Dataran Arena Modal Insan Dinamik, telah diadakan Majlis Munajat Kecemerlangan UPSR dan Iftar Jama'ie peringkat SK Mukah dan SK Kg.Tellian. Kedua-dua sekolah telah mencapai persetujuan dan persepakatan untuk bergabung tenaga bagi melaksanakan majlis ini. Semua guru Islam dan semua murid Tahun 6 terlibat dalam majlis tersebut. Turut hadir memeriahkan lagi suasana majlis ialah semua AJK PIBG dan semua ibu bapa murid Tahun 6.




Berikut merupakan aturcara bagi majlis tersebut :

6.00 petang : Ketibaan tetamu
6.15 petang : Tahlil Arwah
6.48 petang : Majlis Berbuka Puasa
7.15 petang : Solat Maghrib Berjemaah
7.30 petang : Solat Hajat
7.45 petang : Tazkirah Ramadhan
8.01 malam : Solat Isyak dan Solat Sunat Tarawih
9.15 malam : Bersurai




Pihak SK Mukah dan SK Kg. Tellian mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat semua guru, ibu bapa, AJK PIBG dan murid-murid yang sudi hadir bagi menjayakan majlis tersebut. Mudah-mudahan SK Mukah dan SK Kg.Tellian dapat lagi meneruskan kerjasama dalam apa jua projek atau program pada masa akan datang. Semoga doa kita semua pada hari bersejarah tersebut diperkenankan oleh Allah. InsyaAllah.

24hb Julai yang lalu (Rabu) telah diadakan Pertandingan Kuiz Ramadhan bertempat di Dewan Utama SMK Mukah. Pertandingan tersebut melibatkan semua sekolah rendah dan beberapa sekolah menengah di Daerah Mukah. Kuiz Ramadhan kali ini masih mengekalkan konsep pertandingan yang sama sepertimana tiga tahun sebelumnya iaitu semua wakil sekolah perlu menjawab soalan bertulis selama 30 minit dan tiga sekolah yang mendapat jumlah markah tertinggi akan mara ke peringkat akhir ujian lisan.



SK Mukah telah diwakili oleh Safarah, Norasyikin dan Nuraini Syahidah dari Tahun 6. Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar dan latihan daripada Ustazah Norwani dan Ustazah Saudah, SK Mukah telah berjaya mara ke peringkat akhir bersama dengan SK Kg.Petanak dan SK Datuk Awang Udin.




Rezeki menyebelahi sekolah kita lagi pada tahun ini. SK Mukah telah berjaya menjadi johan Kuiz Ramadhan 1434H. SK Kg.Petanak menduduki tempat kedua manakala SK Datuk Awang Udin di tempat ketiga. Hadiah telah disampaikan oleh Pengetua SMK Mukah, Cikgu Awet Gapor. Tahniah buat semua yang berjaya.

Baru-baru ini, Sabtu bersamaan 20hb Julai telah diadakan Majlis Permuafakatan. Majlis tersebut diadakan untuk mempertemukan semua ibu bapa murid dengan guru kelas anak masing-masing bagi mengetahui laporan terkini pencapaian anak mereka sepanjang berada di sekolah setakat ini.







Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 11.00 pagi. Semua guru kelas dan guru angkat kelas masing-masing terlibat dalam menjayakan majlis ini. Kesudian ibu bapa hadir ke majlis tersebut sangat-sangat dihargai oleh pihak SK Mukah dan didahului dengan ucapan Terima Kasih.

Berikut sedikit perkongsian daripada kami SK Mukah buat semua ibu bapa :

TIPS DIDIK ANAK CEMERLANG

1. Konsisten dengan peraturan yang ditetapkan kepada anak-anak.
2. Apabila anak bercerita kepada anda, jadilah pendengar yang setia.
3. Bersikap jujur kepada anak.
4. Memperuntukkan masa berkualiti untuk bersama anak.
5. Pandanglah anak dengan penuh kasih sayang.
6. Berikan penghargaan setiap kali anak melakukan perbuatan baik (pujian, pelukan, ciuman dan hadiah)
7. Tenangkan anak anda setiap kali dia memerlukannya.
8. Hargailah permainan kesayangan anak anda.
9. Berbicaralah dengan anak anda.
10. Ajaklah anak bersembahyang berjemaah dengan anda

Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. telah menggariskan empat tahap mendidik anak iaitu:
Tahap pertama:Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.
Tahap kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.
Tahap ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.
Tahap keempat: Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.

Setelah menyaksikan beberapa orang guru berpindah tempat bertugas pada tahun-tahun yang lepas, tahun ini SK Mukah berhadapan lagi dengan situasi sedih tersebut di mana Cikgu Zainurin dan Cik Agata akan berpindah tempat bertugas ke sekolah yang lain. Biarpun hilang, pasti ada gantinya. Baru-baru ini, 2 orang guru baru telah melapor diri ke SK Mukah. Mereka ialah Cikgu Yatima dan Cikgu Iryana. Sedikit perubahan juga turut berlaku di penggal kedua ini dengan menyaksikan Cikgu Ali telah ditukar ke kelas aliran perdana.



Oleh yang demikian, satu majlis telah diadakan bagi menghargai guru dan stas yang akan berpindah dan meraikan muka-muka baru di SK Mukah. Selain itu, majlis ini juga turut dibuat untuk meraikan beberapa orang guru dan staf SK Mukah yang telah berjaya memperoleh Pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) baru-baru ini. Majlis telah diadakan di kelas Tahun 4 Efisien merangkap bilik jamuan SK Mukah pada jam 1.10 petang. Majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Ustazah Salmy.





Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh guru besar, Cikgu Abdul Wahit Bin Mohamad Etli dan seterusnya ucapan perpisahan oleh Cikgu Zainurin dan Cik Agata. Majlis kemudiannya disusuli dengan acara penyampaian cenderahati kepada guru dan staf yang akan berpindah dan penyampaian anugerah APC kepada Ustazah Saodah, Cikgu Nasir dan Cik Nurul Hijjah. Bacaan doa selamat telah diketuai oleh Ustaz Mohd Radzi.





Tahniah buat mereka semua. Mudah-mudahan mereka yang berpindah dapat meneruskan perjuangan sebagai penjawat awam dengan baik dan cemerlang di tempat baharu. Bagi yang berjaya mendapat APC, semoga terus memberi sumbangan kepada SK Mukah. Terima kasih di atas sumbangan mereka semua selama ini di SK Mukah. Jasa dan budi baik mereka akan kami kenang selama-lamanya. 



Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak buat semua warga sekolah SK Mukah. 
Ramadhan Kareem!
Allahu Akram!!

Pada waktu perhimpunan bertarikh 4hb Julai semalam telah diadakan satu ceramah kesihatan ringkas yang telah disampaikan oleh Doktor Muda Nadia Natasya dari kelas 5MB. Ceramah kesihatan tersebut bertajuk "Menjaga Kebersihan Diri". Ceramah tersebut juga telah melibatkan semua ahli doktor muda yang lain. Mereka telah bertindak sebagai model cara-cara membasuh tangan dengan betul.















Sejurus selepas itu, telah diadakan pula majlis penyampaian hadiah untuk semua murid yang berjaya dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh Kelab Doktor Muda sempena "Program Minggu Sihat". Tahniah buat semua.

Pertandingan Tilawah Spontan Peringkat Daerah Mukah telah diadakan baru-baru ini bertempat di SK Parish Balingian. SK Mukah telah menghantar dua orang wakil iaitu Nuraini Syahidah dan Safarah dari Tahun 6.






Dalam pertandingan ini, para peserta akan diminta mencari surah dan ayat yang akan dibaca secara sendirian selama 1 minit. Pemarkahan lain akan dinilai menerusi bacaan peserta sejurus selepas itu. Kedua-dua peserta dari sekolah kita telah diiringi oleh Ustaz Mohd Radzi dan Ustaz Engku Afizan.

Seramai 27 orang peserta daripada pelbagai sekolah di sekitar Daerah Mukah telah menyertai pertandingan tersebut. Nasib tidak menyebelahi kedua-dua orang wakil sekolah kita. InsyaAllah, kita akan berusaha mendapatkan kejayaan dalam pertandingan ini pada masa-masa yang akan datang.

Pada hari ini telah diadakan majlis sambutan khas meraikan guru-guru yang menyambut Perayaan Hari Gawai yang berlangsung pada bulan Mei yang lalu. Majlis diadakan di ruang makan bilik guru pada waktu rehat. Menu istimewa Hari Gawai yang disajikan pada hari ini ialah "Ayam Pansuh". Ayam Pansuh adalah makanan tradisi kaum Iban di mana ayam dimasak di dalam buluh. Makanan tradisi ini biasanya dihidangkan dalam perayaan Hari Gawai dan Krismas.






Beberapa orang guru yang mempunyai masa lapang pada hari ini telah bertungkus lumus bagi memastikan menu "Ayam Pansuh" siap dimasak sebelum menjelangnya waktu rehat. Bagi guru-guru lain, semuanya masuk ke kelas menjalankan aktiviti P&P seperti biasa. Terima kasih buat guru-guru yang telah bekerjasama dalam menyiapkan menu makanan pada hari ini terutamanya Cikgu Anna yang telah menyediakan buluh untuk memasak ayam. Pada waktu rehat, semua guru menikmati "Ayam Pansuh" dalam suasana yang riang dan harmoni.



Selamat Hari Gawai buat Cikgu Munah, Cikgu Winny, Cikgu Anna, Cikgu Rosniah dan guru-guru lain di SK Mukah yang menyambutnya.  

Jom Like Page SK Mukah di Facebook

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates